SEWAKTU pemain dram kumpulan Fotograf, Ringgo menghubungi saya dan menjemput ke sesi latihan di samping
memperkenalkan anggota kumpulan baharu mereka, saya sedikit teruja.
Masakan tidak, kerana sebelum ini secara peribadi saya pernah bertemu dan mengajukan pertanyaan bila
agaknya Fotograf akan muncul kembali dalam industri, tetapi dia sekadar menjawab ringkas, “Fotograf sudah berkubur”.
Selepas itu saya tidak pernah bertanya lagi. Diakui bukan mudah untuk ‘menaikkan’ kumpulan yang kehilangan tonggak utama. Pelantun suara itu ibarat nakhoda yang bakal menentukan arah dan hala
tuju bahtera pelayarannya.
Tanpanya boleh tempang! Sejak Shamrin meninggal dunia pada 11 November 2010 lalu, Fotograf terus
menyepi. Anggota yang tinggal dilihat tidak berminat untuk meneruskan legasi perjuangan mereka.
Ramai mengandaikan Fotograf sudah ‘tutup buku’, bersara dari industri hiburan.
Fotograf yang aktif pada dekad 80-an sehingga pertengahan 90-an dilihat berjaya meletakkan nama
mereka sebaris dengan kumpulan berstatus gah ketika itu.
Hadir dengan lagu-lagu hits seperti, Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal, Luka Seribu Rindu, Di Alam Fana Cinta, Ke Pintu Kasihmu dan Nafas Kekasih (sekadar menyebut beberapa tajuk) menjadikan mereka antara kumpulan yang diminati.
Kekuatan Fotograf bukan sekadar pada lagu-lagunya, tetapi lebih kepada imej serta lontaran vokal yang
ditonjolkan. Shamrin punya keaslian tersendiri yang tidak mampu diplagiat oleh penyanyi lain.
Itu antara faktor kumpulan ini sukar mencari pengganti untuk meneruskan perjuangan mereka.
Kini selepas 14 tahun, mereka akhirnya ambil keputusan muncul kembali di persada seni tanah air.
Walaupun dibarisi tiga anggota baharu namun keberadaan Ringgo atau nama sebenarnya, Sham Ahmad, 59 selaku anggota asal menjadikan aura kumpulan ini masih ada, sekali gus mampu mengubat rindu peminat terhadap kumpulan yang pernah popular satu ketika dahulu.
Pada waktu dan hari yang ditetapkan saya berkunjungke Sine Tone Studio, milik Man Bai untuk melihat dengan lebih dekat come back yang ingin mereka laksanakan.
Bukan sekadar berpeluang berkenalan dengan anggota baharu, tetapi dapat menyaksikan sendiri sesi
praktis mereka pada malam itu.
Dan yang menjadi tumpuan saya pastilah penyanyi baharunya, Fhad. Hati bertanya, mampukah dia
menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini? Sudahlah tiada pengalaman, kemudian diberikan tugas berat sebagai frontline pula.
Harus diingat, Fotograf bukanlah nama baharu dalam industri seni dan mereka bukan band klon. Pertama kali mendengarkan lontaran suara Fahd, saya agak teruja dan kagum. Tone suaranya mengingatkan
saya kepada arwah Shamrin, walaupun bukan keseluruhan, tetapi masih ada cirinya.
Fahd berjaya membawakan lagulagu tersebut dengan cara dan lenggoknya tersendiri. Hampir dua jam
meluangkan masa menyaksikan sesi jamming mereka dengan seleksi lagulagu hits terdahulu antaranya, Di Alam Fana Cinta, Nafas Kekasih, Luka Seribu Rindu danJangan Kau Ucap Selamat Tinggal, stamina Fhad amat
luar biasa dan vokalnya pula tidak ‘pancit’.
Apa yang membanggakan apabila dia mampu membawa lagu-lagu tersebut dengan baik dan non stop.Bagi
penyanyi baru yang masih hijau dan tiada pengalaman, itu merupakan satu kejayaan yang cukup membanggakan.
Saya melihat pemilihan Fahd bertepatan dengan muzik dibawakan Fotograf. Usai persembahan saya berbual dengan Ringgo tentang apa yang dirancang dan hala tuju Fotograf pada waktu akan datang. Selain itu,
saya juga bertanya mengenai penjenamaan kumpulan ini, adakah mungkin menjadi isu atau sebaliknya.
“Memang tidak pernah terfikir untuk menghidupkan kembali Fotograf walaupun ramai peminat minta untuk
saya renew kembali kumpulan ini. Selain itu ada juga yang hantar demo lagu-lagu Fotograf yang mereka
nyanyikan namun saya sekadar dengar dan simpan.
“Saya pernah berhasrat untuk tinggalkan dunia muzik selepas kematian Allahyarham Shamrin. Selain itu anggota yang lain juga sudah tidak aktif bermain muzik kerana masingmasing punyai komitmen sendiri,” ujarnya.
Menurut Ringgo, walaupun sudah tidak aktif bersama Fotograf, namun dia masih aktif bermain muzik secara
sambilan. Seringkali juga dia dijemput untuk menjadi pemuzik undangan bersama rakan-rakan lain walaupun
bukan secara serius.
Namun segalanya berubah apabila pada penghujung 2013, Zam yang kini merupakan pemain bass kumpulan
Fotograf menghubunginya dan mencetuskan idea supaya menubuhkan semula kumpulan Fotograf dan
kembali aktif dalam persada muzik tanah air.
“Saya beritahunya kumpulan Fotograf sudah tidak wujud lagi. Tetapi jika ada idea untuk hidupkan kembali
terpaksalah cari anggota baharu dan adakan sesi uji bakat untuk cari penyanyi, jadi saya teringat tentang demo tape yang pernah dihantar sebelum ini, terus saya selongkar semula.
“Setelah adakan sesi uji bakat dan pilih anggota yang dilihat sesuai barulah tertubuhnya kumpulan
ini. Tetapi saya adjust sikit namanya kepada Fotograf New Era bagi menghormati anggota
asal,” katanya.
Menurutnya, kini dia amat berpuas hati dengan anggota sedia ada cuma apa yang perlu diperkemaskan
adalah susunan muzik dan kekerapan latihan. Ini bertujuan memastikan mereka mampu bermain secara baik
apabila mendapat undangan persembahan nanti.
Selain itu, Ringgo menegaskan, keserasian sesama anggota juga perlu dititik beratkan kerana untuk
menjadi sebuah kumpulan yang berjaya perlunya ada give and take dalam membuat
sesuatu keputusan.
Kini Fotograf New Era sedia menerima undangan persembahan daripada penganjur yang berminat, malah kini mereka juga sedang giat menghasilkan karya-karya segar dan bermutu untuk dipersembahkan kepada
peminat terutama generasi baharu hari ini.