PELAKON, Radhi Khalid menyifatkan masalah pelakon lama dibayar rendah sebagai satu barah yang sukar dirawat.
Beliau yang berpengalaman hampir 40 tahun sebagai pelakon sudah masak dengan masalah itu. Padanya, tidak banyak usaha boleh diambil, perlu reda dengan keadaan yang itu yang mungkin tidak bertitik noktah.
“Mungkin yang berumur itu dipandang tak bertenaga. Sebab itu, semakin berusia pelakon itu, semakin rendah bayaran yang kami terima.
“Jujur cakap, yang lama kurang dihargai. Bukan tak ada penerbit ambil pelakon lama, ada. Cuma bayaran terlampau rendah.
“Saya laluinya. Pengalaman ada, anugerah pun saya pernah menang, pelbagai watak boleh saya bawa, boleh menyanyi dan menari. Kepercayaan orang terhadap bakat kita masih ada, tapi kalau bab bayaran, rendah.
“Apa pun, kena reda. Orang tawarkan kerja juga satu rezeki. Saya anggap mereka hargai. Fikir positif sahajalah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Namun Radhi tetap berharap penerbit dan stesen televisyen di negara ini membuka mata, membayar pelakon lama setimpal dengan pengalaman dan pencapaian yang diraih mereka.
“Saya pun pernah duduk di kerusi produser, kalau boleh saya berlaku adil semampu saya. Itulah harapan saya kepada penerbit lain, bayar biarlah setimpal. Nilailah dengan betul.
“Terus terang, tawaran berlakon saya masih terima. Tak banyak, tak juga sikit. Kalau boleh, memanglah saya hendak lebih.
“Tapi kalau ditanya perasaan tentang bayaran, saya kecewa. Saya rasa keadaan ini susah untuk diubah. Kalau mogok, kita juga yang hilang pekerjaan kelak,” kongsinya.
KERJA RESTORAN GAJI RM350
RADHI atau nama sebenarnya Muhammad Radhieddeen Abd. khalid dilahirkan dan membesar di Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
Beliau berdarah kacukan Pakistan dan Arab dan pernah mengikuti pembelajaran Penang Free School.
Pelakon ini berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Arau, Perlis namun meninggalkan pengajian dan berpindah ke Kuala Lumpur.
Kongsinya, beliau selepas berhijrah ke Kuala Lumpur pada usia 21 tahun pernah menyertai sebuah kumpulan seni yang digerakkan Allahyarham Jaafar Onn.
Katanya, beliau belajar menjadi penari, pengacara majlis dan peragawan di bawah bimbingan arwah.
“Pada masa sama, saya bekerja di sebuah restoran mamak dengan pendapatan RM350 sebulan.
“Antara pengalaman tidak dapat saya lupakan adalah tinggal bersempit-sempit dengan lima warga asing di kediaman yang disediakan majikan.
“Sebagaimana anda melihat warga asing tinggal di Malaysia, macam itu jugalah keadaan saya dahulu.
“Waktu itu, makan pun dicatu walaupun percuma. Hanya dibenarkan makan nasi dan ikan goreng. Pengalaman itu mengajar saya menjadi orang yang tak sombong,” katanya lagi.
Radhi kemudian meninggalkan industri perkhidmatan dan menyertai syarikat produksi Nizarman sebagai pengurus produksi, casting dan penolong pengarah.
Sepanjang tempoh lima tahun menyertai syarikat tersebut, beliau mempelajari selok belok dunia perfileman dan drama sebelum bergelar pelakon sepenuh masa.
“Pada 1995 saya bekerja sepenuh masa sebagai kru produksi untuk syarikat yang sama.
“Namun selepas lima tahun, saya berhenti dan menjadi pelakon sepenuh masa,” ujarnya.
SINONIM WATAK BANGLADESH
PELAKON berusia 60 tahun ini merasakan dirinya bertuah kerana diberi peluang membawakan watak seorang pemuda Bangladesh bernama Abdulla menerusi sitkom terkenal 90-an, Spanar Jaya.
Kata Radhi, watak tersebut membawa impak yang cukup besar terhadap kerjaya lakonannya sekali gus membuatkan lebih ramai yang menyedari kewujudannya dalam industri seni tempatan.
“Saya dah lama berlakon sebelum itu. Tetapi Spanar Jayalah yang menaikkan nama saya sehingga ke mana pergi orang panggil saya dengan nama watak itu.
“Pengarah, Allahyarham Mamat Khalid bijak mencipta watak yang sesuai dengan satu-satu zaman itu. Dan saya beruntung kerana dipilih arwah untuk membawa watak tersebut,” kongsinya.
Kata Radhi, disebabkan watak Abdulla itu membuatkan dia dikenali komuniti Bangladesh yang tinggal dan bekerja di Malaysia.
“Populasi Bangladesh di Malaysia ketika sitkom itu popular memang sedia ramai. Ada dalam kalangan mereka yang kenal saya disebabkan sitkom berkenaan.
“Saya bertuah kerana watak Abdulla itu menjadi dan saya gembira kerana sinonim dengan watak pemuda Bangladesh. Saya rasa saya layak menang anugerah kerana watak Abdulla.
“Satu perkara yang merisaukan saya adalah takut orang Bangladesh tidak selesa apabila digambarkan sebagai kaki perempuan dan perasan kacak disebabkan watak itu,” kongsinya
NASKHAH KOMEDI SERAM
TIADA titik noktah bagi penglibatan anak kelahiran Pulau Pinang ini dalam dunia seni. Malah pelakon berpengalaman ini masih menjadi pilihan syarikat produksi dan tetap menerima tawaran meskipun usianya menjengah enam dekad.
“Saya masih berlakon, kali terakhir adalah beberapa bulan lepas menerusi drama Takdir Itu Milik Aku yang penggambaran membabitkan saya adalah antara Disember 2023 hingga Februari 2024.
“Yang terbaharu adalah filem bertajuk Housekeeping yang merupakan naskhah komedi seram.
“Ia turut dijayakan Alif Satar, Sharifah Sakinah, Sabrina Ali dan ramai lagi,” kongsinya.