TATKALA pelakon dan penyanyi, Janna Nick mendedahkan masalah kesihatan mentalnya yang membimbangkan, tidak semua warganet menerima itu dengan rasa simpati dan prihatin. Ada yang memilih untuk mengecam.
Entah mengapa, mereka seolah tidak mempunyai empati dan cuba untuk memahami artis juga manusia. Adakah sudah namanya selebriti, semuanya harus terlihat manis-manis belaka? Hanya yang indah sahaja?
Lantas apabila ada segelintir pihak yang mengecam Janna hanya kerana mendedahkan penderitaan mentalnya, tidakkah itu lebih menambah kekeliruan dan ‘kesakitan’ yang ditanggung?
Jawablah menyelami isi hati dan fikir pengacara popular itu. Bagaimana dia melawan dibuli secara maya oleh segelintir netizen? Pernahkah dia terfikir untuk melakukan sestau di luar batas manusia? Janna, Jawablah!
J: Artis dan kecaman kononnya tidak dapat dipisahkan. Tetapi itu bukan tiket atau alasan untuk segelintir pihak terus menerus mencari salah selebriti. Janna sendiri antara mangsa buli siber. Bagaimana Janna melalui fasa itu?
J: Sebagai manusia biasa, pastinya perasaan dibuli itu sangat menyakitkan. Orang kecam, fitnah dan gelar kita dengan macam-macam perkataan. Ditambah pula dengan kondisi mental saya yang tidak stabil, memang sakit.
Tetapi saya ambil jalan untuk tutup akaun media sosial buat sementara. Saya tak mahu benarkan diri saya lemas dalam kecaman yang ada. Lagi saya layan, ambil peduli lagi merosakkan diri sendiri.
J: Maksud merosakkan diri sendiri itu dari segi mental atau fizikal? Adakah Janna pernah terfikir untuk mencederakan diri atau melakukan sesuatu yang bahaya?
J: Alhamdulillah, saya masih rasional walaupun berdepan dengan kecaman dan pembulian siber. Rosak dari segi mental, fikiran kita. Nanti saya akan jadi overthinking dan triggered masalah mental saya.
Setakat ini saya tidak pernah lagi terfikir untuk mencederakan diri hanya kerana kecaman. Tetapi lain orang, lain penerimaan. Ada yang tidak boleh dan tidak tahan. Tak semua orang mental kuat.
Jangan ambil mudah dan jangan anggap kecaman, fitnah dan tuduhan dengan kata-kata kesat itu sebagai satu gurauan atau komen biasa. Kita tidak tahu, di hujung hari, apa yang difikir oleh mangsa buli.
J: Bagaimana Janna kuatkan semangat? Kumpul kekuatan untuk tenangkan diri sendiri? Dibuli biarpun secara siber dan hanya kata-kata (bagi pendapat segelintir pihak) adalah sangat membahayakan.
J: Ya, sebab itu saya cakap ada yang anggap kecaman, makian sebagai guaraun. Tidak ya. Saya perlu ingatkan diri berkali-kali mereka di media sosial itu tidak kenal pun siapa saya sebenarnya.
Mereka hanya menilai saya dari media sosial menerusi gambar dan video atau kata-kata yang saya muat naik. Sedangkan mereka tidak tahu bagaimana saya bersusah payah dalam kehidupan, apa yang saya lalui. Pengalaman hidup saya semua. Mereka tidak tahu.
J: Janna pernah terfikir, bagaimana boleh wujud golongan yang suka membuli secara fizikal, mental atau siber?
J: Sebab mengapa mereka membuli itu hanya ada pada mereka. Tetapi saya belajar daripada pengalaman. Saya tidak salahkan mereka 100 peratus. Kadang-kala kita yang beri mereka ruang untuk buli dan kecam.
Sekarang saya cukup berhati-hati sebelum memuat naik sebarang kandungan di media sosial. Tetapi nama pun manusia, ada kala kita terlepas pandang dna tersilap. Cuma jangan jadikan itu medan kecaman. Tiada sesiapa pun yang sempurna.
J: Melihatkan pelbagai kes melibatkan buli siber ini, mungkin apa pesanan Janna terutama kepada generasi muda yang baru mahu ‘mengenal’ dunia?
J: Jangan buli orang lain tidak kira secara fizikal atau mental, dalam siber atau di mana-mana sahaja. Jangan jadikan buli itu satu budaya yang akhirnya bertukar jenayah. Jangan bangga dengan pembulian yang anda lakukan.
Setiap kita ada jalan cerita sendiri. Setiap yang baik dan jahat juga ada balasan sendiri. Jangan merosakkan masa depan anda dengan buli.