Muzik di celah buku - Utusan Malaysia

Muzik di celah buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia, memang tak banyak buku tentang muzik diterbitkan. Ia bukan genre popular, malah mahu cari pemuzik yang menulis juga sukar.

Bukan hanya buku akademik tentang bidang ilmu muzik, malah bentuk penulisan yang agak pop seperti biografi dan sejarah juga tak banyak.

Tapi bukanlah sampai tak ada langsung. Ada beberapa penerbit yang konsisten menerbitkan buku muzik walau tahu untungnya taklah sebesar menerbitkan buku-buku petikan kata estetik yang sangat popular sekarang.

Antara buku muzik penting yang dihasilkan beberapa tahun ini ialah Tuk Tak: Cerita Zahid Ahmad Tentang Muzik Malaysia, Dram dan Proses Bikin Lagu terbitan Bukuku Press; The Strollers: Malaysia Pop Legends terbitan Rabak-Lit dan buku-buku himpunan kertas kerja Simposium Muzik Ipoh terbitan Port Ipoh.

Tak ketinggalan, antara buku muzik paling komprehensif pernah ditulis di Malaysia, 65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Rock Glam Melayu (1955 – 1986) terbitan UM Press.

Walaupun jumlahnya belum banyak, malah kepelbagaiannya masih nipis, kewujudan buku-buku ini memberi harapan untuk lebih banyak buku muzik diterbitkan di Malaysia.

Sekurang-kurangnya ia memberi inspirasi untuk lebih ramai menulis.

Cerita muzik Malaysia luas dan banyak warna, tak susah nak cari kandungan yang sesuai. Kita hanya perlu cari penulis yang mahu menulis.

Musicology

Cerita buku masuk dalam Rondivu minggu ini sebab acara buku terbesar tempatan, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sedang berlangsung.

Tak kiralah awak penyanyi popular, pemuzik handalan atau komposer terkenal, baca buku itu perlu. Ambil tahu tentang acara buku juga perlu.

Lebih menarik, di PBAKL tahun ini, ada reruai yang menumpukan temanya pada muzik. Maka wajiblah para penggiat dan peminat muzik, selama 10 hari, jadi budak buku.

Reruai itu diberi nama Musicology, hasil gabungan Rabak-Lit, ML Studios, Cereka dan Port Ipoh. Bukan semua buku tentang muzik tapi tumpuan promosi dan aktivitinya pekat tentang muzik.

ML Studios dikenali sebagai platform video info-hibur manakala Cereka merupakan aplikasi buku elektronik. Kedua-duanya bersama menyokong reruai Musicology.

Rabak-Lit pula terkenal sebagai penerbit budaya pop yang menjadikan muzik sebagai salah satu fokusnya. Setakat ini, mereka telah menerbitkan banyak buku yang ditulis ikon muzik, termasuk Radhi OAG, Mohd Jayzuan, Nasir Jani dan Takahara Suiko.

Buku sulung saya, Gonzo Tanpa Fiasco: Muzik Tidak Harus Tewas juga diterbitkan Rabak-Lit.

Port Ipoh pula lebih ke arah buku separa akademik. Dalam ranah buku muzik, saya lihat Port Ipoh sebagai pendokumentasi hal-hal mustahak yang tak begitu dipeduli orang lain.

Mereka ada menerbitkan buku biografi kugiran rock 1960-an, The Fabulous Falcon selain koleksi kertas kerja Simposium Muzik Ipoh yang, bagi saya, ada banyak permata tersorok di dalamnya.

Buku/Muzik

Adakah khalayak buku peduli tentang muzik? Ini soalan yang sepatutnya difikirkan keempat-empat penerbit itu sebelum memutuskan untuk menjadikan muzik sebagai tema reruai mereka, kalau mahu cari untung besar.

Tapi saya rasa mereka tak fikir sangat. Mereka buat sebab keperluan, bukan nak ikut kehendak khalayak buku.

Kalau nak ikut kehendak pembeli yang massa, semua penerbit dah cetak kata-kata estetik atas kadbod hitam.

Lapan tahun lepas, Bob Dylan menang Anugerah Nobel Sastera. Saya ingat lagi — walaupun tak berapa nak tahu lagu Dylan, saya teruja sebab ia semacam petanda dua dunia yang saya suka – muzik dan sastera – semakin menyatu.

Sebab itu, kajian projek tahun akhir saya tentang lirik lagu Malique.

Buku dan muzik juga selalu jadi nyala rasa saya, sejak awal remaja sampai ke hari ini. Apabila muzik dan buku menyatu, perasaannya masih segar dan menggembirakan seperti pertama kali menyelak lembaran #ProjekBuku secara digital 10 tahun lepas.

Tak pelik untuk buku dan muzik bersatu sebab muzik juga bidang ilmu macam topik-topik lain yang selalu dibukukan. Malah, muzik juga hiburan yang dekat dengan manusia. Hampir semua manusia ada kenangan tentang muzik.

Untuk menulis kandungan tentang muzik, tak susah. Ada banyak sudut boleh ditulis dan ia bukan kerja para pemuzik semata.

Tapi muzik perlu lebih dipandang serius di Malaysia kalau mahu lebih banyak buku dihasilkan. Kalau muzik hanya dianggap halwa telinga yang menghibur tanpa ada sekelumit ingin tahu untuk meneroka ke dalamnya, buku muzik akan terus jadi produk yang tak ramai cari.

Baru-baru ini saya ke pelancaran kedai buku terbesar sebuah rantaian kedai buku popular tetapi kecewa sebab tak ada langsung rak yang khusus untuk buku muzik.

Teman borak

Musicology susah nak jadi reruai paling popular di PBAKL, itu hakikatnya tapi saya akan selalu merayau-merayap di situ, sepanjang 10 hari ini.

Selain sesi rasmi yang telah dijadual penerbit, saya juga mahu duduk melanguk sambil menanti wajah siapa yang akan hadir, yang boleh dibuat teman borak tentang muzik dan buku.

Saya juga mahu ajak semua penggiat dan peminat muzik untuk ke sana. Tak beli buku pun tak apa, kita boleh baca manusia-manusia muzik lain yang datang dengan berborak.

Oh ya, reruai Musicology juga membuka ruang untuk kugiran atau artis meletakkan produk fizikal mereka (CD, kaset atau apa saja) untuk dijual di sana. Ambil peluang ini para pengkarya, kita jajah otak khalayak buku dengan muzik!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya