PENAT, mungkin itu yang perasaan yang kini membebani pelakon cantik, Sophia Albarakbah. Seperti sukar sungguh untuk dia memadam kaitan antara namanya dengan pelakon, Aliff Aziz.
Kontroversi yang pernah menggemparkan dunia hiburan tahun lalu sehingga kini benar-benar meninggalkan tompok hitam dalam kanvas seninya. Tetapi tegarnya aktres ini, dia tidak sekali melihat ke belakang.
Apatah lagi pendekatannya untuk berdiam dan tidak mahu mengulas berhubung isu tersebut ternyata ‘menyelamatkan’ dia daripada terus dicop sebagai penyondol. Tetapi benarkah dia masih berhubung dengan Aliff?
Di kala dunia hiburan ‘gempita’ dek kes khalwat antara penyanyi itu dengan pelakon, Ruhainies, apakah Sophia juga terasa tempiasnya? Jawablah mendapatkan pelakon Saka Perawan ini.
J: Ramai yang memuji lakonan Sophia dalam filem Saka Perawan. Nampaknya sudah berani buat babak aksi dalam filem. Siap terbang lagi. Adakah Sophia mahu mencabar diri? Sementelah sebelum ini, ada yang lihat Sophia hanya mampu watak watak lembut sahaja?
S: Sebenarnya, ini adalah antara filem yang akan memecahkan stereotaip segelintir pihak di luar sana yang melihat saya sebagai pelakon watak wanita lemah, sopan santun dan ayu. Nampak mudah kan, tetapi setiap babak ada cabarannya.
Saya mahu mempelbagaikan variasi karakter dalam kanvas lakonan saya. Tidak mahu hanya terperangkap dalam kitaran yang sama. Saya sudah buktikan kemampuan watak-watak berat, sekarang saya nak cuba aksi pula.
Selepas ini juga, saya bakal tampil dengan sebuah lagi filem aksi. Sudah tamat penggambaran, tunggu tarikh tayangan. Sangat teruja menantikan reaksi peminat terhadap karya Dr. Ahmad Idham itu.
J: Tidak takut kena terbang sana sini? Melakonkan watak hantu, ramai yang cakap tak takut sebab tetap comel.
S: Alamak, comel atau tidak, takut ke tidak itu semua bergantung kepada penerimaan dan pendapat masing-masing. Saya sudah beri yang terbaik. Hendak buat macam mana, kalau comel pun tak apa.
Dalam filem itu, saya kena terbang. Pertama kali berlakon kena terbang menggunakan tren. Memang gugup juga sebab tinggi. Tetapi ada sekali, wayar tercabut. Ketika itu memang berderau darah saya.
Tetapi saya dibantu dengan cekap oleh team produksi. Nasib baik tidak jatuh. Sudahlah ketika itu saya terbang meniarap dan wayar yang diikat di kaki tercabut. Maka, memang menghempas di udaralah.
J: Kita ke ruang soalan yang lebih serius. Sehingga kini, Sophia seperti memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan berhubung pelakon lelaki yang pernah terkait kontroversi bersama Sophia? Hatta apa sahaja dakwaan, Sophia buat tidak endah. Mengapa? Tidakkah itu akan mengundang lebih persepsi negatif?
S: Saya sebenarnya tidak gemar bercakap, menjawab atau mengaitkan diri dengan sebarang kontroversi terutama terlalu negatif. Bagi saya, itu semua tidak memberi manfaat kepada saya. Apatah lagi, negara.
Saya cuma mahu teruskan sahaja kelangsungan hidup. Andai ada salah daripada pihak saya, saya akan perbaiki. Saya memang mahu fokus kerja. Usia seni saya masih ‘muda’, tak mahu sia-siakan usaha saya selama ini.
Apa yang telah terjadi, saya tidak mahu ulas dan bualkan lagi. Saya mohon, jangan kaitkan saya dengan sebarang kontroversi yang tidak bermanfaat. Saya mahu betul-betul beri semua tenaga kepada kerja.
J: Adakah kontroversi yang pernah melanda Sophia sebelum ini mengganggu mental atau fokus kerja?
S: Tidak sama sekali. Alhamdulillah, saya sentiasa dikelilingi pasukan tidak kira pengurusan atau kru produksi yang memahami dan sama sama beri komitmen 100 peratus kepada kerja semata-mata.
Saya juga gembira kerana rakan-rakan media dan artis juga tidak terlalu menekan apatah lagi menambah minyak ke dalam api. Saya betul-betul mahu berusaha beri yang terbaik kepada peminat khususnya.
J: Bercakap soal rakan artis, ramai yang seronok melihat persahabatan Sophia dengan pelakon wanita lain antaranya Siti Khadijah Halim dan Riena Diana. Mat saleh kata, women empowerment.
S: Persahabatan antara kami bukan dibuat-buat. Saya senang dan selesa bersama mereka. Tidak terfikir pun soal women empowerment atau agenda lain. Saya sayang mereka. Kalau boleh, mahu kekal bersahabat sampai bila-bila.
Bila saya lihat mereka bahagia, saya tumpang gembira. Rezeki ini tidak hanya datang dalam bentuk wang ringgit, sahabat yang baik juga tanda kasih Allah pada kita.