Arfie Shah buat badan, penuhi tuntutan watak - Utusan Malaysia

Arfie Shah buat badan, penuhi tuntutan watak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUNTUTAN membintangi drama bersiri terbaharu, X-Change meminta pelakon meningkat naik, Arfie Shah, mempunyai bentuk tubuh yang sasa.

Jelas jejaka berumur 31 tahun itu, sebelum memasuki set penggambaran, dia sudah pun memulakan rutin ke gim demi misi mendapatkan bentuk fizikal yang sesuai untuk watak Khalif dalam drama tersebut.

Apatah lagi banyak adegan memerlukannya tampil tidak berbaju.

“Sudah lama saya berusaha ‘buat badan’ untuk siri ini. Tapi dua minggu sebelum penggambaran, tiba-tiba saya diserang demam panas.

“Perkara itu membuatkan badan saya sedikit ‘jatuh’,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini pemilik nama sebenar, Ad Wafri Shaharuddin, sudah pernah terlibat dengan drama seperti Ku Akad Kau Dengan Bismillah sebagai watak sampingan.

Namun menerusi X-Change, peranan yang dipegangnya lebih besar dan mencabar apalagi bergandingan dengan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor.

“Saya berhajat untuk menjadi pelakon yang lebih baik. Saya tidak mahu berfikir terlalu dalam dan jauh dengan karier lakonan ini. Cukuplah memperbaiki mutu lakonan yang ada.

“Namun begitu, kerana watak Khalif sangat berat. Saya sudah melalui banyak perasaan dan emosi untuk menjelmakan karakter tersebut. Ia sangat berbeza dengan watak santai sebelum ini,” jelasnya.

Sebagai pelakon baru, jejaka asal Kuala Lumpur ini, banyak memerhatikan bagaimana seniornya bekerja selain mencari rentak untuk menyesuaikan diri di set penggambaran.

“Setiap pelakon ada cara tertentu bagaimana menjiwai watak. Tiada benar dan salah. Minggu pertama di set, Datuk Rosyam tidak bercakap dengan saya.

“Rupanya dia sengaja mahu melihat kerenah saya. Masuk minggu kedua kami makin akrab. Rupanya dia seorang yang kelakar,” jelasnya.

Nampaknya, kerjaya lakonan pemain saksofon band Budak Nakal Hujung Simpang ini makin mencurah apabila ditawarkan membintangi satu lagi projek lakonan untuk slot Akasia di TV3.

“Saya baru selesai penggambaran untuk drama ‘Nuh & Nayla’ serta turut terlibat dalam satu filem bertajuk Klepet yang dijangka menemui penonton tahun ini,” katanya

X-Change mengisahkan tentang seorang anak lelaki bernama Khalif yang terpaksa mengambil alih perniagaan keluarganya. Dia tersepit untuk memperjuangkan cita-citanya atau memenuhi tuntutan keluarganya.

Turut sama menjayakan drama 10 episod ini ialah Marisa Yasmin, Hariz Hamdan, Sadiq Alvin Wong dan Angeline Tan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya