Jangan salah faham, apa yang Cik Bunga nak katakan ini bukanlah barisan kata-kata untuk menghentam penyanyi ini.
Apa yang Cik Bunga maksudkan di sini, Aisha Retno ada sesuatu pada dirinya yang perlu ‘digeruni’ oleh penyanyi-penyanyi lain. Kalau mana-mana penyanyi lain sekadar pasang hasrat mahu masuk industri seni ini cuma untuk memeriahkan suasana, lebih baik lupakan saja.
Kalau ada sekurang-kurangnya 10 penyanyi baharu lain mempunyai minat, semangat dan tenaga yang sama sebagaimana Aisha, rasa Cik Bunga, industri seni kita ini tidak akan ketandusan bakat-bakat muda yang berkualiti yang boleh diangkat sebagai pelapis berpotensi.
Jadi nasihat Cik Bunga, contohilah Aisha Retno. Bukan nak membodek penyanyi ini tanpa asas. Memang terbukti, Aisha mempunyai kualiti yang seharusnya ada pada bakat-bakat muda yang betul-betul nak jadi penyanyi bermutu.
Sebenarnya, sudah lama Cik Bunga meramal Aisha mampu bangkit sebagai penyanyi berpotensi yang dapat memukau industri. Mungkin hanya masa yang dapat membuktikan.
Nah, sekarang ramai sudah mampu mengangguk setuju bahawa penyanyi berusia 23 tahun ini bukan sembarangan apabila dia berupaya meraih tempat kedua dalam pertandingan berprestij tanah air, Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) baru-baru ini.
Mungkin bukan juara, tetapi apa yang diraih berdasarkan prestasi kerjayanya itu sudah cukup membuktikan tidak lama lagi Aisha bakal meledak dengan lebih hebat. Ya tidak lama sahaja lagi.
Satu lagi perihal tentang Aisha yang sudah lama Cik Bunga perhatikan, budi pekertinya dengan semua orang yang ditemui, cukup menyamankan.
Bagus sekali didikan ibu bapanya dan Cik Bunga berharap kualiti dan budi itu akan sentiasa dipelihara Aisha supaya suatu hari nanti tidak wujud tohmahan sombong menyinggah pada dirinya.