Rosyam Nor kenang ketegasan Hussein Abu Hassan

Rosyam Nor kenang ketegasan Hussein Abu Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pernah makan satu meja dengan pelakon prolifik ini di sebuah restoran yang berlokasi dekat Sungai Duyung, Melaka kira-kira 17 tahun lalu. Ketika itu, Datuk Rosyam Nor sudah pun bergelar pelakon ternama lagi disegani.

Yang menariknya ketika itu, dalam kami berborak mengenai industri perfileman dan pendidikan filem, Rosyam sempat menunjukkan teknik-teknik lakonannya yang pada saya tidak boleh dipelajari dalam mana-mana buku sekali pun.

Dan apabila mendengar puji-pujian rakan tentang keberhasilan Rosyam membawakan watak Cikgu Sunan dalam filem Memoir Seorang Guru, saya tidak terkejut malah sudah pun mengagak beliau akan mencipta magisnya dalam filem berkenaan.

Dan buat kesekian kalinya, saya berkesempatan bertemu serampang dua mata dengan Rosyam ketika kunjungannya ke pejabat Media Mulia, baru-bari ini. Perbualan kami terisi pelbagai topik, antaranya mengenai filem berkenaan yang menjadi antara filem yang menguji kewibawaan Rosyam sebagai anak wayang.

“Sepanjang menjadi pelakon, Cikgu Sunan adalah watak yang paling sukar untuk saya lakonkan. Setiap cikgu ada karakter masing-masing, tapi asasnya, pelajar tahu seorang cikgu itu gerak gerinya bagaimana, cara berpakaian dan sebagainya.

“Tapi bukan senang untuk saya yakinkan penonton bahawa sayalah Cikgu Sunan. Tambahan pula, generasi hari ini kenal saya menerusi watak-watak bersifat ganas. Saya kena kikis imej Tailong atau Castello, sebaliknya kali ini, saya adalah Cikgu Sunan.

“Saya bernasib baik kerana filem ini diadaptasi daripada novel. Sewaktu proses ‘bedah skrip’, saya minta pengarah, penulis skrip serta penata hias filem ini jelaskan gambaran menyeluruh bagi watak ini, yang berusia 60 tahun dan kehidupannya berlatarkan awal tahun 2000.

“Berbekalkan pengalaman bergelar pelajar sewaktu kecil, ditambah dengan penerangan pengarah, penulis skrip dan penata hias, Alhamdulillah lakonan saya diterima penonton yang hadir menyaksikan filem ini pada malam galanya baru-baru ini. Itu cukup melegakan saya,” katanya.

Bercerita lanjut, Rosyam meluahkan rasa syukur dan menganggap beliau bertuah apabila diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab menghidupkan watak Cikgu Sunan. Baginya peluang itu hanya datang sekali, lalu beliau berterima kasih kepada sang pengarah, Kyoll Hamzah yang memberi kepercayaan tersebut.

“Pada saya Memoir Seorang Guru merupakan filem tempatan pertama yang mengangkat watak guru di layar perak. Dan filem ini juga diadaptasi daripada novel yang hebat. Jadi bila diberi kepercayaan untuk melakonkan watak Cikgu Sunan, saya berterima kasih. Pada masa yang sama, saya jadi takut, terfikir-fikir kalau saya gagal menggalas peranan ini.

“Pembabitan ini juga antara usaha saya untuk mencari kelainan dalam karier lakonan saya supaya orang nampak Rosyam Nor sebagai pelakon yang versatil. Bukanlah tiada, sebelum ini ada sahaja watak-watak lain, antaranya yang bersifat melodrama yang pernah saya bawakan.

“Tapi akhir-akhir ini, saya sinonim dengan watak ganas. Jadi, kewibawaan saya tercabar untuk membuktikan kemampuan saya kepada penonton generasi sekarang. Sebenarnya, saya akan cemburu kalau watak Cikgu Sunan ini jatuh ke tangan pelakon lain. Dan saya tidak menolak, ramai pelakon seangkatan saya juga cemburu apabila saya diberi peluang bawa watak ini,” kongsinya.

HUSSEIN ABU HASSAN

Berminat untuk saya tanyakan serba sedikit mengenai permulaan Rosyam dalam dunia lakonan.

Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-44 ini memetik nama sutradara bertaraf legenda, Allahyarham Hussein Abu Hassan sebagai antara figura yang menaikkan namanya dalam industri perfileman tempatan

“Saya bernasib baik kerana bersaudara dengan Faizal Hussein, kebetulan pergi ke rumahnya dan uji bakat untuk filem Gila-Gila Remaja arahan bapanya, Allahyarham Hussein Abu Hassan pada tahun 1986.

“Arwah saya boleh sifatkan pengarah yang ‘keras’, yang banyak membimbing ketika awal pembabitan saya dalam dunia perfileman ketika saya hanya berusia 17 tahun.

“Beliau pernah marah dan samakan muka saya dengan papan disebabkan saya gagal memberikan ekspresi yang betul untuk salah satu babak dalam filem berkenaan.

“Arwah merupakan pengarah yang garang, tapi dengan kegarangannya itu, saya menjadi seorang pelakon berdisiplin,” katanya.

Pada masa yang sama Rosyam turut memetik beberapa sutradara lain yang banyak membimbing dan memberi impak sepanjang kerjaya lakonannya sehingga ke hari ini.

“Tak adil untuk saya namakan seorang sahaja kerana hadir beberapa figura yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya antaranya sutradara Panshacharam yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawakan watak Fatah dalam filem Suami, Isteri dan…..?

“Selain itu, Erma Fatima yang mengajak saya berlakon dalam filem Jimi Asmara, selain Rashid Sibir dan Yusof Haslam yang mempopularkan nama saya dalam industri drama dan perfileman tempatan,” tambahnya lagi.

HERO TUA? ISTILAH ITU TAK WUJUD…

Terpanggil saya untuk menarik pandangan Rosyam mengenai gelaran-gelaran bersifat ‘menjatuhkan’ yang acap kali diberikan kepada pelakon yang dinilai pada kelemahan mereka.

Contoh paling dekat adalah pelakon kayu, yang sering diberikan kepada pelakon-pelakon baharu. Kata Rosyam, adalah tidak adil untuk seseorang pelakon dilabel sedemikian walhal perjalanan karier mereka baru setahun jagung.

“Saya pun sewaktu awal dahulu, tak pernah rasa saya pelakon kayu, cuma tak bagus. Siapa pelakon yang diawal pembabitannya bagus berlakon? Kebanyakan pelakon zaman saya tak belajar asas lakonan di universiti, kami belajar melalui pengalaman dan pengamatan.

“Hasil kerja saya diawal dulu memang banyak kelemahannya. Tapi tak adalah sampai ke tahap digelarkan ‘kayu’.

“Pada saya ia cuma istilah yang dicipta orang terhadap pelakon yang tak pandai berlakon. Saya tak boleh terima kalau ada yang menggelar mana-mana pelakon yang tak pandai berlakon sebagai kayu. Kalau kayu, langsung tak bergerak pelakon itu.

“Janganlah berikan gelaran itu pada mana-mana pelakon sekalipun. Lakonan memerlukan fasa seiring pengalaman dan pembelajaran. Lama kelamaan, seseorang pelakon itu akan menjadi lebih bagus berbanding sebelumnya,” katanya.

Rosyam juga berjaya menepis gelaran hero tua apabila pada usia 57 tahun, beliau membuktikan masih menjadi buruan sutradara dan penerbit tempatan. Katanya, usia bukan penentu seseorang pelakon itu relevan atau tidak.

“Pernah juga satu ketika dahulu orang gelar saya ‘hero tua’. Saya katakan kepada mereka, tiada istilah itu. Hanya di Malaysia sahaja gelaran-gelaran sedemikian dicetuskan.

“Hero tetap hero. Contoh Shah Rukh Khan, yang satu tahun lebih berusia daripada saya. Tiada pula orang yang gelarkan beliau ‘hero tua’. Masyarakat kita sahaja yang suka melabel dan mengsensasikan gelaran.

“Saya bergerak secara peribadi dalam industri, mahu melihat generasi pelapis hari ini tetap diberikan peranan utama apabila usia mereka meningkat di kemudian hari.

“Alhamdulillah, walaupun usia saya 57 tahun, saya masih diberi kepercayaan membawakan watak utama contohnya dalam filem Memoir Seorang Guru. Bagi saya ini pencapai peribadi dan berharap, perkara yang sama berlaku kepada pelapis baharu nanti,” ujarnya.


CACAT KEKAL

Sepanjang perbualan kami, Rosyam berkongsi mengenai kecederaan yang dialaminya ketika beraksi dalam sebuah filem tempatan sehingga mengakibatkan pelakon ini terpaksa menjalani pembedahan.

“Pengalaman yang tak dapat saya lupakan apabila mengalami kecacatan selepas berdepan kemalangan sewaktu menjayakan filem Libas.

“Disebabkan itu saya terpaksa membuat pembedahan dan mengurangkan pembabitan selama hampir enam bulan.

“Namun kecederaan yang dialami tidak menghalang penglibatan saya dalam babak-babak aksi.

“Malah selepas melakukan pembedahan, saya terus ditawarkan untuk beraksi dalam filem KL Gangster,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya