Tidak ada istilah sudah terlewat - Asmidar

Tidak ada istilah sudah terlewat – Asmidar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH sedekad lalu, penyanyi ini diangkat menjadi juara program Vokal…Bukan Sekadar Rupa yang ditayangkan di TV3. Ketika itu, nama Asmidar mula meniti bibir masyarakat, dia dianggap pendatang baharu dunia seni suara yang bakal memberi saingan.

Asmidar atau Norhasmidar Ahmad juga bernasib baik kerana single pertamanya, Biar Sampai Ke Bintang berjaya melonjakkan namanya dalam persada hiburan tanah air.

Kini, selepas 12 tahun, anak jati Kuala Lumpur ini sudah boleh tersenyum dengan pencapaian yang diraihnya.

Asmidar mampu menarik nafas lega kerana selepas tempoh itu juga dia sudah mampu menganjurkan dua buah showcase, termasuk Asmidarisme Neotrad Showcase The Circle yang dipentaskan 13 Julai yang lalu.

Meskipun bukan sebuah konsert berskala besar, penyanyi berusia 38 tahun ini berpuas hati. Pada tahap ini, dia berjaya menghadiahkan peminatnya dua buah showcase yang bermakna dan cukup istimewa.

Pada Asmidar, itu sudah menjadi pencapaian yang wajar dibanggakan kerana perjalanan yang ditempuhinya sebagai penyanyi, penuh dengan liku dan onak yang cukup menduga.

“Tiada istilah sudah terlewat, meskipun selepas 12 tahun bergelar penyanyi. Tetapi saya akui, bukan senang untuk mengadakan showcase, apa lagi menganjurkan konsert solo. Tambah pula dalam keadaan saya yang masih bergerak sendiri.

“Saya bernasib baik kerana dibantu pengurus dan kenalan, manakala peruntukan yang digunakan untuk mengadakan showcase kedua ini adalah hasil simpanan peribadi selain sokongan daripada dana Mycreative.

“Dan adanya showcase sendiri selepas lebih sedekad berkecimpung dalam dunia seni adalah disebabkan kini saya lebih bersedia berbanding dulu, dimana saya masih lagi penyanyi yang mentah dan kurang pengalaman.

“Apa pun, saya bersyukur kerana sekali lagi berpeluang mengadakan showcase. Ini pada saya sudah memadai, ibarat konsert, walaupun skalanya kecil. Saya anggap ia satu pencapaian yang wajar saya banggakan,” katanya.

Pelbagai cabaran terpaksa penyanyi ini tempuh untuk sampai pada tahapnya yang sekarang.

Disebalik showcase yang dianjurkan, tersimpan suka duka yang dikongsikan Asmidar kepada penulis.

Ibarat mengetuk berkali-kali mengetuk pintu yang dikunci dari dalam, Asmidar bergelut mendapatkan tajaan.

Namun berbekalkan semangat dan keinginan, penyanyi ini tidak mudah mengalah. Malah, dia terus melangkah, mencipta peluangnya sendiri.

“Saya tak nafikan, memang sukar. Ramai juga pihak yang menolak apabila saya datang kepada mereka untuk dapatkan tajaan.

“Tapi saya tak pernah kecewa kerana saya faham mereka ada alasan sendiri. Malah, kalau bukan wang ringgit, mereka taja benda lain.

“Saya masih anggap diri saya bertuah kerana adanya dana Mycreative yang membantu untuk saya mengadakan showcase.

“Tinggal lagi, showcase ini kena berjaya, Insya-Allah agar saya dapat ‘buka mata’ dan tarik keyakinan ramai pihak untuk menaja persembahan-persembahan saya selepas ini,” kongsinya.

FASA KEHILANGAN

Terpanggil saya bertanyakan kepada Asmidar tentang fasa sukar yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Penyanyi yang memulakan kerjaya nyanyian seawal usianya 12 tahun ini pernah ‘terpukul’ dengan kehilangan orang tersayang 13 tahun lalu.

Pengalaman itu sebenarnya mendidik dan melahirkan Asmidar sekarang yang semangatnya seteguh karang.

“Saya kehilangan teman lelaki, Izaad Amir, yang terkorban dalam nahas jalan raya sekitar lebih 11 tahun yang lalu. Arwah ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Johor dari Kuala Lumpur.

“Kejadian itu memberi tamparan hebat buat saya yang pada ketika itu sedang menyiapkan album Kali Pertama.

“Masih segar dalam ingatan saya saat menerima khabar duka tersebut. Saya terpaksa direhatkan empat hari, mencari kekuatan untuk menyiapkan album tersebut dalam keadaan saya yang baru menghadapi kehilangan,” katanya.

Kongsi Asmidar, dia bersyukur kerana diberi semangat, kekuatan dan peluang untuk menawar duka peminat yang pernah melalui situasi serupa.

“Saya pasti setiap penonton persembahan saya pasti pernah mengalami fasa kehilangan orang tersayang.

“Sebab itu, saya, ketika membuat persembahan berharap dapat mengubat kedukaan mereka yang lalui pengalaman sama yang saya lalui 12 tahun yang lalu,” kongsinya.

PELUANG TAK DISANGKA

Menukar haluan, daripada penyanyi pop kepada asli dan tradisional menjadi tindakan tepat yang membuatkan Asmidar relevan sampai ke hari ini.

Peralihan itu menghadirkan terlalu banyak peluang yang tidak disangka. Namun dia sedar, ak semua orang minat dengan lagu asli atau tradisional.

Dia sendiri tidak pernah terfikir, akan beralih menjadi penyanyi genre yang dianggap sukar ini. Malah, dia mula menerima pelbagai undangan, meraih banyak peluang yang tidak pernah terlintas akan diterimanya.

“Sebagai contoh, berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi bertaraf legenda dalam dewan berprestij Dewan Filharmonik Petronas. Mengenali Asmidar, siapalah saya untuk dapat peluang sebegitu. Tapi disebabkan saya nyanyikan lagu asli dan tradisional, saya diberi kepercayaan.

“Dan pada tahun lepas, saya berpeluang wakili negara untuk berkolaborasi dengan sebuah band dari Jepun, membuat persembahan dalam acara yang diadakan di Malaysia.

“Pada masa yang sama, saya juga sering dijemput membuat persembahan dalam majlis yang diadakan di istana.

“Peluang-peluang sebegini terlalu berharga di mata saya. Walau pun jarang keluar televisyen atau radio, saya dapat peluang lain yang saya sendiri tak sangka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya