SELAIN konsert berskala mega, memiliki album long play (LP) atau album lengkap berdurasi lebih 30 minit merupakan portfolio dan pencapaian tertinggi bagi seseorang penyanyi.
Dengan mempunyai rangkaian antara lapan hingga 30 trek lagu, penyanyi itu mempunyai kredibiliti dan tidak lagi bergantung kepada lagu-lagu saduran atau milik orang lain, selain membuktikan seseorang penyanyi itu serius bermuzik.
Ada pun hari ini, ramai yang selesa mengeluarkan produk dalam bentuk extended play (EP) atau empat hingga enam trek lagu berdurasi kurang daripada 20 minit atau single demi single.
Sebab itu, segelintir penyanyi kita walaupun berbakat besar, hanya mempunyai album tunggal, malah dikenali menerusi satu lagu sahaja di sepanjang kerjaya nyanyian mereka lalu ditinggalkan sebagai satu legasi dan identiti.
Di akhirnya, penyanyi-penyanyi ini tiada daya upaya lagi untuk terus bertapak dalam pasaran muzik arus perdana dan memilih suram atau ruang pentas lebih kecil. Sebenarnya, ini bukanlah petanda baik kerana boleh menjadi kerugian besar untuk industri muzik negara.
Kepunyaan bakat dan ratusan ribu kos penerbitan sudah dibelanja, tetapi siapa sahaja yang memanfaatkannya? Namun, tidak semua penyanyi bertuah memiliki lebih daripada satu album dan tiada siapa yang mampu menghalang jika permintaan dan penawaran tidak datang selari.
Persoalannya, di manakah silapnya? Salah syarikat rakaman kah? Salah penerbit dan komposer atau sikap penyanyi itu sendiri?
Oleh itu, Mingguan Malaysia menyenaraikan penyanyi-penyanyi wanita yang hanya memiliki satu album dengan satu-satunya lagu berhasil menaikkan nama mereka, tetapi kekal menjadi produk yang evergreen (malar segar).
Saya percaya, album-album ini mempunyai kualiti tersendiri jika pemasarannya berjalan dengan teratur. Jika tidak kesemua lagu pun, ada beberapa trek berpotensi bergerak ke hadapan.
MAC RUHAYU – DITAKDIR KITA BERSAMA (1996)
Album ini mendapat ruang dalam kalangan pendengar menerusi hits Ditakdir Kita Bersama pada 1996. Single tersebut kekal sebagai karya malar segar hingga hari ini. Tetapi, sayangnya, Mac mensia-siakan bakatnya apabila mengundur diri daripada kerjaya nyanyian dan menamatkan kontraknya bersama EMI Music. Mac sekarang tidak lagi seperti zaman mudanya, suaranya kini lebih kasar dan semput.
Lagu potensi:
Kehadiranmu
Keraguanku
Cinta Yang Terlerai
MARTINIE – SEJERNIH AIR MATA (2000)
Mendapat bimbingan daripada maestro muzik, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, wanita kelahiran Sabah ini meraih kejayaan singkat dalam industri muzik menerusi single paling galau, Sejernih Air Mata pada 2000. Ini membawa kepada pengeluaran album lengkap 10 trek lagu di bawah Rock Records. Bagaimanapun, sesingkat populariti dikecapi, penyanyi bersuara lantang di zamannya ini tidak lagi meneruskan kerjaya nyanyian secara profesional dan memilih menyanyi di kelab-kelab malam dan pusat peranginan.
Lagu potensi:
Menyintaimu Selamanya
Hati Ini Menyintaimu
ILLA SABRY – JATUH CINTA (2001)
Single hits Keranamu Kekasih yang dimuatkan dalam album Jatuh Cinta di bawah syarikat rakaman Nova Music Malaysia menjadikan Illa Sabry terus dikenali, walaupun penglibatannya dalam industri muzik Malaysia hanya tiga tahun. Lagu ini dirakam semula sekitar 2012 dalam susunan lebih moden. Malangnya, kita tidak akan dapat mendengar lagi suara rakaman Illa dalam pasaran muzik hari ini kerana keputusannya untuk tidak menyanyi secara profesional sudah muktamad.
Lagu potensi:
Saat Bahagia (menampilkan Zamani)
Bisikan Hatiku
Episod Cinta
Jatuh Cinta
DINA NADZIR – CINTA DATANG LAGI (2005)
Naib Juara Malaysian Idol (2004) ini mengeluarkan album popnya pada 2005. Tiada satu pun lagu dalam album ini setanding hits single berjudul sama, Cinta Datang Lagi. Selain itu, agak janggal mendengar saki-baki lagu dalam album ini kerana ia jarang atau tidak diputar di corong-corong radio. Bagaimanapun, Dina merakam banyak lagu di luar album dalam format single dan masih aktif dalam industri muzik selain bertugas sebagai penyampai radio.
Lagu potensi:
Bawaku Jauh
Yang Tinggal…Aku
LEEZ – MERAH ITU CINTA (2007)
Album pop Leez Rosli (Leez Akademi Fantasia 4), Merah Itu Cinta yang beredar sekitar 2007 di bawah label Maestro Records ini terlalu ‘rahsia’ untuk dikongsi kerana kurangnya liputan media mengenainya. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, single Merah Itu Cinta berjaya menambat hati pendengar lagu-lagu jiwang karat di zaman itu.
Lagu potensi:
Berbalaskah
Cintaku Tersia
Cinta Sebuah Harapan
SHEILA ABDULL – SHEILA ABDULL (2008)
Juga hasil didikan Adnan, Sheila merakam album debut pop balada dengan lapan trek lagu pada 2008 di bawah syarikat rakaman EMI Music Malaysia. Lagu teraju, Mungkinkah menjadi satu-satunya kejayaan komersial Sheila Abdull sebelum bekas pramugari ini bergerak lebih perlahan dan mengundur diri daripada industri muzik.
Lagu potensi:
Nafas Terhenti
Bahang Asmara
Cinta Luar Biasa
ASMIDAR – KALI PERTAMA (2013)
Asmidar dikenali selepas kejayaan single Biar Sampai Ke Bintang ciptaan Ajai yang dimuatkan dalam album debut tujuh lagu di bawah Warner Music Malaysia. Asmidar antara bakat Malaysia yang saya sentiasa nanti dalam menghasilkan lagu-lagu balada, namun, hingga hari ini, dia masih bergelut memberi produk baharu yang setanding Biar Sampai Ke Bintang.
Lagu potensi:
Bila Cinta Ada
Pesona Cinta