TATKALA dakwaan kononnya penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mahu menamatkan zaman solonya, peminat seakan bersorak gembira. Bagi mereka, penantian untuk melihat artis kesayangan mereka bersanding akhirnya tamat.
Namun rupa-rupanya itu sekadar gimik untuk mengajak peminat bersama meraikan 25 tahun perjuangannya dalam industri seni menerusi sebuah konsert. Ramai yang gembira, namun ada juga kecewa.
Mengapa perkahwinan dijadikan satu gimik? Tidakkah itu seolah-olah merendahkan kredibiliti Siti Nordiana atau mesra dipanggil Nana dalam industri seni suara? Tidak perlu rasanya gimik sebegitu.
Jawablah mendapat Nana, apakah gimik diperlukan untuk menjual tiket? Tidakkah populariti yang dimiliki cukup untuk meyakinkan peminat? Nana, Jawablah!
J: Macam mana sambutan penjualan tiket konsert pertama Nana, Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun Mei? Dengar cerita laku keras seperti pisang goreng panas?
S: Alhamdulillah, sambutan memang menggalakkan. Ada beberapa zon sudah habis terjual dan ada beberapa masih dibuka untuk pembelian. Saya sendiri tidak sangka dan terkejut dengan sambutan peminat.
J: Maknanya gimik berkahwin hari itu menjadilah?
S: Bukanlah gimik sangat sebenarnya pun. Ini adalah konsert pertama saya selepas 25 tahun dalam industri seni. Lama saya tunggu dan peluang ini tidak akan saya sia-siakan. Ibarat perkahwinanlah.
Saya ‘bersanding’ di atas pelaminan (pentas), disaksikan ribuan peminat. Itulah metafora yang saya cuba sampaikan. Tidaklah gimik sangat pun. Mungkin peminat teruja bila dengar saya hendak kahwin.
J: Dalam keterujaan itu, ada pula yang macam kurang bersetuju apabila Nana menjadikan perkahwinan sebagai gimik? Ada yang cakap tak perlu pun Nana buat gimik sebegitu? Bukan tahap Nana pun.
S: Bukan niat saya pun hendak merendah-rendahkan istilah perkahwinan itu. Apatah lagi, mempermainkan peminat. Memang ramai gembira sampai ada yang ‘shaking’ sebab terkejut saya mahu kahwin.
Tak pernah saya anggap perkahwinan adalah sesuatu yang boleh dijadikan gimik murahan. Cuma seperti yang saya cakap tadi, konsert ini diibaratkan seperti satu perkahwinan. Saya, muzik dan peminat.
Saya mahu jadikan konsert ini sebagai sesuatu yang indah untuk diabadikan. Seperti majlis perkahwinan juga. Segala aspek kita ambil serius. Baik pemilihan lagu, susunan muzik, konsep, busana dan semuanya.
J: Persiapan pula macam mana? Sebelum ini Nana berhadapan masalah kesihatan di peti suara sehingga menjejaskan persembahan di pentas All Stars Gegar Vaganza.
S: Alhamdulillah, peti suara saya sudah semakin pulih. Kalau hendak kata 100 petarus pulih itu tidak. Saya juga perlu menghadiri kelas vokal untuk asah semula teknik dan suara. Macam otot kita lah, kena bersenam.
Tetapi saya sudah tidak lagi perlu mengambil ubat. Cuma ada pemeriksaan dengan doktor secara berkala. Kena berlatih, terutama perlu menyanyikan lebih 20 lagu dalam konsert berdurasi hampir dua jam.
J: Gementar tak? Biarpun berbaki tiga bulan lagi, tetapi mesti sudah rasa gugup kan? Konsert pertama selepas 25 tahun pula itu?
S: Jangan tanya bab gementar, fikir pun sudah ketar lutut. Tiga bulan mungkin lama di fikiran orang, tetapi bagi saya sendiri masa seperti berjalan dengan pantas sekali. Kena kerja keras sikit.
Peminat juga saban hari meluahkan rasa tidak sabar, teruja untuk sama-sama meraikan jubli perak saya dalam industri seni. Ini adalah satu pentas pembuktian, penghargaan untuk saya sendiri.
J: Dengar cerita ramai juga artis undangan di malam konsert itu nanti, betul ke?
S: Rahsialah, biarlah menjadi kejutan kepada peminat yang hadir. Saya juga banyak lagu duet. Jadi nantikan!