BERMULA dengan berjinak-jinak menjadi pengacara siaran langsung TikTok sejak lima tahun lalu, gadis kelahiran Sungai Petani, Julia Laricakini mula melangkah dalam industri hiburan.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman berlakon, Julia ditawarkan berlakon dalam sebuah filem arahan Areel Abu Bakar bertajuk Pungut yang memerlukan seorang pelakon yang fasih dengan loghat Kedah.
Memegang watak sebagai Seha, Julia mengakui sangat mencabar untuk berlakon di pusat pelupusan sampah.
Jelas anak bongsu daripada lima beradik itu, dia sempat mengalami sakit kepada dan muntah-muntah kerana tidak tahan dengan bau busuk daripada pusat pelupusan sampah itu.
“Saya memang tiada langsung pengalaman berlakon. Tidak menjalani sebarang ujibakat. Mungkin sebagai pengarah dia nampak potensi saya sebagai pelakon.
“Saya bersyukur kerana sepanjang penggambaran, kami semua sudah seperti satu keluarga. Pelakon berpengalaman tidak kekok berkongsi ilmu dan membantu saya.
“Selepas daripada itu, memang saya ada dapat beberapa tawaran berlakon seperti drama Mok Cun Mai Singgah dan Perhimpunan Hantu Sedunia yang akan datang tahun ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut Julia, kerjayanya yang semakin berkembang membuatkannya berpindah ke Kuala Lumpur demi memudahkan pergerakan.
“Memang saya ingin berlakon sepenuh masa selepas ini. Jadi sebelum ini saya pernah menyertai kelas lakonan dengan Raja Azri,” jelasnya.
Tidak hanya itu, dengan jumlah pengikut melebihi 200 ribu di akaun TikTok, Julia pernah ditawarkan merakamkan single pertamanya bertajuk Gelisah.
“Sebelum ini memang saya selalu muat naik bernyanyi di akaun TikTok. Banyak lagu saduran yang saya kongsikan. Kemudian ada beberapa pihak yang mahu rakamkan lagu untuk saya.
“Sejujurnya, saya agak berhati-hati kerana takut diperdaya. Tapi bila sudah kenal dengan komposer, Elizad Aziz akhirnya saya teruskan. Lagu itu sebenarnya lagu duet. Jadi saya bernyanyi dengan suami, Irshadi Nor,” jelasnya.
Lagu tersebut baru sahaja diterbitkan awal tahun ini dan mendapat lebih daripada 10 ribu tontonan di YouTube.
Filem Pungut mengisahkan tentang Salleh yang tinggal di sebuah perkampungan setinggan berhampiran dengan sebuah kawasan pelupusan sampah.
Di kampung yang kotor, Salleh tenang menjalani kehidupan walaupun ada beberapa orang penduduk asal di situ yang melakukan aktiviti tidak bermoral seperti judi, mabuk dan pemerasan.
Turut sama menjayakan naskhah itu ialah Ruzaidi Abdul Rahman, Aman Graseka dan Fad Anuar.