Saya tidak hentam mana-mana pihak - Liyana Jasmay - Utusan Malaysia

Saya tidak hentam mana-mana pihak – Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Apa lagi Liyana Jasmay mahu?”

Itu antara kecaman yang diterima pelakon, pengarah dan penerbit filem, Liyana Jasmay apabila kenyataannya dalam podcast Adriana Adnan baru-baru ini disalah tafsir seperti menghentam agensi perfileman.

Lantas kenyataan itu menimbulkan tanda tanya, apa lagi yang dia mahu ubah? Bagaimana perubahan yang mahu dilakukan?

Malah, ada juga pihak-pihak yang mempersoalkan kredibiliti Liyana untuk bercakap tentang industri perfileman tempatan? Tidak layakkah dia?

Jawablah mendapatkan Liyana!


J: Sebelum ini Liyana ada mengeluarkan kenyataan yang mungkin disalahfaham sehingga ada menganggap Liyana seperti menghentam industri seni khususnya di peringkat atasan? Adakah kenyataan itu disalah erti atau memang itu maksud Liyana?

L: Bukan begitu sebenarnya. Saya pun tidak ada keluarkan kenyataan yang menghentam agensi terlibat. Saya pun tahu, kita tidak boleh hendak bandingkan dengan negara-negara lain seperti contoh Korea Selatan dan Indonesia.

Susah sebenarnya kita hendak harapkan apa-apa perubahan besar berlaku. Sebenarnya itu lebih kepada luahan sahaja sebagai pemain industri seni yang sudah lama. Bukan merendah atau hentam.

J: Maksud Liyana, memang industri seni kita khususnya dalam bidang perfileman sukar untuk diubah?

L: Bukan susah tetapi ambil masa. Tidak mungkin perubahan yang kita mahu lakukan boleh dilaksana dalam tempoh setahun dua. Akan ambil masa lama. Perubahan itu untuk generasi depan.

Tetapi kita kena bermula dari sekarang. Perlahan-lahan, jangan harap perubahan drastik. Industri perfileman kita kecil sahaja. Sudah banyak penambahbaikan yang dilakukan, kita ikut flow itu.

J: Apa perubahan yang mungkin Liyana mahu perjuangkan?

L: Saya mahu lebih banyak pembikin filem dalam kalangan wanita. Penerbit berkaliber yang datang dalam kalangan wanita juga.

Saya berpegang kepada pesan Allahyarham ayah saya, apabila kita ada pengaruh dan ruang, kita perlu buka kepada mereka yang mahu mencuba.

Sebab itu, saya suka bekerja dengan pendatang baharu atau mereka yang mungkin semalam ini mahu mencuba tetapi tidak ada peluang itu. Seronok bila kita dapat kongsi keterujaan mereka terutama di set penggambaran.

J: Tadi pasal industri filem, ada perancangan mahu keluarkan lagu baharu? Rasanya lama Liyana menyepi dari dunia nyanyian?

L: Ya, kali terakhir saya lancarkan single adalah 2016, Oh Na Na. Jadi tahun ini, saya akan keluarkan lagu baharu, bukan satu tetapi mungkin dua.

Pelan untuk keluarkan single baharu ini sudah lama tetapi saya ketika itu sibuk dengan penggambaran filem dan kandungan media sosial.

Jadi, apabila ada kelapangan awal Mac lalu, saya sempat terbang ke Indonesia untuk rakaman lagu di sana. Empat jam saya ambil masa untuk rekod, sekarang sedang dalam proses mixing.

J: Perancangannya bila itu? Hujung tahun?

L: Kalau boleh lancar sekarang, saya sudah lancarkan. Tetapi kena tunggu video muzik siap juga. Saya ini pembikin filem, tidak boleh buat ala kadar sahaja video muzik. Mungkin hujung Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN