Berlakon bukan kerana anugerah - Eman Manan - Utusan Malaysia

Berlakon bukan kerana anugerah – Eman Manan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon prolifik, Eman Manan, 66, berdepan cabaran getir apabila dipertanggungjawabkan untuk melakonkan watak Raja Iskandar menerusi filem Takluk: Lahad Datu yang menemui penonton sejak 22 Ogos lepas.

Meskipun bukan peranan utama, tetapi watak yang dilakonkannya dalam filem itu, berat dan penting kerana diinspirasikan daripada Raja Kiram III, figura yang menjadi antara dalang utama pencerobohan Lahad Datu yang berlaku sekitar 11 tahun lalu.

Menjadi kebiasaan, setiap pelakon pasti berdepan kritikan lebih-lebih lagi apabila membawakan watak yang diinspirasikan daripada karakter sebenar.

Eman, tidak terkecuali. Malah, muncul pengkritik yang mempersoalkan aspek pertuturan karakter tersebut, yang tidak menggunakan bahasa Tausug, seperti yang dipertuturkan oleh karakter asal.

Dalam temu bual bersama Eman baru-baru ini, beliau memaklumkan Pengarah, Zulkarnain Azhar lebih awal menjelaskan bahawa karakter yang ditampilkan dalam filem kepolisan itu tidak seratus peratus menggambarkan figura sebenar yang terbabit dalam tragedi berkenaan.

“Saya katakan kepada pengarah, izinkan saya lakonkan watak ini berpandukan naskhah yang saya terima. Beliau bersetuju.

“Dan menerusi perbicangan, pengarah juga telah menjelaskan bahawa gaya pertuturan bagi karakter yang saya bawakan perlu di ‘Malaysiakan’. Ertinya, saya dibenarkan untuk melakonkan watak ini dengan bertutur dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Tausug seperti yang dipertuturkan oleh watak sebenar.

“Harus difahami, apabila sesuatu peristiwa sebenar itu difilemkan, ada penambahan yang dibuat untuk menjadikan filem itu sesuai dipertontonkan dan mudah diterima masyarakat. Walaupun watak Raja Iskandar ini tidaklah besar dalam filem ini, tetapi saya mampu melakonkannya,” katanya.

Pengalaman empat dekad dalam dunia lakonan cukup melayakkan Eman atau nama sebenarnya, Abdul Manan Embong diangkat sebagai legenda drama dan perfileman tanah air.

Dan pengalaman yang dikumpul sepanjang tempoh itu juga mematangkan Eman untuk menerima atau menolak mana-mana tawaran lakonan yang disampaikan kepada beliau.

Anak jati Kuala Terengganu ini bagaimanapun tidak mampu menolak naskhah Takluk: Lahad Datu yang padanya cukup signifikan dan membawa cabaran berbeza terhadap kebolehan lakonannya.

“Muncul tawaran lakonan yang terpaksa saya tolak disebabkan kekangan masa, selain watak yang tidak mampu saya bawakan.

“Tapi saya tidak mampu tolak filem ini disebabkan jalan cerita dan wataknya yang pada saya, menarik. Kebetulan. saya memang ikuti perkembangan peristiwa Lahad Datu ketika ia berlaku pada tahun 2013.

“Jadi saya rasa penting untuk saya sertai filem ini, yang menceritakan antara peristiwa penting yang tercatat dalam sejarah negara kita.

“Saya harap Takluk: Lahad Datu dijadikan rujukan masyarakat yang ingin mendapatkan gambaran bagaimana berlakunya peristiwa itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Eman berharap filem tersebut mampu memberi jentikan peringatan kepada masyarakat, terutamanya, generasi muda tentang keutamaan menjaga dan memelihara keharmonian daripada ancaman luar.

“Kita mungkin tidak mampu menyelami perasaan sebenar pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu. Tetapi dapat gambaran menerusi bahan penulisan dan penceritaan tentang sejarah.

“Dan saya tidak nafikan, memang berlaku kelunturan dan ketidakfahaman sejarah negara dalam kalangan generasi hari ini.

“Jadi saya harap, filem Takluk: Lahad Datu ini dapat membangkitkan semangat patriotisme dan memberi peringatan mengenai kebarangkalian berlakunya ancaman terhadap keharmonian negara sekiranya kita lalai dan alpa,” kongsinya.

CIKGU LAKONAN

“Datuk Rahim Razali, Prof. Madya Dr. Abdul Samat Salleh dan sudah tentu, kehidupan kita.”

Itu respons Eman sebaik sahaja saya bertanyakan kepada beliau, siapa guru lakonannya.

Pelakon filem Matinya Seorang Patriot itu mengakui, Rahim antara figura menjadi teladan dan inspirasi beliau dalam bidang berkenaan.

Dari sisi pandangan Eman, Rahim adalah seorang guru yang disayangi, banyak memberi tunjuk ajar bukan menerusi kata-kata, tapi menerusi perilaku dan kefahamannya terhadap karya.

“Saya menganggap beliau sebagai abang, ayah dan sahabat. Beliau adalah pengarah yang cukup tenang. Rahim faham bahawa penghasilan filem memerlukan ketenangan, tetapi bukanlah ketengan kosong, sebaliknya yang terisi dengan fokus dan tumpuan.

“Baru-baru ini saya berkesempatan sekali lagi berlakon dengan beliau menerusi filem terbaru saya. Rahim masih aktif dan sihat, Alhamdulillah. Dalam kesempatan itu saya bacakan kepadanya sebuah dialog yang saya ucapkan dalam filem Matinya Seorang Patriot berbunyi “kolam rasa, tasik jiwa, manisan sang dewa”. Beliau terkejut kerana saya masih ingat akan dialog tersebut.

“Dialog itu saya ucapkan dalam babak saya membelai Noor Kumalasari. Mungkin saya ingat dialog itu sampai hari ini kerana saya ketakutan apabila berlakon di samping Noor, seorang bintang ternama dan pujaan ramai.

“Apalah sangat kalau dibandingkan dengan saya seorang anak kampung yang baru bermula sebagai pelakon pada waktu itu,” kongsinya.

OGY AHMAD DAUD

Seniwati terulung, Ogy Ahmad Daud pernah memaklumkan beliau tidak ada masalah, malah menantikan peluang untuk bergandingan semula dengan Eman, yang juga bekas suaminya dalam drama atau filem.

Ini disebabkan selepas perceraian mereka pada tahun 2003, kedua figura ini tidak pernah disatukan dalam mana-mana naskhah, baik filem mahupun drama.

Eman bersetuju dengan pandangan Ogy mengenai perkara tersebut. Malah katanya, tidak timbul sebarang isu sekiranya mereka berdua sekali lagi disatukan di layar perak.

“Ogy Ahmad Daud seorang seniwati dan nama yang besar dalam dunia perfileman tanah air. Dia pada saya, khazanah negara.

“Kalau pun mahu berlakon dengan dia, itu atas dasar keperluan dan kesesuaian watak,” katanya.

Sementara itu, Eman juga memaklumkan cukup menghormati rakan-rakan seangkatannya yang lain. Katanya dalam kalangan mereka, tercipta semangat setia kawan yang tinggi, yang dipupuk sehingga ke hari ini.

“Kita mempunyai ramai pelakon hebat. Apabila saya menolak satu-satu tawaran, saya akan mencadangkan teman-teman seangkatan saya yang lain untuk mengambil alih watak berkenaan.

Antaranya, Wan Hanafi Su, Nasir Bilal Khan, Shahrudin Tambi, Jalil Hamid, Zaidi Omar.

“Mereka ini seniman hebat, malah nama mereka lebih besar daripada saya. Mereka ini khazanah negara,” kongsinya.

BUKAN KERANA ANUGERAH

BAKAT semulajadi, disiplin kerja dan komitmen yang diberikan Eman terhadap kerjaya lakonannya diiktiraf menerusi pelbagai pencapaian dan penganugerahan yang diterima pelakon ini selama 40 tahun bergelar anak wayang.

Beliau pernah beberapa kali diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia, Empat kali bergelar Pelakon Filem Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular) dan beberapa anugerah lain yang dimenanginya sepanjang pembabitan dalam dunia lakonan.

“Memanglah, saya rasa cita-cita saya tercapai apabila menang anugerah, hasil kerja saya diiktiraf. Tapi, saya berlakon bukan untuk kejar anugerah Pelakon Terbaik. Tetapi mencari kepuasan.

“Kita menang anugerah bukan disebabkan hasil kerja kita sahaja, malah juga bergantung kepada pelbagai perkara. Skrip, pengarahan, dan mereka yang bekerja dengan kita.

“Kemenangan kita adalah kemenangan bersama. Kita mewakili orang-orang dibelakang kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN