Apa sudah jadi dengan filem Harimau Malaya? - Utusan Malaysia

Apa sudah jadi dengan filem Harimau Malaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘APA sudah jadi?’

Mungkin antara persoalan yang berulang-ulang membentak, menghentak fikiran saya sepanjang 125 minit tayangan. Walaupun sudah nyata, tapi entah kenapa saya tetap berharap agar ini bukanlah filem Datuk Adflin Shauki yang saya kenal.

Mungkin panggung tersalah pasang fail. Mungkin ini bukan produk akhir dan lain-lain kemungkinan cuba saya bawa untuk menutup kekecewaan.

Namun nyatanya, sebuah filem yang mengangkat sukan paling berpengaruh di Malaysia dengan kelab penyokong paling ramai dihasilkan dengan cara yang begitu mengejutkan.

Saya berpendapat, naskhah Harimah Malaya boleh jadi secorot ini kerana beberapa perkara. Namun paling mustahak ialah bagaimana filem ini gagal mencari titik tengah atau subjek utama cerita ini.

Subplot adalah perkara biasa dalam filem, cuma di mana cerita utamanya? Adakah Rashdan? Adakah Datuk Hamidin? Atau Kim Pan-gon? Terlalu banyak yang berlaku, sangat berselerak dan serba-serbi tergesa-gesa.

Sudahlah titik utamanya samar-samar, pelakonnya pula gagal menunjukkan karisma terutama sekali pelakon yang membawakan watak Kim Pan-gon.

Saya tidak pasti apa yang membuatkan produksi yakin memilihnya kerana banyak adegan terasa membosankan (dan selalunya ia adegan penting) kerana dia tidak mempunyai jiwa yang perlu ada dalam seorang jurulatih.

Tambahan pula, terlalu banyak dialog dan babak yang ‘eh’ seperti Rashdan dibawa bertemu ibunya menaiki bas. Tiba-tiba menangis ketika menerima panggilan telefon tanpa mengambil sedikit jeda pun untuk ruang pembinaan emosi.

Juga perbualan yang serba cringe dengan Karina membuatkan naskhah ini lebih menjengkelkan.

Tetapi, kesalahan mutlak dan kesempatan yang besar dilepaskan Afdlin dan skripnya ialah bagaimana tergamaknya membawakan seorang Faisal Halim sebagai pekerja yang berceramah tentang kesetiaan terhadap pasukan di kaunter pusat beli-belah.

Mungkin Afdlin berhasrat mahu berjenaka, tapi sayangnya, itulah kesempatan emas dan peluang terakhir mereka boleh merakam seorang Faisal Halim sebelum insiden simbah asid menggemparkan negara berlaku.

Afdlin berpeluang memberikan sebuah adegan ikonik untuk seorang Faisal Halim di padang atau dialog yang tulen dan mengesankan. Namun sayangnya, dia lebih memilih Faisal memakai baju merah jambu berdiri di kaunter.

Jika saya boleh katakan, satu-satunya pujian untuk filem ini ialah Lionel yang dilakonkan Douglas Lim. Selain itu, yang lain biasa-biasa sahaja.

Mungkin juga kerana skrip yang gagal menonjolkan bakat mereka di layar. Maaf Meerqeen, selain wajah, dalam naskhah ini, lakonan anda masih kurang meyakinkan.

Ketika cerita habis dengan credit ending yang serba serbi memualkan, saya berasa hiba. Bukan kerana mengenangkan RM25 yang hilang. Tetapi rasa terkilan bagaimana sebuah filem sukan tidak memberi saya jiwa dan rasa bangga kepada negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN