TIDAK pernah kenal erti lelah, putus harapan, itu adalah pandangan saya terhadap pelakon, Ammar Titan. Biarpun bahtera seninya pernah dibadai ombak, namun dia tetap teguh mengemudi perjalanan.
Tetapi dalam usaha dan kudratnya, ada yang melihat dia sebagai seorang yang terlalu mencuba. Sehingga membuatkan ada mata-mata yang iri dan jelik. Apa salah dia sehingga dipandang sebegitu?
Adakah dia sebenarnya dinafikan bakat? Dilihat tidak berkemampuan untuk mewarnai karya seni atau tidak cukup kacak dan memiliki pengikut ramai membuatkan dia seolah-olah terpinggir?
Jawablah mendapatkan Ammar!
J: Sedekad dalam industri seni, Ammar pernah dihambat kontroversi yang cukup besar. Bukan senang untuk bina nama semula. Namun ada yang melihat usaha Ammar sebagai terlalu mencuba? Try hard sangat orang kata.
A: Setidaknya saya mencuba. Daripada biarkan saya kosong, ‘terkubur’ sahaja. Saya terlalu mencuba sebab saya boleh beri sesuatu kepada industri seni. Baik lakonan, pengacaraan dan bidang apa sekali pun.
Bukan mhu cakap saya bagus, saya sendiri masih banyak kena belajar. Tetapi saya sudah buat semua. Permainan pentas, layar kaca dan perak, nyanyian, pengacaraan, radio semua saya dah buat.
J: Bila dilihat dari sudut pandang negatif sebegitu, adakah perasaan Ammar terguris dengan persepsi yang tidak elok itu? Atau Ammar fikir, tidak mengapa.
A: Saya perlu kekalkan nama dalam industri seni. Buat kandungan di media sosial supaya orang masih kenal dan ingat. Sekurangnya jenama saya masih terjaga. Rezeki itu Tuhan yang berikan.
Kalau saya try hard sekali pun, saya tidak kacau orang. Tiada periuk nasi orang lain yang saya tabur pasir. Itu usaha saya sendiri untuk memastikan nama ada dalam peta industri seni. Mungkin ada yang terlepas pandang.
Mungkin dengan kandungan dan lawak-lawak yang saya buat di media sosial, produser atau pengarah akan terfikir oh ada Ammar. Kita tidak tahu, soal rezeki ini.
J: Selepas kontroversi yang berlaku, susah kan untuk Ammar kembali bangkit? Bukan sekejap masa yang diambil.
A: Susah sangat, apa yang saya lalui itu hanya Tuhan yang tahu, Tetapi saya percaya kepada hikmah dan aturan Tuhan. Mungkin ketika ini, belum nampak lagi cahaya sebenar yang menyinar.
Tetapi saya bersyukur, semua itu mendewasakan saya. Dalam masa sama, mematangkan saya berfikir cara bersaing dengan tenaga muda. Nak lawan dari segi wajah, memang tak dapatlah. Jadi saya ‘lawan’ guna bakat, cuma ruang dan peluang itu belum ada.
J: Adakah Ammar merasakan industri kita masih berpegang kepada faktor wajah, pengikut berbanding bakat?
A: Itu memang faktor utama yang dipandang oleh segelintir besar pemain industri seni. Masakan tidak, kalau nak pergi ujibakat pun, sudah ditulis kena ada wajah sebegitu, tubuh badan sasa.
Kadang-kadang, saya nak pergi ujibakat pun ragu-ragu sebab sudah tahu mungkin pihak penerbit ada pilihan sendiri. Saya tak ada peluang pun untuk tembus ujibakat. Tetapi saya faham ini perniagaan.
Masing-masing ada visi dan misi sendiri. Tidak mengapa, sekali lagi, ini kan soal rezeki.
J: Bila berdepan situasi sebegitu ditambah pula dengan episod hitam dahulu, pernahkah Ammar mahu berhenti sahaja? Putus asa?
A: Banyak kali. Tetapi setiap kali saya mahu mengalihkan langkah, saya tanya isteri, adakah sudah tiba masa untuk saya mengalah?
Isteri jawab; Kenapa kena mengalah? Ini kan minat dan cinta saya. Tuha sudah beri nikmat bakat, tinggal untuk kita guna dan usahakan.