Pada awalnya saya tertanya dalam hati, mampukah Konsert Search Gemuruh yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur ini menarik kehadiran ramai penonton? Kerana apabila Kid dan Din mengumumkan Amir Masdi mengambil alih posisi Denden sebagai vokalis, banyak pihak mula memberikan maklum balas dan pandangan. Ada positif, ada yang negatif.
Bagi saya Ini percaturan ‘berani mati’ kerana sebagai sebuah kumpulan bertaraf ‘otai’ meletakkan penyanyi muda dan hijau seperti Amir Masdi seolah sengaja mengundang malapetaka. Ini Search beb, bukannya kumpulan BBNU!
Bukan ingin memperkecilkan kemampuan vokalis muda ini, tidak dinafikan dia memang berbakat, punya aura dan mampu ‘pergi jauh’, tetapi yang menjadi kerisauan adalah sambutan peminat. Bolehkah mereka menerimanya?
Perlu ambil perhatian, Search bukanlah jenama kecil atau picisan dalam industri muzik tanah air. Kumpulan ini punyai jutaan peminat setia walaupun berlakunya perpecahan dan konflik sehingga menyebabkan lahirnya dua entiti yang berbeza. Namun masing-masing ada kekuatan dan keistimewaan tersendiri. Peminat berhak memilih apa yang mereka minat.
Rata-rata peminat dan ‘hardcore fan’ yang ditemui menyatakan kerisauan. Kebanyakannya meletakkan penanda aras tinggi buat kumpulan ini, terutamanya apabila Search Kiddin berjaya mencipta sejarah pada konsert pertama mereka di Rooftop Kompleks Campbell pada 2022 lalu. Persembahan tersebut bukan sahaja mencipta fenomena tersendiri, malah menjadi bualan sehingga kini.
Selain Amir, pemain bass kumpulan Barbarik, Rozaimi juga dibawa masuk menggantikan Yantoi. Namun isu tersebut tidaklah menjadi bualan memandangkan dia sudah kerap beraksi di pentas bersama sifunya, Jo Branko, sekaligus sudah memperlihatkan keupayaan dan
bakatnya.
Ketika melangkah masuk pada hari kejadian, kelihatan sudah ramai peminat memenuhi ruang terutamanya di hadapan pentas. Pada hemat saya angkanya mungkin melebihi dua ribu orang. Kelihatan juga beberapa rakan artis yang turut hadir memberikan sokongan antara yang kelihatan ialah, Jo Branko, Eddie Wings, Karl Cromok, Joey, Hatta Junction, Kombat dan Ahwee Scandals (sekadar menyebut beberapa nama).
Pentas dibuka dengan kemunculan penyanyi Indonesia, Jovital Pearl beserta rangkaian lima buah lagu madley kumpulan Search, Akhirnya, Menara Kesesatan, Neo Romantik, Teguh dan Andainya Ku Miliki Semalam sambil diiringi pemuzik handalan antaranya, Naimi, Addy Cradle, Rozario Rasul, Muzza, Ritz Metalasia dan Rozaimi.
Tidak banyak yang perlu diperkatakan tentang penyanyi yang mendapat jolokan ‘Ella Indionesia’ ini kerana dia mampu merealisasikan tugas tersebut dengan baik. Mungkin pengalaman berhadapan penonton sudah tidak asing buatnya.
Waktu yang ditunggu akhirnya tiba. Seperti lazimnya pengacara popular Isma Halil Hamzah diberi tanggungjawab untuk sesi mukadimah, berinteraksi dengan penonton. Jiwa rocknya masih menebal. Tetap seperti dahulu!
‘Henjut’ merupakan lagu pertama pemanas badan sebelum Search meneruskan bahang malam dengan koleksi lagu-lagu hebat mereka antaranya, Pelesit Kota, Metropolitan dan Diari Habil Dan Qabil. Waktu itu rata-rata penonton bukan sekadar ingin mengimbau nostalgia melalui alunan gitar Kid dan Din, tetapi menilai kemampuan Amir yang menjadi ‘frontman’ pentas pada malam itu.
Mempergayakan kemeja labuh bewarna putih, beserta aksesori ala apache mengingatkan saya kepada penyanyi kumpulan Steelheart, Miljenko Matijevic di zaman kegemilangannya, walau ada suara-suara nakal menjerit menggelarnya, Amy Mat Piah, watak Que Haidar dalam filem Rock Oo.
Tidak dinafikan persembahan Amir malam itu cukup bertenaga dan aksi lincahnya berjaya menguasai pentas. Tidak nampak kekoknya malah dilihat serasi melalui kombinasi mereka.
Di akui tugas berat yang diamanahkan kepadanya berjaya direalisasikan sebaik mungkin. Bukan mudah menjadi peneraju bagi sebuah kumpulan ternama yang punyai jutaan peminat, tambah pula di usia setahun jagung sepertinya kerana sedikit kesilapan boleh mencalarkan imej mereka keseluruhan.
Kelebihan Amir ialah dia tidak terlalu terikut-ikut dengan tone penyanyi asal. Dia hadir dengan identiti dan originaliti ‘vocal range’ tersendiri. Dan paling penting dia berjaya menyampaikan hampir 20 buah lagu tanpa ‘koyak’.
Watak yang menjadi tumpuan pastilah duo beradik, Kid dan Din yang merupakan ‘key person’ bagi keseluruhan perjalanan konsert pada malam itu. Bukan sekadar lagu tetapi ‘keaslian bunyi’ yang dipamerkan masih memukau halwa telinga, membawa peminat melayari momen dan nostalgia ketika era kebangkitan mereka.
Jika sebelum ini Search Kiddin mengambil pendekatan memonopoli beberapa album pilihan untuk siri konsert, namun kali ini mereka lebih terbuka dengan menyenaraikan karya-karya yang jarang diperdengarkan bermula dari album kedua, Langit Dan Bumi sehinggalah rilisan terakhir, Katharsis.
Sebuah segmen eksklusif untuk memberi penghormatan kepada bekas pemain drum arwah Yazit Ahmad, 57 yang meninggal dunia setelah menderita penyakit buah pinggang dan pelbagai komplikasi lain.
Pada 26 September 2019 lalu cukup menjentik emosi. Selain memainkan klip video, penyampaian sumbangan cek tunai masing-masing berjumlah RM5000 turut dilakukan oleh penaja konsert, Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), redONE Mobile bersama penganjur, Big Stage Entertainment dan wakil Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi Setiausaha Politiknya, Izhar Yusof kepada keluarga Allahyarham yang diwakili isteri, Ramlah Ahmad dan anak ketiga, Shafiqa Nurlis.
‘Konsert Search Gemuruh’ adalah susulan kejayaan persembahan mega mereka di beberapa lokasi sebelum ini. Walaupun hadir dengan pelbagai elemen kejutan seperti pertukaran anggota namun tetap berjaya dan mendapat sokongan peminat.
Tahniah kepada Kid, Din, Min, Roza serta Rozaimi yang berusaha keras menjayakan konsert pada malam itu. Setinggi penghargaan juga ditujukan kepada Amir atas persembahan yang tidak mengecewakan.
Dia berhak mendapat pengiktirafan atas usaha membina kepercayaan sebuah jenama unggul pada malam itu.
Usai persembahan, ramai yang mengharapkan agar Amir terus diberi peluang turut serta pada sesi persembahan akan datang. Mungkin ini adalah permulaan untuknya mengorak langkah ke edisi seterusnya.
Usia bukanlah penghalang, yang penting untuk dinilai adalah bakat dan kemampuan yang dimiliki.