Waruga: tidak mengecewakan - Utusan Malaysia

Waruga: tidak mengecewakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN lambakan filem seram yang ada di panggung, saya sangat mencintai mana-mana pengkarya yang berani menyuguhkan keseraman dalam acuan tradisi apapun. Bagi saya filem itu beridentiti. Filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, arahan Azaromi Ghozali hadir di pawagam cuba memberikan saya euforia itu.

Sesuai tajuknya tentang kutukan ilmu hitam, filem ini cuba menceritakan bagaimana seseorang manusia ingin melawan hukum alam, menghidupkan seseorang yang sudah mati menggunakan kitab kepercayaan kuno kaum Minahasa.

Dalam filem ini, Yamin lakonan Zahiril Adzim melanggar sumpah dengan pulang ke kampung halaman selepas menerima khabar pemergian bapanya yang juga seorang bomoh. Menurut masyarakat kampung, banyak kali juga bapanya mati tapi anehnya, bapanya hidup semula berkali-kali kerana ilmu hitam yang diamalkan.

Selepas menonton naskhah ini, secara keseluruhan ia tidaklah mengecewakan. Namun tidak juga memuaskan. Bagi saya Waruga hanya berjalan biasa-biasa sahaja dari pengolahan cerita, eksplorasi keseraman dan juga aksi lonjakan ketakutan.

Budaya tidak cukup dibedah di tengah layar

Dengan meletakkan Waruga di pangkal tajuk, saya sebenarnya berharap akan ada pengenalan lebih jelas tentang kaum ini atau paling tidak visual kubur batu ikonik makam leluhur masyarakat Minahasa yang terpahat bermacam gambar.

Sekiranya sukar sekalipun memandangkan makam itu hanya ada di Indonesia, seperti Desa Sawangan di Kecamata Airmadidi contohnya. Saya tertanya-tanya juga mengapa tidak ada langsung visual mayat atau ritual dalam filem ini menunjukkan ia dimakamkan dalam posisi lutut bertemu dada seperti yang dilakukan dalam setiap pemakaman kuno mereka?

Saya berpendapat pengetahuan tentang Waruga dan masyarakat Minahasa tidak dibawa dengan adil di tengah layar. Sekadar menjadi tempelan, agar cerita ini mungkin kedengaran berbeza.

Walaupun babak seram dalam filem ini tidak kuat dan seperti dikitar semula dari filem seram yang lain, permainan skor bunyi gamelan yang saling bertingkah sangat mengena dan berjaya menampilkan kesegaran. Ia dilihat menjalin sangat baik dengan keseluruhan konsep yang ingin dibawakan.

Pujian juga diberikan kepada produksi yang berusaha menjaga setiap prop khususnya di bilik Rewan yang dipenuhi dengan kain-kain, kuda kepang dan susun atur perabot antik yang tidak pernah diganti selama 10 tahun.

Azaromi juga berjaya mencungkil sisi lakonan Elvina Mohamad sebagai Ardila yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Elvina yang selama ini dikenali dengan karakter yang asyik menangis boleh menjadi sangat hebat menggalas karakter perempuan gila. Saya rasa jika diberi ruang, Elvina boleh jadi sangat menonjol untuk naskhah ganas dan aksi selepas ini.

Saya juga menyukai bagaimana filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam ditutup dengan persoalan dan bukannya diselamatkan oleh seorang ustaz seperti cerita yang lain.

Apapun, walaupun minimum, Waruga setidaknya adalah filem yang cuba mengetengahkan unsur budaya yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Ia naskhah yang sesuai ditonton untuk golongan yang menyukai naskhah seram tahap satu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya