AGAK kekok juga membuka bicara dengan pelakon wanita berusia 23 tahun ini. Sewaktu menyambut kedatangannya ke studio, bait kata yang terbit daripada mulut Alya Iman cuma sepatah-sepatah.
Belum begitu rancak sehingga membuahkan pertanyaan, apakah Alya seorang wanita yang tergolong dalam kategori introvert? Kurang bercakap dan pemalu? Atau, dia bukan seorang yang mudah mesra dengan manusia lain kerana merasakan diri mempunyai standard tersendiri?
Pendek kata, bermacam andaian mula timbul dalam fikiran. Bagaimanapun segala tanda tanya itu mula memudar apabila kami mula berbual panjang saat santai petang Jumaat lalu.
“Awak memang seorang perempuan yang introvertkah?” tanya penulis sebelum disambut dengan canda jawapannya.
“Tidak juga, rasanya saya ini dalam kategori individu ambivert. Ada masa boleh jadi banyak cakap, ada masanya pemalu. Sebenarnya, saya ini takut berjumpa dengan orang terutamanya yang baru kenal.
“Tetapi disebabkan kerja, memang kena jumpa juga bukan. Disebabkan itu, setiap kalinya saya akan dicop sombong sedangkan sebenarnya siapa yang kenal, saya ini banyak cakap dan kelakar orangnya,” kata Alya.
Malah, jelasnya, salah faham itu kerap kali dilemparkan kepadanya memandangkan dia juga, kebetulannya, memiliki air muka yang ‘ketat’.
“Pergi ke mana-mana pun, memang tanggapan sombong itu selalu sangat saya terima. Memang sesiapa sahaja yang pertama kali jumpa atau tegur saya, memang ingat saya ini sombong.
“Air muka saya pula memang begini, jadi tak boleh nak elak. Pernah saya tanya semula pada mereka yang dah kenal, ‘apa ekspresi awak bila pertama kali jumpa saya’. Rata-rata mereka pun berikan jawapan sama, sombong.
“Semua jadi salah faham. Sedangkan, yang betulnya, pada kebanyakan masa, kalau baru kenal atau baru berjumpa, saya sedang menyembunyikan perasaan takut dan malu. Bila dah kenal baru tahu saya ini seorang yang gila-gila sebenarnya,” katanya.
Mengakui tidak berasa tersinggung dengan tanggapan salah orang itu, kata Alya, selagi boleh, dia mahu menjaga kelakuan di hadapan orang ramai supaya tidak dianggap sebagai pelakon yang tidak pandai membawa diri dalam industri seni.
Pada masa yang sama, bagi melenturkan pandangan salah terhadap dirinya, ia juga menjadi penyebab mengapa Alya cuba meneroka naskhah berbentuk komedi menerusi drama berjudul Jangan Tinggal Abang Dek (JTAD) arahan Erma Fatima kini.
“Dalam drama 10 episod yang akan dimuat naik di platform TikTok itu nanti, saya membawakan watak Reen. Ya, ia sebuah drama komedi ringan. Mungkin akan ada pihak anggap saya tak sesuai bawa sebab bukan seorang yang kelakar.
“Tetapi, saya boleh sahaja buat sebenarnya. Ia juga bagus untuk portfolio saya sendiri dalam usaha mempelbagaikan watak. Menariknya, dalam naskhah yang sama, saya seronok berpeluang berlakon dengan barisan artis yang dikagumi selama ini.
“Sebagai contoh, dari dulu saya memang minat dan idolakan Nabila Huda. Dapat berlakon sama dengannya dalam drama ini, saya jadi starstruc’. Pendek kata, seronok berlakon dalam drama ini, tak stres pun sebab mereka semua kelakar dan tak lokek ilmu,”ujarnya.
Pada masa yang sama, kata Alya, dia juga berbesar hati kerana kini semakin ramai penerbit dan pengarah membuka peluang dan memberi kepercayaan kepadanya untuk menyerlahkan bakat dalam bidang lakonan.
Bagaimanapun, kata Alya, semua itu tidak akan dapat dicapai jika dia tidak membuat keputusan betul untuk mempunyai pengurus kerjaya.
“Saya mula serius dalam bidang lakonan sejak enam tahun lalu. Tetapi cuma sejak setahun lepas baru ada pengurus yang mengendalikan semua kerjaya seni saya. Dulu saya terlalu berdikari hinggakan saya terlupa, mana boleh kita buat semua benda sendiri.
“Dulu, saya main ambil saja sebarang tawaran, hinggakan penat yang diraih itu seakan sia-sia rasanya. Sejak ada pengurus ini saya boleh nampak, banyak progres yang baik dari segi kerjaya dan yang penting, ada orang akan membebel atau menegur saya jika buat perkara tidak betul.
“Pengurus saya, Kak Min, banyak beri tunjuk ajar pada saya. Dia bagaikan seorang ibu untuk saya sementelah diri ini pun sudah lama kematian ibu ayah. Saya anggap Kak Min macam ibu sendiri sebab hanya teguran dia yang saya akan dengar.
“Dia juga adalah individu pertama yang menyuruh saya ambil kelas lakonan dan vokal demi kepentingan kerjaya lakonan. Saya boleh nampak, tunjuk ajar dan cara pengurusan Kak Min, banyak memberi impak positif terhadap kerjaya seni saya,”ujarnya.
Trauma lalu
Mengajaknya berbual mengenai kisah peribadi, sebagaimana ramai tahu, Alya yang merupakan anak pelakon terkenal era 80-an, Azmil Mustapha, juga sangat rapat dengan Allahyarham bapanya itu sementelah bergelar si bongsu berbanding adik-beradiknya yang lain.
Mengakui bahawa dia merupakan ‘anak ayah’, kata Alya, sehingga ke hari ini pun, dia masih sukar mengikis perasaan rindu terhadap bapanya biarpun pemergiannya telah lebih enam tahun berlalu.
“Mungkin hakikatnya, saya ini belum benar-benar pulih daripada trauma kehilangan orang tua. Seakan tidak terubati, saya menderita sendiri. Saya akui, cukup susah untuk berdamai dengan takdir dan trauma ini kerana ia benar-benar memberi kesan di jiwa ini.
“Saya juga akui susah nak lepaskan semuanya pergi dan tidak pernah mencuba pun untuk berbuat demikian. Apa yang saya tahu, untuk elak dibelenggu depresi dan kesedihan, saya sibukkan diri dengan kerja.
“Bahkan saya tak boleh duduk di rumah bersendirian kerana perasaan sedih itu akan muncul. Boleh dikatakan, saya ini sudah tiada sesiapa lagi. Ada adik-beradik pun, masing-masing sudah ada pasangan dan keluarga sendiri.
“Tahap trauma saya, kalau ada kawan sedang bercerita mengenai ibu bapa mereka pun saya tak mahu dengar. Saya jadi seakan terlalu menyampah. Bukan sebab benci mereka, tetapi diri saya sendiri yang sedang berperang dengan emosi yang membungkam,”katanya.
Jangan bandingkan dengan arwah bapa
Dari sudut kerjaya, Alya juga tidak menolak bahawa ada kalangan rakan selebriti dan penggiat industri yang seakan tidak sensitif dengan melayangkan kata-kata berbaur sindiran terhadapnya.
Ia terutama apabila mengetahui bahawa dirinya anak kepada pelakon legenda dalam filem Ali Setan tersebut.
Justeru, adakala, kata Alya, sukar untuk membuang perasaan kecewa apabila sering dibanding-bandingkan dengan Allahyarham bapanya itu.
“Sebab itu jugalah, pada awal-awal masuk industri seni, saya tak nak gunakan nama Alya Iman Azmil. Pernah dulu, saya kena ‘serang’ dengan warganet dan dikutuk kononnya tak pandai berlakon macam arwah ayah.
“Sebenarnya, berat juga membawa nama ayah dalam industri seni ini tetapi tak boleh lari. Ada juga kalangan artis yang cakap ‘oh dia inilah anak arwah itu’. Saya tahu, sepatutnya berasa bangga, tetapi ada kala yang cakap begitu bunyi macam sindir pun ada,”katanya.
Tak mahu nampak lemah
Dalam pada itu, sengaja mengusik sama ada dia seorang yang mudah berkongsi emosi dan kesedihan dengan orang lain, kata Alya, dia tidak pandai berbuat demikian kecuali bersama individu yang dia selesa.
Katanya, ini kerana, dia merupakan seorang insan yang tidak gemar menunjukkan kelemahan kepada khalayak.
“Saya sudah lalui bermacam perkara dalam hidup ini. Itu tidak bermakna saya tidak pernah menangis. Kalau menangis pun tak akan tunjuk depan orang sebab tak suka dilihat lemah di hadapan orang.
“Ya, saya tahu tidak semua dan kebanyakan masa perlu tunjuk kuat. Tetapi cukuplah hanya orang terdekat sahaja tahu kerana mereka lebih kenal saya,”katanya.