Populariti Zubir Khan meledak hingga ke India - Utusan Malaysia

Populariti Zubir Khan meledak hingga ke India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Percubaan tujuh tahun Zubir Khan membina nama sebagai seorang penyanyi yang dikenali nampaknya membuahkan hasil apabila kini namanya semakin meniti di bibir peminat.

Tuah juga menyebelahinya setelah tampil dengan lagu berjudul Yennode Macha dan OMK ( Oh My Kadhale) pada tahun ini bila mana dua lagu tersebut mendapat perhatian menggila daripada pendengar Melayu.

Ya, benar, Zubir Khan baharu sahaja meraih perhatian pendengar Melayu sekitar dua tahun kebelakangan ini memandangkan sasaran permulaannya dalam industri seni adalah untuk pasaran masyarakat India sahaja.

Ini kerana bakat nyanyian pemuda asal Selangor ini terarah kepada lagu-lagu berbahasa Tamil dek kelebihannya mampu berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

Menyifatkannya sebagai satu keunikan diri, kata Zubir, mungkin juga kerana itu maka dirinya lebih mudah meneroka peluang dalam pasaran masyarakat India.

“Sebelum ini saya hanya dikenali di kalangan masyarakat India saja. Bila lagu tersebut popular di kalangan orang kita pula, saya rasa terharu dan bersyukur. Ini bermakna rezeki tak salah alamat dan saya mampu menambat hati pendengar Melayu menerusi lagu Tamil.

“Saya juga sedar, progres saya sebagai seorang anak seni tak sama macam penyanyi Melayu lain. Walaupun saya Melayu, tetapi bakat saya bermula untuk pasaran pendengar lagu Tamil.

“Kalaulah saya mulakan kerjaya dengan menyanyikan lagu Melayu, belum tentu juga saya akan berjaya. Mungkin inilah jalan terbaik untuk saya,”katanya.

Turut bersyukur kerana lagu-lagu nyanyian dan ciptaannya berjaya meledak hingga ke India, Zubir mengakui ia juga satu hal yang amat membanggakan buatnya.

“Saya tak sangka juga lagu-lagu saya berjaya menembusi pasaran sana dan dimainkan di pelbagai stesen radio. Satu perkara yang membuatkan saya sangat gembira dan bangga.

“Sebelum ini pun saya sering mendapat pertanyaan di Instagram dan TikTok. Selain Malaysia, rupanya ramai yang meminati karya saya dan mereka dari India, Sri Lanka termasuk Indonesia.

“Mereka tanya bila nak datang buat persembahan di tempat mereka. Sungguh ia membuatkan saya rasa sangat terharu,”katanya.

Kongsi Zubir lagi, dia begitu mengidolakan komposer terkemuka India, Anirudh Ravichander yang banyak menghasilkan karya lagu hits dan popular.

Antara lagu ciptaan Anirudh termasuk Kaavaalaa runut bunyi filem Jailer lakonan hero Tamil popular, Rajinikanth dan lagu Chaleya untuk filem Jawan lakonan Datuk Shah Rukh Khan.

“Saya ada dapat tawaran untuk ke sana bagi membuat persembahan. Insya-Allah, tahun depan akan ke sana jika tiada aral. Semuanya sedang diatur.

“Saya sendiri pun teruja nak buat persembahan di sana sebab memang belum pernah lagi. Kalau jalan-jalan di sana pernahlah. Tak tahu bagaimana agaknya suasana nanti,”katanya.



Kekurangan bukan penghalang

Dalam pada itu, ditanya mengenai bagaimana dirinya menggali semangat dan keberanian untuk menceburi bidang seni muzik di sebalik kekurangan diri, Zubir menganggap segalanya harus bermula dengan minda yang positif.

Katanya, sejak kecil, bapanya yang merupakan seorang pemain muzik sering menyertai persembahan kenduri kahwin di estet dengan bermain alat muzik tabla.

Kebiasaannya, kata Zubir, dia akan mengikuti bapanya dan kemudian akan diminta untuk turut sama menyanyi di pentas meskipun ketika itu dia masih belum fasih berbahasa Tamil.

“Dari kecil ayah susah biasakan saya menyanyi di pentas kenduri. Mungkin dari situ susah terbina sifat berani untuk berdepan dengan orang ramai dan akhirnya siapa sangka, saya benar-benar menceburi bidang seni.

“Pada awalnya, saya tak pernah terfikir pun nak jadi penyanyi. Selepas ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya cuma nak kerja biasa sahaja. Tetapi ini jalan yang Allah SWT sudah takdirkan maka saya syukur dan jalani saja.

“Saya tak mahu anggap kekurangan ini satu kelemahan. Ini bakat yang Allah dah kurniakan, boleh menyanyi dan berbahasa Tamil, saya teruskan,”katanya.

Pada masa yang sama, Zubir juga yakin, sekiranya dia normal dan mempunyai tangan, belum pasti takdirnya membawa kepada jalan yang dimiliki sekarang.

“Sebab, Allah tarik satu nikmat, Dia akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Saya pegang kata-kata itu. Ramai orang yang ada kekurangan mereka lekas putus asa.

“Sebenarnya, kalau mereka tak cari kelebihan mereka, ia tak akan ditemui. Macam saya, tak lepas berdoa dan mohon petunjuk Allah ke mana arah saya. Lalu Dia berikan jalan ini,”katanya.

Dalam pada itu, Zubir tidak menolak kini sedang merancang untuk menghasilkan lagu-lagu baharu termasuk lagu berbahasa Melayu untuk dihadiahkan kepada peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya