Ramai tanya, saya ini pura-pura buta ke? - Iqbal Mazlan - Utusan Malaysia

Ramai tanya, saya ini pura-pura buta ke? – Iqbal Mazlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali bersua bicara dengan pelakon dan bakal pengarah, Iqbal Mazlan, memang terbit satu pertanyaan apakah kondisi sebenar matanya yang kini buta. Sementelah bola matanya sama seperti sedia kala.

Mendedahkan pernah berdepan pihak yang mempersoalkan benarkah dia buta, tertanya-tanya juga apakah perasaan Iqbal tatkala ada yang meragui kondisi matanya atau dia hanya berpura-pura?

Apatah lagi, dia kini bakal bergelar pengarah di bawah produksi kolaborasi Just Work entertainment dan Art Ornament Sdn Bhd. Lantas, bagaimana dia mahu mengarah tanpa pancaindera mata.

Jawablah mendapatkan juara musim pertama program realiti, Pilih Kasih ini. Iqbal, Jawablah!

J: Tahniah Iqbal, nampak gayanya tambah satu lagi portfolio sebagai sutradara. Bakal mengarahkan 10 drama pendek 100 episod setiap satu, maaf bertanya, bagaimana Iqbal melunaskan tugas sebagai sutradara? Dengan kondisi mata yang buta?

I: Ya, mungkin ramai yang tertanya-tanya tetapi saya bukan buta dari kecil. Saya hilang penglihatan sejak dua tahun lalu. Jadi, saya sudah ada visi dan misi berpandukan memori penglihatan dahulu.

Lagipun, saya bakal mengarah bersama Aida Othman. Dialah mata saya ketika penggambaran. Saya akui, proses akan jadi agak rumit tetapi saya percaya, selagi ada usaha dan cara, semuanya boleh dilunaskan dengan baik.

Menerusi projek drama pendek ini, saya akan keluarkan idea yang telah saya simpan sejak dulu lagi. Saya sudah ada gambaran untuk sesebuah babak, jadi Aida akan mengarah mengikut hasil perbincangan bersama.

J: Tetapi ini bukan kerja mudah kan, 10 drama pendek dengan 100 episod setiap satu. Tambahan pula, produksi bakal membuka peluang kepada pelakon-pelakon baharu. Pasti lebih rumit dan sukar. Bagaimana Iqbal meyakinkan diri?

I: Kalau dikira, jumlah keseluruhan adalah 1,000 episod tetapi setiap episod berdurasi kurang dua minit. Drama pendek untuk media sosial. Kami akan melakukan penggambaran berterusan dan babak akan dipotong mengikut durasi ditetapkan.

Soal pelakon, saya percaya kita mempunyai bakat-bakat luar biasa yang mungkin tidak ada peluang ke depan. Kami akan melakukan sesi ujibakat secara terbuka pada 27 Julai depan, anda yang berminat boleh datang.

Keyakinan itu adalah kerana saya pernah mengarah iklan dan mula buat kandungan genre sama beberapa tahun lalu. Jadi pengalaman itu ada. Lagipula, team produksi sangat dinamik dan berkebolehan.

J: Kiranya, Iqbal adalah seorang yang mudah percaya orang? Terutama dalam mempercaya hasil kerja seseorang walaupun tanpa deria penglihatan?

I: Ya, betul. Ada juga orang tanya, tak takut kena tipu ke? Tapi saya percaya kepada niat ikhlas dan bakat seseorang. Kalau dia kerja bagus dan team produksi lain pun memberi pujian, tidak adil kalau saya menghukuminya.

Mungkin Tuhan tarik ‘mata’ saya tetapi Dia kurniakan saya deria untuk ‘kenal’ seseorang daripada cara percakapan dan ‘aura’ nya. Komunikasi adalah kunci kepada kejayaan sebuah kerjasama.

J: Maaf jika soalan ini agak kasar. Melihatkan bola mata Iqbal yang sentiasa ‘liar’, pernah tak ada pihak yang meragui adakah Iqbal benar-benar buta atau sekadar buat-buat tak nampak? Untuk tular mungkin?

I: Tak mengapa, awak bukan orang pertama yang bertanyakan soalan ini. Memang ramai yang tidak percaya. Mereka sangka saya buat-buat buta disebabkan bola mata saya yang ‘liar’ dan senang mengikut arah percakapan.

Macam saya cakap, saya bukan buta dari kecil. Saya buta disebabkan masalah pendarahan. Sebelum ini memang doktor cakap ada peluang untuk kembali celik, tetapi selepas jumpa seorang doktor pakar terkenal, macam tipis pula.

Tetapi saya tetap yakin dengan perancangan Tuhan. Dia lebih tahu apa yang terbaik. Lagipun telinga saya sangat tajam pendengaran sekarang. Bunyi sikit pun ada akan alert.

J: Iqbal kecewa tak bila ada yang meragui kondisi penglihatan Iqbal? Sudahlah siap bertongkat, jalan pun terlanggar ‘halangan’ kiri kanan, masih ada yang tak percaya.

I: Sekarang tidak, mungkin ketika mula buta saya akan terasa. Sekarang saya anggap itu dark humor. Saya tak boleh terlalu serius dan ambil hati dengan setiap apa yang orang persoalkan dan kritik.

Nak jelaskan dengan terperinci sangat pun, mereka bukan kenal saya dan mungkin sebenarnya tak ambil peduli pun. Buat ‘buta’ sahajalah dengan pemikiran orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya