Surat buat Ronasina; Bang, sedap tak sedap itu dah tak penting! - Utusan Malaysia

Surat buat Ronasina; Bang, sedap tak sedap itu dah tak penting!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA layangkan surat ini bersama doa agar hidup Abang Ronasina dan Kak Sham terus bahagia, sentosa dan dilimpahkan rezeki. Moga umur abang dan kakak panjang.

Bang,

kalau orang lain yang tulis artikel dengan tajuk “Lagu Sekarang Tak Sedap”, mungkin saya baca acuh tak acuh. Ini salah tapi tajuk begitu memang mudah buat saya prejudis. Selalu sangat dah dengar orang lama memperlekeh lagu-lagu baharu sedangkan dalam pustakanya, lagu baharu hanya yang dimainkan berulang-ulang dalam radio.

Tapi sebab artikel itu abang yang tulis, saya baca bersungguh-sungguh. Jangkaan saya, hujah-hujahnya tak akan nipis dan cetek, otak saya bersedia mencari idea besar. Dan ternyata saya dapat idea besar itu.

Perbualan abang dan Faizal, saya rasa, sangat berisi. Sebab muzik tak dipandang lekeh dalam bual itu, malah ia diangkat tinggi.

Apabila Faizal berhipotesis bahawa lagu sekarang tak sedap sebab cara hidup yang semakin pantas dan segera, dia meletakkan muzik di tengah-tengah masyarakat. Muzik bukan sekadar hiburan, itu subteksnya.

Muzik menjadi cerminan masyarakat. Karakter masyarakat membentuk karakter muzik. Muzik tidak dianggap sekadar bunyi yang melintas di telinga, sebaliknya ia masuk dalam otak, melarut dalam darah dan meresap dalam jiwa. Sebab itu cara hidup manusia, secara hipotetikal, boleh membentuk muzik secara am.

Hujah ini mengangkat muzik sebagai sebuah fenomena sosial. Itu saya suka.

Tak penting

Bang Rona,

kita tak perlu berbahas tentang sedap tak sedap lagu sekarang. Ia sudah jadi remeh dan permukaan. Sebab bual abang dan Faizal dah tenggelam dalam.

Wacana yang sesuai disedut keluar dari artikel abang perlu tertumpu kepada hujah cara hidup yang mengubah bentuk lagu.

Saya setuju dengan hujah itu. Cara hidup manusia mempengaruhi cara mereka ‘menelan’ lagu.

Kalau hidup perlu pantas dan segera, lagu kurang dikunyah sebelum ditelan. Makanan yang kurang dikunyah tak perlu begitu sedap. Ia boleh disadur dengan perasa — MSG, krim gula berwarna-warni, keju meleleh dan melambak.

Begitulah lagu yang menjamin untung pada zaman sekarang. Tak perlu lirik yang dalam atau susunan yang teliti, asal bunyinya lazim dan ditambah perencah sensasi serta tular, sudah cukup.

Lazim jadi raja

Paparon,

dalam perniagaan muzik semasa, kelaziman (familiarity) adalah raja. Ini zaman algoritma; ada peniup trumpet dari Hamelin menggoda para pemuntah data media sosial untuk mengekornya ke mana saja.

Massa berfikiran sepunya dan ini syurga buat pemilik modal. Mudah mereka nak buat untung jadi kelaziman diperah sampai kontang — persetankan kedalaman dan keunikan, lagu-lagu mesti yang mudah dihadam dan mesra ingatan pendengar.

Lagu-lagu yang abang petik – dari Alleycats, Freedom, Razis Ismail, Francissca Peter dan Ramlah Ram – mencapai kemuncak populariti tapi tak meninggalkan kemerduan dan tusukan kalbu. Saya fikir, itu sebab orang ramai mahu lagu yang sebegitu elok. Sekarang, masihkah orang fikirkan keelokan lagu?

Begitu juga dengan penggerak-penggerak utama industri – radio, televisyen, media dan pempengaruh. Adakah mereka pedulikan keelokan lagu atau bergantung penuh pada status tular lagu dan pelantunnya? Atau mereka juga menjadi tikus yang mengekor peniup trumpet, berjalan tunduk menurut algoritma tanpa mahu tegakkan kepala mencipta pendapat sendiri?

Kesannya, bang, carta-carta lagu popular diisi lagu cetek, ringkas dan templated. Macam Malique kata berbelas tahun dulu, single bunyi jingle.

Antimandiri

Cikgu Affandi Ramli,

Saya pernah ada pengalaman singkat mengajar di sekolah, fasa universiti saya pula hampir penuh diisi isu-isu tentang pendidikan. Abang rasa, amalan bengkel teknik menjawab dan tip-tip menjawab soalan peperiksaan menyumbang kepada kontangnya pemikiran generasi sekarang?

Sebab saya fikir, amalan itu yang digerakkan secara besar-besaran di semua sekolah menanam pemikiran mahu cepat, mahu mudah, mahu shortcut dalam kalangan pelajar. Dalam mahu cepat, mudah dan shortcut itu, yang dilangkau biasanya proses berfikir. Ini boleh menyumbang kepada sikap dan cara fikir yang seragam, antimandiri.

Saya ada tulis beberapa minggu lepas tentang pendengar yang berdikari, bagaimana ia boleh mengubah landskap muzik negara. Saya percaya, kalau pendengar berdikari menentukan selera muziknya sendiri, lebih banyak pemuzik yang berkarya dengan kedalaman dan keunikan mendapat lebih banyak pengiktirafan.

Kalau tanyakan pada saya, secara permukaan, saya tak setuju lagu sekarang tak sedap. Tapi macam saya cakap tadi, bahas itu dah tak penting.

Cuma, nak juga saya bangkitkan yang banyak lagu berkualiti sekarang tenggelam dalam ribut tular. Lagunya sedap, cuma tak tular, jadi orang tak tahu. Sayang.

Sudah dua tahun saya buat senarai 100 lagu terbaik tahunan. Tak semuanya betul-betul sedap. Dalam 200 itu, mungkin 30 yang saya rasa sangat bagus. Tapi reaksi yang biasa saya dapat, satu pun lagu dalam senarai itu tak pernah orang dengar.

Tapi saya masih mahu terus berjalan dalam lorong sunyi itu (abang tahu kan ini homaj saya buat siapa?). Biarlah saya buat benda tak popular, yang penting saya nak beritahu orang lagu-lagu sekarang ada yang sedap.

Begitulah bang, surat saya boleh sampai sini saja. Kalau ada rezeki, kita bertukar pandangan lagi tentang muzik atau apa saja topik yang sedap dibual. Dan tak terlambat rasanya saya nak ucap, terima kasih balas mesej saya di Facebook sembilan tahun lepas!

*Ini merupakan balasan untuk artikel “Lagu sekarang tak sedap” oleh Ronasina yang disiarkan di portal Free Malaysia Today pada 30 Januari 2024.

**Affendi Salleh membuktikan menulis surat itu cool, sebab itu saya pun nak tulis surat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya