LEBIH dua dekad lalu, drama bersiri Yo Soy Betty, La Fea mencipta fenomena dan mengubah stereotaip dunia televisyen Amerika Latin – menetapkan katakter protagonis harus seorang perempuan cantik yang menemukan kekasih dari golongan berada yang membawanya keluar dari bahana kemiskinan.
Penerbit dan penulis cerita, Fernando Gaitan pada waktu itu mencabar kebiasaan dengan mencipta watak seorang perempuan yang kecantikannya tertutup disebalik kaca mata berkanta tebal dan pendakap gigi, yang menaruh perasaan terhadap majikannya.
Watak yang diperkenalkan pada tahun 1999 itu bertukar menjadi fenomena dengan tujuh juta tontonan di Colombia.
Yo Soy Betty, La Fea susulan itu menjadi sensasi global, ditayangkan di lebih 180 negara, dialih kepada 25 bahasa dan diadaptasi sebanyak 24 kali.
Drama itu mencipta rekod apabila diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai drama bersiri paling berjaya dalam sejarah televisyen.
Keterujaan menonton drama itu 25 tahun lalu seperti hidup semula sebaik sahaja RCN Television pada 2023 mengumumkan penghasilan sekuel kedua, Betty La Fea, The Story Continues.
Drama itu dihasilkan selepas sekuel pertamanya, Eco Moda, yang berkisarkan kehidupan karakter asal yang juga pasangan suami isteri, Betty Aurora Pinzon Solano lakonan Ana Maria Orozco dan Armando Mendoza Saenz (Jorge Enrique Abello) membesarkan anak perempuan mereka.
Ditayangkan di platform OTT, Amazon Prime Video, sekuel kedua dengan 10 episod itu menemukan sekali lagi Ana Maria dan Jorge selepas lebih dua dekad.
Drama tersebut turut mengembalikan beberapa pelakon asal lain antaranya Lorna Cepeda sebagai Patricia dan Natalia Ramirez (Marcela), Julian Arango (Hugo Lombardi), Mario Duarte (Nicolas Mora Cifuentes) dan ramai lagi.
Pengarah, Mauricio Cruz Fortunato, menerusi wawancara bersama portal El Pais berkongsi mengenai cabaran menghidupkan semula karakter ikonik itu pada era berlainan.
“Ia memang mencabar kerana Betty adalah watak yang ikonik. Satu dunia kenal Betty, bukan sahaja Betty (Columbia), tetapi versi lain yang diwujudkan di negara berlainan.
“Saya teruja ketika menonton Betty yang dahulu. Dan sekarang saya semakin teruja melihat Betty yang sekarang.
“Kerja mengemas kini cerita bukan tugas yang mudah. Banyak perkara yang berlaku dalam cerita Betty yang dulu, tidak selari dengan keadaan zaman sekarang.
“Betty yang sekarang adalah individu yang matang, seorang manusia biasa memiliki kekuatan dan kelemahan. Saya memuji Fernando Gaitan yang mencipta watak ini lebih dua dekad lalu,” katanya.
Betty La Fea, The Story Continues mengisahkan kehidupan Betty selepas 20!tahun lalu.
Masih bergelar isteri kepada Armando, pewaris syarikat Ecomoda, Betty dan suaminya bagaimanapun tidak tinggal sebumbung.
Berlaku kematian dalam syarikat berkenaan, menemukan semula Betty dengan bekas pekerja syarikat berkenaan dan suaminya yang terpisah.
Penonton bakal melihat Betty memperbaiki hubungannya dengan anak perempuannya, Mila, yang pulang dari New York untuk mengambil alih perniagaan keluarganya.
“Betty berjaya mengubah persepsi mengenai kecantikan. Saya berpandangan itulah kejayaan dan perubahan yang dibawa drama asal.
“Betty membawa mesej tentang kecantikan dalaman, dan mesej itu berjaya mengubah ramai orang.
“Dan sekuel kedua kali ini adalah mengenai perkara itu, kecantikan dalaman. Dalam drama ini, kita melihat transformasi Betty kepada dirinya yang asal, yang diterima masyarakat,” jelasnya.