Sempat menjadi bualan ramai setelah tular menolak tawaran agensi gergasi Korea Selatan, SM Entertainment, bintang muda, Gabriel Prince dengan sepantasnya berjaya mencipta nama di tanah kelahirannya sendiri, Indonesia.
Kali ini, Gabriel Prince atau lebih mesra dengan panggilan Prince melebarkan sayap kariernya mencuba menembusi pasaran muzik Malaysia pertaruhan single terbarunya, Sunday, yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya sendiri.
“Lagu ini berkisahkan tentang kawan saya. Dia pernah meluahkan perasaan cintanya kepada saya. Tetapi saya terpaksa menolak cintanya kerana takut kehilangan persahabatan yang terjalin.
“Kisah ini terjadi pada hari Ahad (Sunday) dan disebabkan itu, saya pilih Sunday sebagai tajuk,” katanya.
Nashkah berkisarkan cinta tidak berbalas itu merupakan hasil ciptaan bersama dengan penyanyi Kaleb J dan penerbit lagu, Belanegara Abe mengambil masa hampir sebulan setengah untuk disiapkan.
“Semasa proses mencipta lagu ini, saya dan penerbit menulis bersama-sama. Tempoh menghasilkan lagu ini mengambil masa hampir sebulan setengah dan penggambaran filem pendek Sunday adalah selama dua hari,” ceritanya.
Berkongsi berkenaan cabaran terbesar dirinya untuk berada dalam industri hiburan, penyanyi kacak itu mengakui dirinya agak introvert.
“Saya rasa agak malu untuk berjumpa dan bertegur dengan orang baharu. Untuk bercakap di hadapan khalayak yang ramai juga menjadi cabaran terbesar yang saya hadapi.
“Tetapi bila sudah biasa berjumpa dengan ramai orang setiap hari, sedikit sebanyak membantu saya untuk tampil dengan lebih yakin,” kongsi jejaka berusia 20 tahun itu.
Tidak hanya di Malaysia, penyanyi Solicitude itu juga berkata dirinya sentiasa untuk mencari peluang di negara lain untuk meluaskan bakat yang dimiliki.
“Saya baru balik dari Korea dan agak berminat untuk menembusi pasaran di sana. Bagi saya, agak menarik untuk meneroka industri di negara itu.
“Saya rasa memulakan langkah di mana sahaja akan menjadi permulaan yang baik untuk saya sebagai artis baru dalam usaha untuk mengembangkan karier,” ujarnya.
Dalam pada itu, sempat bertemu peminat di ketika penggambaran di Sabah, Prince bersyukur diterima baik mendapat sokongan yang baik daripada peminat di sini.
“Semua peminat di sini sangat baik, sopan. Saya dapat banyak hadiah dan juga makanan. Saya juga sempat bertemu peminat yang menyokong saya sejak dari 2021,” kongsinya.
Zendaya, Timothée Chalamet
Tidak hanya boleh menyanyi, Prince yang juga anak kepada pelakon popular Indonesia, Natalie Margareth itu memulakan debut lakonannya pada 2022 dan mengimpikan sesuatu yang besar dalam dunia lakonannya.
“Untuk lakonan, saya banyak belajar daripada mama kerana dia juga merupakan seorang pelakon. Saya lihat dia berlakon daripada kecil.
“Daripada tahun lepas, saya sudah menghadiri kelas lakonan dan berharap dalam berlakon lebih banyak filem pada masa akan datang.
“Buat masa sekarang saya sudah memiliki projek filem yang akan menjalani pengambarannya di Kanada dan Korea,” ujarnya.
Prince berkongsi antara bintang Hollywood yang dia ingin untuk bekerjasama adalah Zendaya dan Timothée Chalamet kerana mengagumi bakat lakonan yang dimiliki oleh mereka.
Sempat bergandingan dengan artis tempatan, Anna Jobling, menerusi karya Laut Tengah, Prince menyifatkan aktres itu sebagai wanita yang sangat baik dan selesa untuk bekerja.