Melisha sukar dapat tawaran lakonan kerana ketinggian - Utusan Malaysia

Melisha sukar dapat tawaran lakonan kerana ketinggian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUPA paras persis model tidak menjamin laluan mudah buat gadis berdarah kacukan Cina dan India, Melisha Lin untuk menjadi pelakon.

Bahkan, ketinggian 177 sentimeter (cm) yang dimiliki Melisha adakala menjadi penghalang terbesar buatnya untuk mendapatkan tawaran lakonan.

Berkongsi pengalaman, gadis berusia 26 tahun ini pernah berdepan pelbagai penolakan kerana dianggap terlalu tinggi.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pelakon. Tetapi laluan saya sedikit sukar disebabkan ketinggian saya.

“Penolakan demi penolakan saya hadapi. Dalam 10 uji bakat yang saya sertai, tujuh gagal. 

“Alasan yang penerbit berikan adalah saya terlalu tinggi untuk dipadankan dengan pelakon lelaki. Tapi saya tidak berputus asa kerana perjalanan saya dalam bidang ini masih jauh,” jelasnya.

Setiap kesusahan pasti disusuli kesenangan. Sikap Melisha yang tidak mudah berputus asa akhirnya terbayar apabila dia terpilih membintangi filem Oppa yang akan ditayangkan pada Mei tahun ini.

“Ini adalah filem pertama untuk saya. Lebih menyeronokkan apabila pelakon lelaki yang dipasangkan lebih tinggi dari saya.

“Filem ini membuatkan saya yakin yang saya ada masa depan dalam bidang ini. Saya harap lebih ramai penerbit dapat melihat bakat saya,” kongsinya.

HIDUP BERDIKARI

SIKAP tidak mudah mengalah tersemai dalam diri bekas peserta pertandingan ratu cantik ini semenjak usia remajanya lagi.

Katanya, dia sudah melatih diri untuk hidup berdikari sejak berumur 15 tahun dengan bekerja untuk mencari pendapatan kerana tidak mahu menyusahkan ibu dan bapanya.

“Saya sudah melakukan pelbagai jenis pekerjaan pada usia yang sangat muda, termasuklah menjadi promoter jualan dan pekerja kilang menghasilkan kalender. 

“Wang yang diperoleh dari pekerjaan yang saya lakukan saya gunakan untuk membiayai kos pembiayaan universiti.

“Sejak usia 15 tahun saya dilatih berdikari, tidak lagi bergantung kepada ibu bapa dari sudut kewangan,” kongsinya.

PERANCANGAN MASA DEPAN

MESKIPUN aktif menjadi pengacara majlis dan hos rancangan televisyen, Melisha sudah menyusun atur perancangan untuk melebarkan sayap dalam dunia lakonan.

Katanya, apa yang penting buat masa ini adalah mempersiapkan diri dengan segala pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi pelakon yang bagus dan berilmu.

“Saya yakin masa depan saya dalam bidang ini cerah. Jadi, saya tak akan sia-siakan peluang yang diberikan.

“Saya akui memang saya banyak bertanya kepada rakan-rakan industri tentang selok belok dunia lakonan. Saya masih baru dan tak banyak pengalaman.

“Selepas ini saya akan asah bakat sebagai pelakon dengan menyertai kelas kelolaan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Nawi. Saya bersedia untuk menjadi anak wayang!” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya