BEKAS vokalis Exist, Mohd. Ali Kamarudin, 47, sekali lagi mencipta kontroversi apabila dia dibuktikan bersalah memasukkan dadah ke dalam badan dan memiliki dadah pada tahun 2019.
Selain didenda RM5,000, Mamat juga diperintahkan untuk menjalani tempoh pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Tentunya antara yang terkesan dengan perkembangan kurang enak itu adalah anggota-anggota kumpulan Exist yang sejak dulu mengharapkan yang terbaik buat sahabat mereka itu.
“Kami dimaklumkan tentang perkembangan Mamat daripada kenalan rapat. Sebenarnya, ia adalah satu kelegaan buat kami.
“Setiap daripada kami sudah puas pujuk Mamat agar dia dapatkan bantuan dan bimbingan daripada pihak Pengasih. Tapi dia tolak, katanya mampu pulihkan keadaannya sendiri.
“Hakikatnya kami tahu dia tak mampu untuk keluar daripada masalah ini dengan sendirinya. Merujuk kepada pengalaman Ezad Lazim sebelum ini, memang sukar. Tapi dia berjaya, sebab dia dapatkan bantuan dan bimbingan.
“Mungkin Mamat sedikit ‘keras kepala’ dalam hal ini. Tapi kami nampak keinginan dan kesungguhannya untuk berubah,” kata pemain bass Exist, Musrad.
Pernah melalui pengalaman yang sama, vokalis Exists, Ezad Lazim, mengakui tidak pernah berhenti memberi semangat dan mendoakan sahabatnya, Mamat agar dibukakan hati untuk berubah.
Jelas Ezad, dia nampak pergelutan yang dihadap Mamat, namun pada masa yang sama dia juga melihat pengharapan dan masa depan yang lebih baik buat penyanyi itu.
“Sebagai kawan, bukan baru semalam kami nasihatkan dan bagi semangat kepada Mamat.Saya juga selalu kongsi pengalaman dengan harapan dia berubah.
“Tapi hakikatnya, kekuatan itu harus datang dari dalam dirinya sendiri. Benar, memang sukar apabila terjebak (dadah). Tapi tak mustahil untuk tinggalkan kalau kita ada kekuatan dan terima sokongan orang sekeliling.
“Apa yang dihadapi Mamat mungkin berbeza dengan saya. Ujiannya berlainan, kita pun tak tahu apa yang dia hadapi.
“Apa pun kita doakan yang terbaik untuk dia. Saya tegaskan, sekarang ini, semua bergantung kepada dirinya untuk berubah.
“Yang positifnya, kita nampak ada kesungguhan ditunjukkan Mamat. Sebagai sahabat kami akan terus beri dia semangat dan harapan,” katanya.
Mengulas perkara yang sama, pemain keyboard Exists dan juga komposer serta penyanyi terkenal, Ajai memaklumkan setiap anggota kumpulan itu tidak pernah berhenti membimbing Mamat, malah sentiasa berharap agar sahabatnya itu dapat kembali bersama-sama mereka menghiburkan peminat Exists.
“Sebagai sahabat, kami sentiasa mengaharapkan yang terbaik untuk Mamat, agar dia sentiasa dilindungi Allah. Sebenarnya kami lega apabila dia dimasukkan ke Pengasih.
“Masa dia ditemu bual baru-baru ini, kami tengok wajahnya segar. Kami hanya mampu mendoakan untuk dia, selebihnya, adalah terserah kepadanya untuk menamatkan semua ini.
“Bagusnya Mamat ini adalah dia hormat kami dan bagi kerjasama yang baik. Dalam keadaannya yang berdepan fasa sukar, dia masih bersemangat untuk bekerja.
“Kami pun dah faham moodnya, bila dia okey, dan bila pula dia hadapi fasa ‘kekeliruan jiwa. Apa pun, kami doakan yang baik sahaja untuknya,” ujar Ajai.
PERJUANGAN DITERUSKAN
KELANGSUNGAN Exists yang bertahan selama lebih tiga dekad dalam dunia seni tanah air memberi inspirasi kepada band-band baru yang lain.
Exists membuktikan mereka terus relevan dengan sokongan peminat yang tidak pernah ternoktah. Berkat semangat Brotherhood yang dipertahankan, Exists mencapai pelbagai kejayaan, memenangi pelbagai anugerah dan penghargaan, melahirkan lapan album studio, enam album kompilasi dan empat lagi yang menembusi pasaran Indonesia.
“Kami lalui jatuh bangun, daripada sebuah band yang tidak miliki apa-apa sehinggalah ke tahap yang kami capai sekarang.
“Berkekalannya Exists bukan kerana disebabkan populariti atau mahu mencari keseronokan, tetapi didorong oleh minat terhadap muzik dan semangat setia kawan, selain sokongan peminat yang berterusan,” kata Along.
Kata Musrad, dia bersyukur apabila kemunculan Exists masih diterima peminat meskipun muncul kumpulan-kumpulan lain yang memeriahkan industri seni tanah air.
“Pernah satu fasa, pada tahun 90-an, ketika membuat persembahan di acara fun fair, tak ramai pun yang ingin menonton persembahan kami. Waktu itu, persembahan di funfair didominasi XPDC.
“Dan kami pernah berimpian untuk mengadakan konsert sendiri, bila mana menonton band-band lain, seperti Slam yang sudah pun berjaya mengadakan konsert mereka.
“Semua itu kami lalui bersama. Kami bersyukur, pada hujung-hujung usia, kami dapat semua yang kami hajatkan untuk kumpulan ini,” jelasnya.