Yang tawar mendatar dalam Tarot 

Yang tawar mendatar dalam Tarot 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM memasuki sambutan bulan Halloween, namun naskhah seram sudah mula mengisi slot tayangan di panggung. 

Filem Tarot dibikin oleh duo, Spenser Cohen dan Anna Halberg yang sebelum ini dikenali mengemudi siri podcast popular, Classified menceritakan perkara mistik yang berlaku sekitar manusia. 

Pendek kata, mereka sudah pun mempunyai pengikut dalam kalangan peminat cerita seram dan menurut saya, ia memberi kelebihan dari aspek promosi.

Baik, mari kita bercakap tentang filem ini. Seperti judulnya, naskhah ini menceritakan bagaimana tarot iaitu kad permainan purba yang dipercayai boleh menunjukkan nasib seseorang di masa hadapan menjadi subjek  utama.

Ceritanya bermula apabila sekumpulan pelajar kolej menyewa sebuah rumah untuk menyambut hari lahir salah seorang rakan mereka iaitu Elise. 

Sebaik sahaja tiba di sana, mereka ternampak sebuah bilik dengan tanda amaran dilarang masuk. Oleh kerana mereka muda dan penuh rasa ingin tahu, mereka pun memasuki bilik itu dan terjumpa sebuah kad tarot di dalam kotak yang sudah ditinggalkan. 

Dijadikan cerita, salah seorang rakan mereka iaitu Haley pandai membaca maksud kad tarot. Malam itu, Haley membaca kesemua nasib kawan-kawannya melalui kad tersebut dan anehnya, mereka semua mendapat nasib yang sama iaitu bakal mati dalam masa terdekat.

Menurut saya, ia pembuka aksi satu yang berjaya. 

Saya ingin memberikan pujian kepada beberapa perkara. Tahniah kepada bahagian kostum dan seni filem ini kerana kesemua lembaga dalam kad tarot berkenaan berjaya dijelmakan dengan sangat menakutkan. 

Bahagian kesukaan saya mungkin penampilan lembaga dari kad tarot menyerupai badut yang tiba-tiba bertukar wajah semasa pintu lif dibuka. Skor muzik ketika babak tersebut dimainkan juga berjaya menambah rasa cemas. 

 

Mendatar dan tawar

Namun, apabila cerita semakin berkembang, nampaknya tidak perlulah saya berharap lebih. Filem Tarot bagi saya memiliki sebuah plot yang sangat tawar dan terlalu klise.

Tumpuannya hanyalah tentang keseraman bagaimana satu demi satu para pelajar mati.

Filem ini mungkin akan menjadi lebih menarik jika mereka menyediakan sedikit kerencaman contohnya bagaimana jika salah seorang pelajar itu berjaya mengubah nasib dan mengelak daripada terkena sumpahan kad tarot. 

Dengan itu, jalan ceritanya tidak akan terlalu membosankan. Mungkin juga kerana filem ini mendapat klasifikasi PG-13, maka mereka berhati-hati untuk tidak menampilkan babak yang terlalu seram atau terlalu ngeri. Oleh itu, impaknya biasa-biasa saja.

 

Bukan itu sahaja, sampai sekarang saya mempertikaikan aksi ketiga filem ini di mana ada seorang wanita dikatakan mampu menghilangkan sumpahan kad tersebut berdasarkan carian di internet.

Selepas memandu tiga jam ke rumah wanita tersebut, nampaknya tiada apa-apa yang mengesankan terjadi dalam babak tersebut. 

Pendek kata, jika anda mempunyai bajet hanya cukup-cukup untuk menonton satu filem sahaja bulan ini. Tontonlah filem yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya