BUKAN tidak ada tetapi jarang sekali watak dewasa Aedy Ashraf mencuri perhatian. Dia seolah-olah tidak boleh ‘membunuh’ karakter sebagai pelajar sekolah. Adakah kerana raut wajahnya yang kekal muda atau dia sudah sinonim dengan karakter sebegitu.
Namun bagi lelaki berusia 30 tahun itu, dia sebolahnya mahu menutup buku dan meneruskan karier lakonan tanpa watak pelajar sekolah lagi. Cukup sudah ‘jodohnya’ dengan watak sebegitu.
Tetapi mengapa dia menerima tawaran sebagai pelajar dalam filem Kahar Kapla High Council? Apakah yang membuatkan dia tertarik dan teruja sehingga sanggup turun padang menguji bakat? Tidakkah itu menguris kematangannya sebagai pelakon senior? Aedy, Jawablah!
J: Ramai yang teruja apabila melihat nama Aedy sebagai salah seorang pelakon dalam filem yang diangkat dari siri fenomena, Kahar Kapla High Council. Aedy memang menantikan tawaran sebegini ke?
A: Saya memang menunggu naskhah sebegini. Apatah lagi, kita semua sedia maklum memang Project High Council telah mencipta fenomena luar biasa kan. Bila tahu ada pencarian pelakon, saya pergi casting.
Kualiti pembikian dan skrip filem ini yang kita tahu memang terbaik. Itu membuatkan saya lagi teruja untuk mencuba nasib dan akhirnya terpilih sebagai salah seorang pelakon. Saya pegang watak Beja, abang kepada Kahar.
J: Biarpun Aedy sudah ada nama dalam industri seni tempatan, tetap perlu jalani uji bakat ya?
A: Ya, saya memang tiada masalah hendak pergi uji bakat lebih-lebih lagi untuk filem seperti ini. Bukan hendak tunjuk bagus, tetapi kita perlu tahu kesesuaian watak itu menerusi uji bakat tersebut.
Jangan malu pergi uji bakat. Jangan fikir pasal kita ini bagus atau tida. Kalau terpilih, rezeki dan berkat usaha. Kalau tidak, mungkin karakter itu kurang bersesuaian dengan kita. Uji bakat sebenarnya membuka mata kita sebagai pelakon.
J: Jadi Aedy menolak persepsi pelakon senior atau berpengalaman tak perlu jalani uji bakat?
A: Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai pelakon senior atau berpengalaman. Tak perlu pun. Setiap kali masuk set penggambaran untuk projek baharu, kita ibarat pelakon baharu kerana karakter berbeza.
Apatah lagi untuk Kahar Kapla High Council, saya bergandingan dengan pelakon daripada pelbagai generasi. Ada lama, ada baharu. Semua itu menjadikan saya lebih matang dan boleh belajar sesuatu daripada mereka.
J: Sehingga sekarang, seperti sukar sungguh untuk Aedy membuang watak pelajar sekolah itu. Sentiasa ada tawaran dan naskhah yang menampilkan Aedy sebagai pelajar. Adakah sudah tiba masa untuk Aedy ‘menutup buku’ untuk watak begitu?
A: Saya anggap tawaran itu sebagai satu pujian. Bukan mudah untuk orang percaya kita di usia 30-an ini membawakan watak pelajar. Tetapi saya sebenarnya sudah mahu menutup ‘zaman’ persekolahan saya.
Tetapi untuk filem ini, saya tak boleh tolak. Saya rasa, ini adalah watak terakhir saya sebagai pelajar sekolah. Mungkin tidak akan ada lagi naskhah sebegini kuat untuk ditawarkan kepada saya. Ini yang terakhir.
Bukan saya mahu menolak atau lari daripada watak pelajar, tetapi sudah tiba masa untuk saya move on. Saya mahukan naskhah yang lebih mencabar seiring kedewasaan saya. Sesuatu yang berbeza.
J: Selain populariti dan kualiti naskhah ini, apa yang membuatkan Aedy bulat hati menerima watak Beja?
A: Sebenarnya, ramai tak tahu saya ini boleh bercakap dalam dialek Kelantan. Dalam filem ini, saya kecek kelate. Saya membesar di Kuala Lumpur tetapi keluarga saya berasal dari Kelantan.
Bila dapat tawaran Beja, saya fikir this is the one. Saya memang menunggu karakter anak Kelantan. Sebab itu saya mahu cabar diri. Selain perlu mahir seni pertahanan diri, saya kena teroka lebih banyak teknik lakonan untuk filem ini.