Saya pernah hilang percaya diri, tersisih dan kosong… - Farid Kamil - Utusan Malaysia

Saya pernah hilang percaya diri, tersisih dan kosong… – Farid Kamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sekali, tetapi berkali-kali pelakon ini dihenyak realiti kehidupan. Itu yang terlihat di mata kasar kita. Namun, mungkin dalam kamus hidupnya, dia sepertinya sudah berputus asa, menjalani kehidupan penuh pancaroba.

Bertemu empat mata dengan lelaki bernama Farid Kamil ini, dia tenang dalam membuka lipatan sejarah hidup. Berkali-kali juga dia menarik nafas reda, dalam setiap ujian yang melanda, ada sinar di balik cerita.

25 tahun pelayaran dalam dunia seni, baginya terasa seperti baru tiga hari mengemudi bahtera. Dia hadir sebagai lelaki yang tiada apa, namun sehingga kini, dia masih menghambakan diri sebagai seorang anak seni.

“Saya tidak tahu, bila tarikh tamat saya sebagai anak seni. Ketika ini, saya sedang berjalan-jalan. Menikmati apa yang Tuhan beri. Nikmat tubuh badan sihat dan kehidupan yang tenang.

“Instrumen seorang pelakon, adalah tubuhnya. Jika Tuhan menarik nikmat bercakap sebagai contoh, mungkin sukar untuk saya berlakon. 25 tahun ya, saya sendiri tidak pernah mengira berapa jauh kaki ini melangkah.

“Apa yang berlaku sepanjang 25 tahun dalam dunia seni dan 43 tahun saya bernafas sebagai manusia, saya hanya mengharapkan pengakhiran yang baik. Saya mahu tinggalkan dunia, sebagai manusia, anak, suami dan bapa yang baik,” ujarnya.

Sesekali dia melihat di luar jendela pejabat kami. Sepertinya dia sendiri tidak sedar, tahun ini dia meraikan jubli perak hidupnya sebagai anak seni. Bermula dengan hanya berlakon iklan, kini dia berdiri bersama deretan trofi pembuktian bakat.

Tetapi jika mampu diimbas kembali, detik apa yang benar-benar menghancurkan dinding percaya dirinya? Adakah sepanjang pelayarannya, dia seperti mahu menjatuhkan sauh, menghentikan perjalanannya?

“2016, ketika itu saya terjatuh dan terus terjauh. Saya sedar, tak semua dalam hidup ini indah. Dugaan itu benar-benar menjadikan siapa saya sekarang. Tuhan tarik kepercayaan orang terhadap saya.

“Malah, Tuhan tarik juga kepercayaan saya terhadap diri sendiri. Setahun saya mencari siapa diri ini. Kosong, tertanya-tanya untuk apa saya di dunia. Apabila orang mula mengasingkan diri, saya rasa hidup sunyi,” katanya.

BANGKIT SEMULA

Lantas bagaimana dia menyusun semula tangga kepercayaan diri itu? Bagaimana pula dia membenarkan orang sekeliling mendaki tangga yang dahulunya retak seribu? Bagaimana dia bangkit semula?

“Saya ketika itu mungkin masih muda. Tidak punya ilmu tentang apa yang berlaku. Tidak faham erti ujian Tuhan. Saya tidak faham kenapa jadi begitu. Kosong untuk menilai apa yang berlaku, penuh dengan penafian.

“Namun satu ketika, saya terdetik untuk menyerahkan diri kepada Tuhan. Ketika saya mula hilang kefahaman kepada hidup, saya sedar yang menciptakan kehidupan itu adalah Dia. Di mana lagi saya perlu kembali jika bukan kepada Dia?

“Apabila saya mula menjalani kehidupan sebagai seorang hamba Allah, jalan itu terbuka. Sehingga kini, saya melalui perubahan 360 darjah. Terutama selepas memasuki usia 40-an. Kita sedar, tujuan hidup itu apa,” ujarnya.

Perceraian dan rujuk semula yang bersama isterinya, Diana Danielle meninggalkan satu titik sejarah yang besar dalam dunia hiburan. Namun apa yang berlaku mendekatkan dia kepada ‘leluhur’ pernikahan, menjadi suami yang terbaik untuk bidadarinya.

“Saya tidak pernah berhenti mencari salah diri sendiri. Selepas itu perbetulkan. Kita kadang-kadang tidak sedar, ada berlaku salah yang membuatkan orang terasa dan berkecil hati.

“Sebelum ini saya kurang bertegur dengan mak mertua. Saya fikir, setiap bulan beri duit semua okay. Namun, orang tua kita kena santuni. Saya suba untuk buat sesuatu di luar kebiasaan. Ajak dia minum kopi contohnya.

“Bila saya mula menguat silaturrahim, hati jadi lapang dan pintu rezeki terbuka luas. Benarlah, doa isteri, ibu bapa dan anak-anak adalah pembuka rezeki untuk seorang suami. Hidup ini, tenang,” kongsinya.

GOLD

Adil jika saya meletakkan dia sebagai seorang pelakon yang hebat. Lebih 70 filem, telefilem dan drama yang sudah dibintangi membuktikan dia bukan aktor sembarangan. Impak lakonannya sehingga kini, terbukti.

Apatah lagi, dalam tempoh lima tahun, dia dipilih melakonkan watak yang diangkat berdasarkan karakter sosok manusia yang masih hidup. Itu antara cabaran terbesar bagi seorang pelakon, menjadi diri orang lain.

“Alhamdulillah, saya pernah melakonkan watak sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini, dalam Gold, saya membawa watak Datuk Rashid Sidek. Kedua-duanya insan yang penuh karakter.

“Saya seorang pelakon yang bertuah sebenarnya. Apabila membawakan watak Anwar Ibrahim, ketokohan itu adalah cabaran terbesar saya. Dan kini, Rashid Sidek. Legenda dalam sukan badminton,” katanya.

Teruja tatkala diminta berkongsi cabaran melakonkan watak Rashid, aktor yang juga pengarah ini perlu melakukan kajian dan penyelidikan untuk menjadi sehampir boleh dengan sosok seorang Rashid Sidek.

“Saya kena jumpa dia. Rezeki saya melakonkan watak yang masih hidup, tetapi itu satu cabaran. Cara bercakap, berjalan, bergerak dan bermain badminton semua itu saya perlu kaji dan ikut.

“Kecewa sebab tak sempat bermain badminton dengan dia, tetapi ketika sesi latihan Bekas jurulatih perseorangan negara itu ada datang dan tengok. Saya kena belajar, supaya tidak nampak kekok.

“Rashid seorang pendiam, jadi saya kena tonton video-video dia ketika bermain dan menjadi jurulatih. Cuma itulah, 30 tahun saya tak sentuh raket badminton. Memang janggal mulanya. Tetapi bila dah mula, sampai sekarang belum henti main,” kongsinya.

Gold yang akan mula ditayangkan 11 Julai depan turut menampilkan Jack Tan sebagai pemenang pingat emas badminton pertama Sukan Paralimpik, Cheah Liek Hou, Yasmin Hani dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya