Kebiasaannya, setahu dan sefahaman Cik Bungalah, mana-mana Muslim dan Muslimah yang selesai melakukan ibadah haji, pulang sahaja ke tanah air, memang orang akan berbesar hati menggelarkan mereka dengan panggilan Haji atau Hajah.
Itu satu penghormatanlah bukan? Bukan senang nak dapat gelaran itu apatah lagi setelah selesai menjalani rukun Islam kelima yang menjadi impian semua umat Islam di mana-mana sekali pun.
Ada orang, cuma mampu simpan niat dan hasrat sahaja untuk ke sana, tetapi belum ada rezeki lagi nak sampai ke Tanah Suci.
Jadi seharusnya, sesiapa sahaja yang berpeluang pergi dan menunaikan ibadah Haji dengan sempurna haruskah bersyukur.
Namun, nak dijadikan cerita, adalah seorang pelakon veteran ini yang marah apabila dipanggil dengan gelaran Hajah apabila dia sudah pulang ke tanah air baru-baru ini.
Hal ini diceritakan seorang pengarah kepada Cik Bunga. Katanya dia terkejut kerana ketika menghubungi pelakon tersebut untuk bertanya khabar selain menawarkan ‘job’ berlakon, tiba-tiba si polan mengherdik kembali kepada pengarah itu.
Semua gara-gara pengarah ini memanggilnya Hajah. Lepas diherdik dan katanya ‘tak payah panggil aku Hajah’, dimatikan perbualan dengan meletak telefon.
Terkedulah si pengarah ini mengenangkan apa silapnya? Sedangkan dia bertanya elok-elok dan tiada niat mempermainkan atau apa.
Cik Bunga pun jadi hairan dengan kerenah pelakon veteran itu sebab di akal waras memikirkan apa yang salahnya dengan panggilan Hajah itu?
Eh entahlah. Memang manusia ini aneh-aneh. Bila tak dapat pergi Tanah Suci, kata diri sudah lama simpan niat dan impian nak ke rumah Allah. Bila sudah dapat pergi, balik jadi begitu pula. Peninglah Cik Bunga.