TIGA tahun lalu, semasa sedang melakukan kembara solo, saya pernah berbual dengan sekumpulan pengembara sambil makan-makan. Ketika bertukar cerita tentang pengalaman masing-masing, seorang perempuan Jerman tersenyum girang ketika mengetahui saya berasal dari Malaysia.
Dalam banyak-banyak tempat di Malaysia, wanita yang sudah saya lupa namanya itu mengakui sangat menyukai Taiping. Bukan jawapan seperti Bukit Bintang, Cameron Highland, Batu Caves, Ipoh atau Penang yang biasa saya terima. Saya angguk-angguk sahaja kemudian berbasa basi kerana jujurnya, saya belum pernah ke sana.
Baru-baru ini selepas jam pulang kerja, saya singgah ke panggung menonton filem Rain Town. Naskhah arahan Tunku Mona itu membawakan Taiping sebagai latar, sebuah bandar yang paling banyak menerima hujan di Malaysia. Mengingatkan saya kepada pebualan singkat dengan perempuan Jerman tiga tahun lalu.
Rain Town dengan genre drama menceritakan sebuah konflik yang berlaku dalam sebuah keluarga berkisar tentang Choo, bapa yang suka mengarah-arah anaknya.
Dia kononnya paling mengetahui apa yang terbaik buat anaknya dan memaksa mereka melakukan pekerjaan yang tidak disukai mereka. Contohnya Isaac yang dipaksa menjadi doktor paling hebat di Taiping dan melarang anaknya bermain muzik.
Hanya ada hitam putih dalam hidup Choo. Sama ada anaknya mendengar semua arahannya, atau anaknya dianggap derhaka. Istilah demokrasi, perbincangan atau toleransi tidak hidup dalam kamus dan tradisi keluarga Choo.
Setiap kesedihan dan kemarahan ditanam-tanam menjadi dendam. Sehingga cinta yang besar pun akhirnya terpadam. Rain Town menceritakan betapa celakanya hidup jika sesuatu pendapat tidak boleh dicabar dan dipersoal.
Choo adalah orang-orang yang biasa kita jumpa dalam masyarakat hari ini tidak kiralah bangsa dan agama yang dianutinya. Choo sekadar mengikuti tradisi yang dianggap memihak dan memberi keuntungan kepadanya.
Saya pernah menonton beberapa lakonan Fabian Loo sebelum ini. Namun Rain Town berjaya mengeluarkan karisma Fabian Loo sebagai sosok seorang pelakon. Tidak hanya Fabian, malah kesemua pelakon taruhnya, Susan Lankester, Pauline Tan, Wilson Lee dan Chew Kin Wah memberikan persembahan sangat menakjubkan.
Hujan dan Taiping yang basah
Saya sejujurnya, cuba membaca lapis tersirat makna hujan yang dibawakan pengarah dalam naskhah ini. Namun, ketika memerhati naskhah ini, hujan selalunya turun semasa ada pertelingkahan dan kekecewaan besar terjadi membabitkan Choo.
Misalnya Choo ketika tahu anaknya ambil barang terlarang, babak bertikam lidah antara Choo dan Aileen di dalam bilik juga ahli keluarganya bertarung nyawa di aksi ketiga. Hujan yang renyai di awal filem semakin membadai ketika konfliknya semakin hebat diselang selikan papan tanda ‘Kebahagiaan Bermula di Taiping’.
Mungkin Rain Town ingin memberitahu, dalam hidup, tidak ada yang benar-benar sempurna dan bahagia. Dalam fahaman Choo yang merasakan pendapatnya paling sempurna, tetap ada sialnya. Begitu juga Taiping, yang pernah diiktiraf Bandar Paling Bahagia tahun 2020 juga ada deritanya.
Rain Town filem yang mendamaikan seperti tajuknya. Jika berkesempatan ayuhlah turun ke pawagam sementara ia masih ditayangkan. Sambil menulis artikel ini, saya sebenarnya sedang menyemak harga tiket keretapi ke Taiping, jumpa saya di Bandar Paling Bahagia, ya!