Noorshila Amin dulu tidak diterima jadi pekerja kilang - Utusan Malaysia

Noorshila Amin dulu tidak diterima jadi pekerja kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA teringat pada kata-kata seorang rakan industri berkenaan pengaruh lagu kepada seseorang. Benar apa yang diperkatakannya, unsur nostalgia dalam sesebuah lagu itu mampu mengembalikan ingatan fasa lampau kita.

Pada saya, lagu Aku Sudah Jatuh Cinta yang dihasilkan A. Ali dan lirik oleh Mama Juwie antara yang ada nilai sentimental apatah lagi melodinya beberapa kali dialunkan ibu sewaktu mendodoikan saya satu masa lalu.

Begitu juga lagu Rambu Ramba yang acap kali saya dengar di radio semasa saya kecil. Dua lagu ini ibarat mesin masa yang mengembalikan memori kanak-kanak saya. Ketika itu saya terlalu kecil untuk mengenali Noorshila Amin yang merupakan penyanyi bagi kedua-dua lagu tersebut.

Namun semasa meningkat dewasa, barulah saya secara sedikit demi sedikit kenal seorang Noorshila yang juga penyanyi lagu-lagu hits lain seperti Kad Ucapanmu, Sekian Terima Kasih dan beberapa lagi.

Disebabkan itu, pertemuan dengan penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini dalam sidang media baru-baru ini saya anggap amat bermakna dan istimewa. Ternyata, penyanyi veteran ini orangnya ceria dan tidak langsung berlagak diva malah menyambut kehadiran saya dengan ramah.

Noorshila pada sidang media berkenaan giat mempromosikan acara Unity Parade yang akan dilaksanakan dua hari bermula 24 Februari depan.

Ketika berborak dengan penyanyi ini, sempat saya tanyakan, selain program perarakan tersebut, adakah dia juga sibuk berkarya atau ada menerima tawaran untuk merakamkan lagu baru?

Noorshila tidak menolak ada pihak yang melamarnya untuk menerbitkan lagu, bagaimanapun penyanyi ini memaklumkan terpaksa menolak pelawaan tersebut kerana merasakan belum menemui karya yang benar-benar sesuai dengan dirinya pada masa sekarang.

“Ada juga yang tawarkan saya rakam lagu, tapi kebanyakan antara mereka adalah komposer baharu yang tidak saya kenal.

“Jujurnya, kalau pun saya mahu rakamkan lagu, biarlah yang berentak rancak dan tidak mendayu-dayu. Bukan saya menolak lagu balada dan sebenarnya tak ada masalah untuk itu, tetapi sesuaikan dengan jiwa saya.

“Kalau ditanya, jenis lagu apa yang saya nak rakam pada usia saya sekarang, saya akan jawab World Music. Genre itu lebih serasi untuk saya di masa ini,” kongsinya.

Dalam perbualan kami, Noorshila banyak berkongsi tentang acara Unity Parade yang diusahakan bersama suaminya, Norrizan Abd. Majid yang bakal berlangsung kurang lebih dalam lapan hari lagi.

Kira-kita 3,000 peserta telah mendaftar diri untuk acara perarakan yang bermula dari Dataran Merdeka sehingga ke kompleks-beli belah Lalaport di Bukit Bintang itu.

“Kami sebenarnya menyasarkan 8,000 peserta sama-sama berarak sambil menyarungkan baju tradisional pilihan mereka. Bagi saya kita tak perlu tunggu Hari Kemerdekaan atau Hari Malaysia untuk melakukan seperti itu. Ia boleh dibuat pada bila-bila masa.

“Masyarakat negara kita terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Sebab itu saya terpanggil untuk menganjurkan acara ini untuk meraikan kelainan tradisi dan budaya yang ada di Malaysia,” jelasnya.

JAGA MAKAN, KESIHATAN

Saya kagum dengan penyanyi berusia 60 tahun ini yang masih kelihatan bukan sahaja cantik dan langsing malah bertenaga ketika umurnya menjangkau enam dekad.

Ibu kepada empat cahaya mata ini ternyata cukup menjaga penampilan dan berdisiplin tinggi dalam menjaga kesihatan.

Bila diajukan tentang perkara tersebut, penyanyi yang pernah merakamkan lima album ini memaklumkan tiada prosedur kosmetik atau pembedahan plastik yang dibuatnya.

Penampilan yang awet muda yang dimilikinya adalah hasil amalan penjagaan kesihatan dan kawalan pemakanan yang ketat.

“Saya cukup menjaga soal pemakanan. Makan nasi berpada-pada, lebihkan sayur dan protein daripada daging ayam. Pada masa sama, makan ikut jadual, iaitu lima kali sehari namun dalam kadar yang tidak berlebihan.

“Saya juga mementingkan senaman dan antara yang menjadi rutin harian adalah berjalan lima kilometer (km) sehari.

“Selain itu, emosi kena selalu stabil. Saya ini periang orangnya. Seperti orang lain, saya juga ada masalah tetapi saya tidak mahu terbawa-bawa emosi disebabkan masalah tersebut. Mungkin sikap saya
yang mudah terhibur membuatkan saya mudah berdepan sebarang masalah,” kongsinya.

Ditanya pembedahan kosmetik, kata Noorshila dia tidak akan sesekali memilih kaedah tersebut kerana risau kesan sampingan yang bakal ditanggung di kemudian hari.

“Saya tak perlu buat pembedahan untuk nampak muda. Biarlah saya guna cara lebih semula jadi, yang lebih selamat dan tidak membahayakan seperti penjagaan pemakanan dan kesihatan.

“Tetapi saya hormati keputusan mana-mana artis yang mengambil jalan tersebut untuk kebaikan mereka.

“Saya pasti mereka ada sebab tersendiri yang memungkin keputusan untuk melakukan pembedahan,” kongsinya lagi.

EKONOMI GAWAT, BERNIAGA NASI LEMAK

Noorshila memulakan kerjaya nyanyiannya selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia iaitu sekitar tahun 1981.

Beliau merupakan seorang yang aktif menyanyi selain sering terlibat dalam aktiviti kebudayaan termasuk tarian dan sebagainya.

“Minat dan kerjaya saya memang ditakdirkan dalam bidang seni. Saya pernah cuba masuk bidang lain, bahkan pernah memohon untuk bekerja di sebuah kilang penghasilan kasut ternama tetapi permohonan saya ditolak.

“Tapi mudah untuk saya sertai bidang seni, bermula dengan uji bakat untuk menyertai Pentarama di bawah Jabatan Penerangan sehinggalah menjadi penyanyi sepenuh masa,” katanya.

Sepanjang empat dekad menjadi anak seni, Noorshila melalui turun naik kehidupan yang mematangkannya. Sempat penyanyi ini bercerita ketika hilang punca pendapatan sebagai penyanyi semasa kegawatan ekonomi melanda negara pada 1997 dan 1998.

“Saya ingat lagi masa itu saya terpaksa berniaga menjual nasi lemak di Puchong. Saya tak sangka jualan saya laris dan mendapat sambutan. Lebih mengejutkan apabila pelanggan sanggup beratur panjang sebelum gerai mula beroperasi.

“Zaman itu ramai artis berniaga kerana ekonomi negara tidak stabil mengakibatkan ramai orang hilang pekerjaan termasuk anak seni.

“Kegembiraan saya berniaga bagaimanapun sementara apabila pihak berkuasa mengarahkan gerai ditutup dan merampas semua peralatan jualan gara-gara perniagaan saya ketika itu tidak mempunyai lesen. Disebabkan terlalu kecewa, saya dan keluarga berpindah ke Langkawi dan menerima tawaran menyanyi di sebuah hotel di sana,” ujarnya.

RUMAH TANGGA BERKEKALAN

Noorshila ditemani suami yang juga seorang pemuzik, Norrizan ketika saya menemu bual beliau pada sidang media berkenaan.

Keserasian pasangan suami isteri itu jelas kelihatan tatkala keduanya saling berbagi pandangan tentang rumah tangga mereka yang berkekalan lebih 40 tahun.

“Sebagai suami isteri, kami juga ada waktu yang bergaduh dan berbeza pandangan. Tapi yang menguatkan hubungan kami adalah toleransi dan kesabaran.

“Usia perkahwinan kami kini memasuki empat dekad dan kami mempunyai empat anak bersama. Masing-masing kena give and take, faham kelemahan dan senang untuk tegur antara satu dengan lain.

“Saya juga senang bekerjasama dengan suami sendiri. Kalau gaduh, kami sahaja yang tahu. Perkara itu lebih memudahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya