Longlegs. Dari tajuknya sahaja sudah ada gambaran aura ngeri, tidak nyaman, dingin dan kedengaran 70-an sekali. Sangat mengena dengan latar keseluruhan filem menceritakan kes pembunuhan misteri yang berlarutan sejak beberapa tahun.
Longlegs dengan beraninya menjual tagline ‘filem paling seram’ disutradarai Osgood Perkins yang prolifik menghasilkan filem pembunuhan.
Saya baru tahu filem ini rupanya tular di media sosial. Namun saya telah menontonnya sebelum Longlengs dibahaskan di mana-mana.
Membawakan kisah seorang perempuan yang juga ejen FBI, Lee Harker. Salah satu kriteria yang menyebabkan Lee diserap ke dalam badan perisikan itu adalah kerana dia memiliki kelebihan indera keenam.
Ini kerana, jika mahu dilihat daripada kecekapannya memegang senjata, tidaklah sehebat mana.
Lee diminta menyiasat satu misteri pembunuhan kanak-kanak yang selalunya mati di tanggal ulang tahun kelahiran mereka oleh makhluk yang dipanggil Longlegs.
Plotnya sebenarnya tidak boleh lari dari sumpahan syaitan dan juga latar golongan paderi. Namun begitu, ada sesuatu di dalam naskhah ini yang membuatkan saya rasa ia menarik, berbeza dan tulen sekali.
Menurut saya, Longlegs tidak menawarkan rasa seram atau takut dengan cara yang sama pernah dihidangkan sutradara lain dalam naskhah mereka.
Bayangkan, adegan pembukaan sahaja sudah percaya menyita kepercayaan dan keyakinan saya untuk meletakkan Longlegs sebagai naskhah yang menjanjikan.
Adegan jumpscare yang selalu menjadi pelaris naskhah seram tidak didatangkan secara biasa iaitu pergerakan kamera sedikit pantas dan dibantu dengan skor muzik membingitkan.
Tapi jumpscare di dalam Longlegs ditampilkan dengan sangat tiba-tiba, tanpa ada momentum awal atau tidak perlu muzik yang kuat tapi menjadi.
Ada sesuatu dalam kaedah syot yang dipilih Perkins membuatkan filem ini sangat suram. Setelah saya fikir-fikir, salah satu sebabnya adalah apabila Perkins banyak mengambil syot sudut lebar.
Dia jarang merakam adegan dengan syot jarak dekat. Secara tidak langsung, penonton melihat lebih banyak ruang di dalam layar sekali gus menghasilkan perasaan kosong dan sunyi berbanding biasa.
Selain itu juga, kebanyakan adegan dalam filem ini dikekalkan dalam suasana asal tanpa menambah sebarang skor muzik. Ketulenan ini kemudian melahirkan perasaan tidak senang, janggal dan mengganggu.
Longlegs yang ditampilkan dalam naskhah ini bukanlah jembalang atau hantu yang mempunyai adegan rasuk sehingga memanjat dinding.
‘Hantunya’ hanyalah lelaki biasa tapi aura yang dibawanya sangat menyeramkan. Jalan cerita juga karakter yang ditunjukkan dalam filem ini juga sangat solid membuatkan saya tersenyum-senyum puas menonton cerita ini.
Bagi saya, Longlegs bagus, tapi belum cukup untuk meyakinkan saya bahawa ini adalah filem terseram seperti disebut dalam tagline mereka.
Namun begitu, ada sesuatu di dalam Longlegs yang seperti mengekori, mengganggu dan membuatkan naskhah ini tetap layak disebut filem cemerlang walaupun penonton di sebelah saya tertidur semasa tayangan dan marah-marah mencemuh filem ini kerana membosankan.