Jaclyn Victor kembali bertenaga dalam Kejutkan Aku - Utusan Malaysia

Jaclyn Victor kembali bertenaga dalam Kejutkan Aku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU-LAGU balada pastinya melelahkan untuk Jaclyn Victor jika karya dihasilkannya gagal mencapai piawaian diinginkan, seperti yang berlaku kepada dua single berjudul Perempuan (2022) dan Kembalilah (2023).

Daripada menanggung lebih banyak kerugian, maka, Jaclyn perlu menukar strategi bermuzik dengan mengulang semula format hits rancak, catchy dan mengikat seperti Di Bawah Pohon Asmara, Cepat Cepat, Satu Harapan, Sebelah Jiwaku dan Ikut Rentakku.

Maka, melonjaklah kembali adrenalin juara Malaysian Idol musim pertama ini menerusi single baharu berjudul Kejutkan Aku, yang diterbitkan oleh Gerald Sellan dan Mux Ryzor serta lirik ditulis oleh Adrian Puan, Amir Jahari dan Hidayah Azhar.

Sebenarnya, saya sudah lama menantikan Jac tampil dengan rentak seperti ini, sejak kali terakhir dia hadir dengan Seindah Mimpi bersama KRU Music.

Melodi ini diikat dengan bunyi baharu dan rentak upbeat yang memberi groove persembahan Jaclyn begitu bersahaja, sekali gus menjadi naskhah yang sepatutnya pendengar saksikan selama ini.

Walaupun intro nya mengingatkan saya akan lagu Farawahida, Semuanya Ada Di Sini (2007), namun, pencipta lagu membetulkan kembali arah lagu ini menerusi korus yang benar-benar menangkap, seperti di bait lirik “kejutkanlah aku, dari mimpi semalam, setelah suria memancar sinarnya.”

Hanya pada bahagian perangkai (bridge) dengan pengulangan ‘cinta suci’ dan kedengaran meraung, membuatkan Kejutkan Aku kedengaran agak ‘kosong’, yang menurunkan secubit standard untuk rentak pop sebegini.

Ada loophole dan bahagian longgar perlu diisi sama ada oleh penyanyi gandingan atau Jac sendiri dengan menyuntik elemen rap seperti pernah diadun oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Nao Zumar, menerusi Ganti yang dimuatkan album Sitism (2023).

Dengan penulisan lirik yang agak simplistik, Kejutkan Aku mudah dihadam dan diadaptasi dalam pasaran muzik generasi kini.

TEWAS POPULARITI IKUT RENTAKKU?

Tetapi, saya ragu jika ini adalah material yang menjadi taruhan di pentas pertandingan dan anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).

Apakah Kejutkan Aku mampu menenggelamkan populariti dan kekuatan Ikut Rentakku?

Di sudut lain, saya lebih gemar jika lagu ini berkonsepkan pemerkasaan wanita (women empowerment) atau karya mengetengahkan isu sosial masyarakat, berbanding penulis menyempitkan ruang pemikirannya dengan cinta manusia dan duniawi.

Resume Jac sebagai penyanyi nasional cukup sempurna menerusi lima album iaitu Gemilang (2004), Inilah Jac (2007), Jaclyn Victor….3 (2009), Ikut Rentakku (2013) dan Unleashed (2014) serta album kolaborasi 3 Suara (2011) selain penganjuran konsert solo pertamanya yang bakal berlangsung di ibu negara, pada 12 Oktober ini.

Di sebalik deretan lagu hits miliknya seperti Cinta Tiada Akhirnya, Ceritera Cinta dan Bertamu Di Kalbu, Jac tidak boleh lari daripada realiti bahawa akan ada produknya yang tersungkur di tengah perjalanan.

Disebabkan itu, saya tidak mahu lagi melihat Kejutkan Aku menjadi satu lagi kegagalan sedangkan Jac mempunyai pakej yang lebih daripada sempurna untuk berdiri sebagai penyanyi pop gred A dalam sejarah muzik Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya