SEJAK berumur 17 tahun lalu, Muhammad Asyraff Mohd. Zamani sudah membawa gitar kesayangan untuk bernyanyi baik di acara keramaian mahupun dan jalanan.
Anak kelahiran Batu Caves, Selangor itu bagaimanapun mula memasang impian untuk serius terjun ke dalam bidang seni dengan menyertai program rancangan realiti Mentor Milenia pada tahun 2019.
Ketika menjadi protege kepada Black Hanifah, Asyraff mula mempelajari teknik nyanyian, penyampaian persembahan dan menimba pengalaman menjadi seorang penyanyi. Menerusi program tersebut, dia mula menukar namanya kepada Bulan Asyraff untuk lebih dikenali.
Asyraff mengakui, tidak mudah baginya untuk menapak dalam bidang ini. Sejak dahulu lagi, dia sering menjadi mangsa janji kosong syarikat rakaman membuatkannya bertekad untuk bergerak sendiri.
“Bayangkan bila dapat tahu ada syarikat nak ambil saya jadi artis rakaman dan buat lagu, saya melompat gembira. Saya siap pergi studio dan cuba nyanyikan lagu tersebut. Tiba-tiba mereka menghilang. Telefon dan mesej tidak dijawab.
“Perkara ini sudah banyak kali berlaku kepada saya sehingga akhirnya saya memutuskan untuk bergerak sendiri. Jadi, saya mula aktif di TikTok dan mengumpul ramai pengikut di sana untuk ‘dipandang’,” katanya yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di aplikasi itu.
Jejaka berusia 25 tahun itu bersyukur kerana beberapa videonya menjadi tular dengan jutaan tontonan. Berkat dirinya yang rajin melakukan sesi siaran langsung setiap hari, Asyraff sudah membina kenalan dari beberapa negara.
“Setiap hari saya akan busking di TikTok. Kadang sampai lima kali sehari. Alhamdulillah, dapat juga saya peroleh pendapatan ribuan ringgit sebulan.
“Pengikut saya di laman sosial juga banyak mencarikan peluang dan ruang untuk saya buat persembahan sehingga pernah menerima undangan dari Singapura dan Brunei.
“Itulah pentingnya mengapa kita kena merendah diri dan berkawan dengan semua orang,” katanya yang menjadikan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai idola.
Tangan Tak Sampai
Selepas bertahun-tahun bergerak sebagai artis indie, Asyraff akhirnya dilamar menjadi artis naungan di bawah label Dua Suara Media. Diterbangkan ke Bandung, Asyraff merakamkan lagu pertamanya, Tangan Tak Sampai, tahun ini.
“Apabila saya menerima tawaran tersebut, hati saya kuat mengatakan mungkin ini adalah masa yang tepat untuk menjadi artis rakaman.
“Syarikat pula mula menghubungi saya selepas melihat prestasi saya di media sosial.
“Tangan Tak Sampai adalah sebuah lagu bagi menceritakan perasaan rindu kepada seseorang yang sudah tiada lagi di depan mata,” ujarnya.
Ditanya apakah impian terbesarnya selepas ini, Asyraff hanya mahu menjadi seorang penyanyi yang diingati masyarakat tanpa meletakkan hasrat memenangi anugerah dan penghargaan sebagai keutamaan.