Saya tak boleh tiru arwah - Syafiq Farhain - Utusan Malaysia

Saya tak boleh tiru arwah – Syafiq Farhain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMINAT Iklim sudah mula meluahkan rasa teruja menantikan dua buah single baru yang bakal diterbitkan kumpulan bertaraf legenda itu pada tahun ini.

Lebih menambahkan keterujaan itu adalah apabila projek berkenaan melibatkan anak kepada Allahyarham Saleem, Syafiq Farhain.

Syafiq, 29, ketika ditanya tentang kolaborasi itu memaklumkan dia teruja namun pada masa sama gugup mengenangkan jangkaan masyarakat lebih-lebih lagi peminat tegar Iklim.

“Orang pasti meletakkan jangkaan yang tinggi kepada saya. Setinggi mana, saya tak pasti. Tapi saya pasti ada peminat yang jangka penyampaian saya nanti sama seperti arwah.

“Saya tak boleh tiru arwah kerana dia ada cara penyampaiannya dan saya ada gaya tersendiri.

“Saya cuma mahu bersama Iklim sebagai penyambung legasi, bukan meniru ‘sebiji’ nyanyian arwah,” katanya.

Tentunya, peminat kelak pasti akan membanding-bandingkan Syafiq dengan bapanya lebih-lebih lagi apabila membabitkan nama Iklim.

Jelas Syafiq, dia tidak ambil serius sekiranya dibanding-bandingkan kerana sudah berhadapan keadaan itu sejak kali pertama melangkah ke dalam dunia hiburan tanah air.

“Saya nyanyi lagu apa pun, akan ada yang banding-bandingkan. Dalam hal ini, saya serahkan kepada peminat untuk membuat penilaian masing-masing.

“Yang penting, apa yang saya berikan, adalah yang terbaik,” jelasnya.

SELESA BERGERAK SOLO

Pelbagai reaksi dikongsikan netizen selepas Syafiq menafikan spekulasi bakal menggantikan bapanya, Allahyarham Salim Abdul Majeed atau Salim selaku vokalis tetap kumpulan Iklim.

Ada peminat yang menerima keputusan Syafiq dengan hati terbuka, tidak kurang juga yang sedikit kecewa apabila penyanyi lagu Demi Setia itu menolak tawaran mengisi kekosongan tersebut.

Penyanyi berusia 29 tahun itu mempunyai alasan tersendiri disebalik penolakan itu. Jelasnya, dia ada komitmen lebih utama, yang tidak membolehkan pembabitan secara tetap bersama Iklim.

“Sebenarnya bukan saya tolak (vokalis tetap), tetapi lebih kepada mencadangkan untuk buat featuring bagi lagu atau sebarang persembahan.

“Saya tak boleh sertai Iklim secara tetap kerana ada komitmen sebagai pegawai bomba, ditambah dengan tanggungjawab kepada keluarga dan kerjaya solo saya.

“Kalau bukan kerana komitmen-komitmen ini, saya tak ada masalah untuk menjadi vokalis tetap Iklim. Tapi sebenarnya saya lebih selesa bergerak solo, bebas tak melibatkan orang lain,” katanya lagi.

SERONOK BERGELAR BAPA

Dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia tujuh bulan, Nur Eshal Zahra hasil perkahwinan dengan isteri, Alia Nadia, 29, Syafiq mengakui terlalu bahagia bergelar bapa.

Katanya, hidup menjadi lebih bermakna apabila menggalas tanggungjawab yang lebih penting sebagai ketua keluarga.

“Alhamdulillah, anak saya kini berusia tujuh bulan. Seronok jadi bapa. Saya tak sabar nak jenguk anak setiap kali pulang dari kerja.

“Saya, kalau boleh tak mahu terlepas momen penting, melihat anak membesar depan mata.

“Kalau diizinkan, setiap hari nak tengok kerenahnya,” kata Syafiq teruja.

Dalam masa sama, Syafiq juga mengakui dia tidak terlalu berkongsi perihal rumah tangga di media sosial. Katanya keputusan itu dibuat untuk kebaikan keluarga.

“Kalau dulu orang ingat saya rahsiakan perkahwinan, sebenarnya tidak. Yang tahu, tahulah.

“Begitu juga dengan hal keluarga, tidak pernah saya rahsiakan. Ada saya kongsikan di media sosial, cuma tidak secara berlebihan.

“Saya tak mahu campur adukkan hal peribadi dengan kerjaya. Kalau boleh, biarlah peminat kenal saya menerusi karya dan nyanyian. Hal peribadi itu, tak tahu pun tak apa,” jelasnya.

Selain itu, Syafiq juga memberitahu isterinya tidak ada masalah dengan keinginan penyanyi ini untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

“Dia okey dan faham kerjaya saya. Sebelum kahwin pun dia yang uruskan. Isu cemburu atau apa langsung tak timbul. Isteri saya memahami,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya