JAUH perjalanan yang ditempuh pelakon dan penyanyi ini untuk sampai pada titiknya hari ini.
Dua dekad bukan singkat.
Kalau dibukukan, pengalaman Nadia Aqilah dalam dunia seni boleh sampai berjilid tebalnya.Yang kelihatan adalah kejayaan. Namun turun naiknya, hanya dia dan Tuhan yang tahu. Bagi Nadia, dunia hiburan itu tempatnya ‘gelap’.
Tidak ada yang indah. Namun kerana minat dan kecintaan, dia bertahan.
“Itu yang saya katakan kepada pelapis baharu. Dunia seni ini tiada indahnya. Lebih-lebih lagi di permulaan pembabitan kita.Saya beberapa kali putus asa. Perasaan itu pernah muncul sewaktu saya menyertai kumpulan Lucious suatu ketika dahulu. Masa itu terasa disisihkan, yang bertebaran tentang kami banyak cerita negatif, membuatkan saya berehat seketika daripada dunia nyanyian.
“Saya bangkit selepas itu. Terima kasih buat Enfinity Academy, di bawah bimbingan pengasasnya, Tiara Jacquelina dan pereka tari tersohor, Pat Ibrahim yang memberi ‘pintu’ kepada saya menyertai sebuah
muzikal teater yang dipentaskan di Singapura.
“Saya berpeluang bekerja dengan golongan profesional dalam suasana positif. Enfinity ibaratnya sebuah universiti seni yang mengajar saya selok belok bukan sahaja dunia teater, malah bidang seni secara
keseluruhannya,” kongsi Nadia.
Sejak itu Nadia tidak lagi menoleh kebelakang. Kecintaan terhadap dunia seni kembali menebal. Dia cuba
positifkan diri, banyak bercampur dengan orang yang boleh berkongsi semangat dan kebaikan.
“Pat dan Tiara nampak kekuatan saya, yang mana saya boleh menyanyi. Saya pegang nasihat mereka,kesenangan dan kemasyhuran adalah kesan sampingan bagi pekerjaan ini.
“Yang mustahak adalah minat dan kesungguhan. Kerana itu saya bersungguh-sungguh sebab saya yakin bahawa
saya minat dan inginkan bidang ini,” jelasnya.
Katanya, selepas 20 tahun, dia ingin kongsikan pengalaman kepada pelapis industri. Hanya realiti kehidupan seorang artis yang boleh diceritakan.
“Saya kena berlaku jujur dalam memberi tips dan pengajaran. Hiburan hanyalah dunia tipu-tipu. Jangan masuk ke sini kalau semangat tidak kuat.
“Buatlah kerana minat dan dapatkan sokongan daripada keluarga dan orang yang mengangkat semangat kita,”
katanya lagi.
Utamakan Privacy
NADIA tidak mengamalkan gaya hidup selebriti. Sebaliknya dia selesa menjadi orang biasa.
Baginya, berlakon dan menyanyi tidak lebih daripada sebuah pekerjaan. Populariti, kesenangan
hanyalah perkara sampingan yang tidak dinikmati semua artis.
“Saya anak seni, bukan selebriti. Profesion saya adalah pencerita. Saya hanya junjung gelaran artis
apabila depan kamera atau atas pentas sahaja.
“Nadia Aqilah adalah orang yang mengutamakan privacy. Saya tidak mudah bercerita pasal keluarga, apatah lagi kongsikan hal itu di media sosial. Itu cara saya lindungi keluarga.
“Realitinya, tiada apa yang luar biasa tentang saya. Pergi kerja kemudian balik ke pangkuan
keluarga. Kalau ada masa, keluar dengan kawankawan. Saya selesa hidup normal begini,” ujarnya.
Mungkin bagi sebilangan besar pelakon dan penyanyi, populariti, kekayaan dan peminat yang ramai menjadi kayu ukur bagi kejayaan anak seni.
Namun pelakon dan penyanyi berusia 38 tahun ini, kejayaan baginya adalah apabila berpeluang bekerja dengan orang yang diinginkan.
“Saya bernasib baik, setiap tahun ada sahaja peluang itu. Dan saya tak akan malu luahkan hasrat saya untuk bekerja dengan orang yang saya idolakan.
“Itu matlamat saya. Mungkin selepas ini saya mahu pula bekerja dengan pengarah, Shuhaimi Baba atau mana-mana pengarah baru berbakat,” jelasnya.
Perniagaan
HASRAT arwah ayahnya, Bajuri untuk melihat Nadia bergelar seorang usahawan tidak disia-siakan pelakon
ini.
Selain berlakon dan menyanyi, Nadia merasakan sampai masa untuk dia kembali aktif mengusahakan
perniagaan minyak cili di bawah jenama Nabdelish yang dimulakannya sejak pandemik.
“Dulu, saya buat secara suka-suka. Guna bahanbahan semula jadi seperti minyak sayur dan erythritol
(pemanis tiruan) bagi menggantikan gula.
“Saya mula menjualnya ketika pandemik, Alhamdulillah terima sambutan menggalakkan. Kemudian saya berhenti menjualnya selama satu tahun kerana sibuk berlakon.
“Tahun ini, saya ambil keputusan untuk usahakan semula produk ini dengan kerjasama rakan saya, Nadia Nisaa. Saya gembira dengan sambutannya, sampai saya jual ke Singapura,” katanya.
Kata Nadia, keputusan untuk kembali berniaga adalah langkah untuk mencari pendapatan sampingan selain menyanyi dan berlakon.
“Sampai bila saya hendak berlakon? Sekarang pun saya sudah perlu memilih naskhah disebabkan status saya sebagai isteri dan ibu.
“Lagipun saya tidak mahu sia-siakan ilmu perniagaan yang saya ceduk sewaktu menuntut di kolej Stamford
dan Universiti Malaya.
“Kalau arwah ayah masih ada, mesti dia orang yang paling bangga kerana hasratnya mahu melihat saya menjadi usahawan berjaya,” katanya lagi.