“Tidak perlu mencarut dalam lagu, mereka boleh faham,”
Demikian prinsip yang dipegang penyanyi rap Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail dan Farhan Alias ketika melangkah ke dunia hiburan tanah air.
Bagi mereka berdua, anak muda hari ini sudah matang dan mereka boleh memahami lirik tanpa ada unsur makian di dalamnya.
Oleh itu, pasangan penyanyi yang dikenali sebagai jenama Fariz Hazurin & Fhan itu meneruskan kolaborasi dalam buah tangan terbaharu bertajuk Subang.
Memandangkan masing-masing lahir dan membesar di Subang Jaya, mereka ingin memberikan homaj kepada bandar Subang yang penuh dengan kenangan.
“Kami berdua sudah bersahabat baik selama tujuh tahun juga membesar di Subang. Kami melihat sendiri pembangunan, tempat menarik, serta fesyen orang Subang yang berubah dari tahun ke tahun.
“Orang luar mungkin tidak tahu mengenai perkara itu. Jadi kami mahu semua orang kenal Subang melalui lagu ini.
“Kami harap lagu Subang ini boleh menjadi anthem untuk anak muda yang menjadikan Subang sebagai tempat lepak, tempat mencari rezeki atau tempat melalui pengalaman suka dan duka,” kata Fhan ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini.
Bagi Fariz yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang. Dia sengaja memilih platform muzik dengan genre hip hop sebagai salah satu cara mendekati anak muda.
“Tugas saya sebagai pemimpin kecil kena mendekati anak muda. Ini cara saya mendekati orang muda memandangkan genre ini dekat dengan mereka.
“Di Subang saya juga lepak dengan anak muda dan mengangkat suara mereka di dalam lagu ini.
“Oleh itu kami menjaga lirik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Saya sendiri ada lima orang anak, saya tidak mahu mereka mendengar lagu penuh carutan,” katanya.
Sengaja meletakkan nama Khairy Jamaluddin di dalam lirik, mereka mahu memancing anak muda untuk mengenali siapakah individu yang pernah terjun ke bidang politik.
“Betul, kami ada menyebut beberapa nama di dalam lirik.
“Kami mahu anak muda berfikir dan mencari siapakah nama yang kami maksudkan,” katanya.
Single Subang sudah dilancarkan di platform penstriman digital sejak 22 Disember lalu manakala video muzik lagu tersebut sudah boleh ditonton bermula 13 Januari di saluran Youtube Universal Music Malaysia.