Kertas: Naskhah baharu Noryn Aziz keluar daripada aliran muzik jazz - Utusan Malaysia

Kertas: Naskhah baharu Noryn Aziz keluar daripada aliran muzik jazz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARYA-KARYA muzik penyanyi, Noryn Aziz, sebenarnya kurang diraikan dalam pasaran muzik Malaysia. Sepanjang tempoh hampir 30 tahun menceburi bidang muzik, orang ramai mungkin hanya mengenalinya menerusi lagu Fantasi O Realiti dan Cerita Cinta.

Dua album solo pop dan rock berjudul Fantasi O Realiti (1997) dan Alam Maya (2006), serta album jazz dalam format easy play (EP), I’m Alright (2010), adalah naskhah-naskhah yang menjadi pemberat resumenya, walaupun 90 peratus rangkaian lagu-lagunya tidak dikenali.

Tetapi, kekurangan itu bukan bermakna dia tidak menyumbang walau sekelumit jasa dan bakti dalam industri seni suara tanah air. Selain Datuk Sheila Majid, pemilik nama penuh Norazmahwati Abdul Aziz ini juga adalah penyanyi berperanan menggerakkan aliran muzik jazz di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penglibatannya dalam pertandingan Gegar Vaganza kelima (GV5) pada 2018, sehingga dinobat sebagai juara musim itu, meletakkan guru vokal ini ke dalam spektrum muzik yang lebih besar.

Noryn yang memulakan kerjaya nyanyian dalam kumpulan Sister-Sister, mempunyai pakej lengkap dengan keampuhan suara dan pendidikan formalnya dalam bidang muzik.

Tetapi, dari segi career wise itu, Noryn antara yang ketinggalan berbanding penyanyi sezamannya yang kembali dikenali selepas GV, malah aktif menghasilkan lagu baharu untuk pendengarnya.

Tiga single yang dirilis selepas GV iaitu Percayakan Hati Kita (2018) duet bersama Hazama, Pulang Merantau (W.A.R.I.S ft Noryn) dan Kau (2023) merupakan naskhah pop dalam rentak disco funk malangnya kurang menarik perhatian.

Kini, Noryn tampil sekali lagi menerusi single baharu berjudul Kertas, ciptaan Amylea Azizan/Bajai yang turut dijadikan sebagai runut bunyi drama Khun:sa. Berjayakah single ini atau adakah ini karya terbaik dari yang terbaik Noryn?

Saya kira, Kertas adalah penanda aras dalam lagu-lagu hitsnya sepanjang hampir tiga dekad ini. Kertas hadir sebagai naskhah pop balada Melayu pertama Noryn, bermesejkan ketuhanan, kerohanian serta menuntut sepenuh emosi dalam menyampaikan maknanya.

Format seperti ini yang saya dambakan untuk dinyanyikan Noryn kerana dia biasanya menyanyikan lagu-lagu dalam genrenya semasa bertanding atau menyanyi dalam acara-acara korporat dan ‘orang kaya’.

Penjiwaan Noryn untuk lagu seperti ini mengingatkan saya akan beberapa persembahan galaunya dalam GV seperti Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Kemelut Di Muara Kasih (Ziana Zain) dan Gelombang (Salamiah Hassan). Maka, kita masih mahukan persembahan Noryn yang lebih lagi dalam versi seperti ini.

Saya tidak boleh menjelaskan dalam aspek teknikal kerana saya bukan ahli muzik atau guru vokal. Tetapi, ada bahagian yang kedengaran menggabungkan elemen klasikal menggunakan jenis suara soprano dan saya percaya, Noryn memang mahir dalam bab-bab seperti ini.

Amylea pula terus mencabar vokal Noryn selepas minit 2.00 menerusi rangkap “sumpah tak berdaya, apa jua caraku, begini ku menghunus bisa kepada diriku sendiri” sehingga di akhir lagu. Tidak mengecewakan, kerana vokalnya benar-benar dibancuh sesuai dengan iringan lagu.

Amylea bijak menggunakan unsur personafikasi dengan mengambil helaian kertas sebagai naratif dalam menceritakan dugaan dan jeritan batin di dalam diri yang tidak tertanggung.

Berbeza dengan untaian lagu-lagu ciptaan dan tulisannya sebelum ini, penulisan di dalam Kertas lebih berkembang dan keluar daripada persepsi yang dia menulis hanya menggunakan laras bahasa yang simplistik.

Walaupun pelbagai anugerah dan pencapaian dikecapi Noryn di sepanjang perjalanan memulakan gerakan jazz sama ada di televisyen atau pentas-pentas pertandingan domestik dan antarabangsa, Noryn sebenarnya masih kekurangan lagu-lagu hits untuk berdiri sebagai penyanyi komersial.

Sampai bila dia harus menyanyikan Fantasi O Realiti atau lagu-lagu saduran bahasa Melayu dan Inggeris? Tetapi saya faham, tugasnya bukan semata-mata menyanyi kerana sebagai pemuzik profesional, dia masih ada komitmen lain seperti mengajar penyanyi lain dan menjadi juri pertandingan berskala kecil dan besar.

Kehadiran Noryn sebagai antara pejuang muzik jazz amat dihargai memandangkan begitu sukar untuk ‘menjual’ lagu-lagu dalam nuansa seperti itu di Malaysia, yang sinonim dengan muzik pop dan balada.

Bagi Kertas pula besarlah harapan ia menjadi lagu yang boleh dikenang-kenang atau setidaknya memberi kelainan dan keistimewaan untuk jenama bernama Noryn Aziz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya