Perjuangan Sweet Charity belum bernoktah - Utusan Malaysia

Perjuangan Sweet Charity belum bernoktah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila bercerita tentang Sweet Charity,banyak yang boleh dikupas sebenarnya.

Kumpulan yang berasal dari Kota Singa ini mempunyai sejarah dan khazanah yang cukup luas. Mereka bukan sahaja layak dilabel sebagai perintis kebangkitan muzik rock rantau ini, tetapi perjuangan meneruskan legasi itu yang harus diberikan pujian.

Menakluk peminat dengan magis dan identiti meletakkan Sweet Charity dalam kelas tersendiri. Wujudlah berapa banyak kumpulan rock sebelum ini namun tidak mampu mengatasi auranya.

Walau pernah berantakan dan sepi seketika dari radar, namun mereka tidak pernah meletakkan noktah dalam perjuangan, malah apabila kembali bangkit pasti ada sesuatu yang Istimewa dihadiahkan kepada peminat, terutamanya melalui sentuhan karya yang malar segar.

Sweet Charity diumpamakan seperti legenda yang tiada galang ganti.Setiap naskhah yang dihasilkan mempunyai impak dan keaslian tersendiri.

Meskipun ada antara karya tersebut merupakan lagu saduran dari artis seberang tetapi mereka berjaya membawanya dengan identiti sendiri, tidak keterlaluan dikatakan penyampaian mereka lebih mudah diterima peminat berbanding penyanyi asal.

Mengimbau kembali sejarah perjalanan Sweet Charity seawal tahun 1969, kumpulan ini mula menempa nama melalui dua anggota asal iaitu Ramli Sarip dan Rahman Sarbani sebelum Rosli Mohalim dan Ahmad Jaffar melengkapi line-up kumpulan ini pada lewat 70-an sejurus sebelum album pertama mereka diterbitkan.

Kunci Penyatuan

Sehingga tahun 1985, Sweet Charity telah menghasilkan enam rilisan sebelum Ramli Sarip mengambil keputusan menarik diri untuk bergerak secara solo.

Pengunduran ‘Papa Rock’ seterusnya meletakkan tanggung jawab berat buat Rosli Mohalim untuk memastikan Sweet Charity tidak berkubur tanpa nisan. Walaupun tidak menerbitkan rilisan baharu namun mereka tetap aktif mengadakan persembahan di merata lokasi waima bukan dalam skala besar.

Nilai persahabatan dan keakraban barangkali menjadi kunci segalanya apabila mereka kembali bersatu.

Konsert di Stadium Merdeka pada 2011, di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 29 Julai dan seterusnya di The Star Theatre, Singapura pada 14 Oktober tahun lalu membuktikan segalanya. Sweet Charity dilihat kembali bersatu membawa peminat mengimbau nostalgia.

Konsert Semalam Di Malaya, Lima Dekad Sweet Charity yang akan berlangsung pada 26 Januari ini di Zepp Kuala Lumpur pastinya menjanjikan kelainan buat peminat.

Selain peneraju utama Ramli Sarip dan Rosli Mohalim, kehadiran dua anggota asal Rahman Sarbini (drum) dan Ahmad Jaafar (keyboard/vokal) tentunya mengubat rindu peminat.

Menurut Ramli keterujaan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur ibarat sirih pulang ke gagang. Selain berharap setiap anggota dianugerahkan kesihatan yang baik, dia juga berjanji akan memberikan persembahan bertenaga kerana sokongan peminat adalah asbab utama untuk mereka terus berkarya.

“Saya amat bersyukur peminat masih mengingati Sweet Charity. Semoga setiap anggota diberi kesihatan yang baik supaya kami dapat bersua muka dengan peminat lama dan baru.

Selagi diterima peminat dan ada permintaan, selagi itu kami akan terus bersama membawa jenama Sweet Charity ke tahap yang lebih tinggi.

“Bukan semata nilai karya, tetapi perjuangan sedia ada yang perlu diteruskan. Kami sentiasa menitikberatkan persahabatan dan jauhi pertelingkahan. Kadang-kala hal sebegini banyak mengajar kita,”
ujarnya.

Dugaan hidup

Pemain gitar, Rosli Mohalim yang pernah dikejutkan dengan masalah angin ahmar beberapa tahun lalu dilihat sependapat dengan penyanyi tersebut.

Tidak menafikan sebuah kumpulan yang sudah bertapak lebih separuh abad pastinya tidak lekang dengan pelbagai rintangan dan dugaan.

Menyifatkan apa yang berlaku adalah asam garam kehidupan, pemain gitar berkelulusan Seni Halus dari kolej Akademi Nanyang, Singapura ini berhasrat untuk memberikan mengembalikan nostalgia peminat, apatah lagi setelah 19 tahun mereka tidak beraksi di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah kesihatan juga sudah bertambah baik sekarang ini walaupun tidaklah seratus peratus. Tetapi tidak bolehlah melompat dan lincah seperti usia 20-an dahulu. Sekarang dah masuk 70-an, kena perlahan sikitlah.

“Insya-Allah saya akan bawa semula bunyian Sweet Charity pada malam konsert nanti. Selain giat praktis, saya juga sentiasa amalkan senaman untuk pertingkatkan tahap kesihatan dan stamina. Perlu ada tenaga yang cukup untuk beraksi selama dua hingga ke tiga jam pada malam itu,” ujarnya tertawa.

Sokongan peminat

Penganjur utama konsert, Malaysia Ship Owner’s Association (MASA),melalui Pengurus Besarnya, Helmi Zaharudin berkata, tidak mustahil konsert Sweet Charity yang berlangsung pada 26 Januari nanti mendapat sokongan peminat kerana harga tiket yang ditawarkan amatlah berpatutan.

Yakin dengan jenama Sweet Charity yang gah dan dikenali, dia tidak teragak-agak meramalkan konsert tersebut bakal menempa sejarah tersendiri memandangkan kumpulan tersebut sudah menempa nama besar dalam industri hari ini.

“Jika kita lihat apa yang berlaku pada tahun 2011 lalu apabila stadium penuh dengan kebanjiran penonton untuk menyaksikan Sweet Charity dan Blus Gang.

“Jadi saya beranggapan untuk pentas Zepp yang hanya mempunyai kapasiti 2,500 penonton, pastinya bukan misi mustahil untuk Sweet Charity mengumpul peminat mereka,” katanya.

Kepada semua peminat Sweet Charity pastinya anda semua tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan persembahan hebat mereka.

Lagu-lagu berhantu mereka seperti, Zakiah, Sejuta wajah, Batu, Penunggu, Teratai dan Kamelia pastinya akan berkumandang dan mengundang nostalgia.

Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity merupakan sebuah produksi Rasa Karya, bersama Mewah Event Management sebagai rakan strategik, manakala ilassotickets bagi pengurusan jualan tiket.

Tiket-tiket berharga RM180 hingga RM15,000 (VIP Box) masih lagi boleh dibeli secara atas talian di laman sesawang www.Ilassotickets.com

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya