Masih ada batas yang harus dijaga - Hun Haqeem - Utusan Malaysia

Masih ada batas yang harus dijaga – Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJUJURNYA, tidak mudah untuk mendapatkan pelakon lelaki kacak ini demi menampilkannya sebagai penghias muka hadapan Pancaindera minggu ini.

Berulang kali dipujuk untuk berbual bicara, berulang kali juga hati penulis ini ‘dipatahkan’ kerana satu hal yang menjadi tentangan lazim iaitu masa.

Demikianlah kehidupan seorang artis atau selebriti popular. Bukan mudah untuk menebak waktu yang tepat untuk mencipta ruang dan peluang.

Tetapi, satu hal yang kita semua tahu dan boleh saksikan, ini adalah saat, ruang dan peluang buat Hun Haqeem meneroka potensi luar biasa dirinya sebagai seorang anak seni, ketika namanya sedang memuncak kini.

Berbicara mengenai populariti, aktor berusia 25 tahun ini mengakui, jalan yang dilalui tentunya tidak mudah, namun tiada sebab untuk dirinya menjauh dari rasa syukur atas segala rezeki yang dikurniakan-Nya.

“Saya akui ia satu perjalanan yang mengambil masa dan saya bekerja keras untuk berada pada tahap ini. Tambahan pula, saya sedar pada era ini, banyak platform sama ada yang konvensional atau digital, yang boleh mencungkil wajah-wajah baharu dalam dunia seni.

“Tetapi, saya percaya dengan bakat yang Allah anugerahkan. Satu yang saya pegang, disiplin adalah amat penting. Pada masa yang sama, kena menjaga hubungan baik dengan semua pihak, termasuk media dan peminat.

“Ini kerana saya sedar, apa pun kejayaan yang saya perolehi hari ini tak akan berhasil tanpa sokongan semua,”katanya.

Bagaimanapun, umum tahu, ada juga kalangan artis meskipun baharu setahun jagung menempa populariti sudah terjebak dengan frasa ‘kejutan budaya’, mula lekas berasa ‘gayat’ tatkala berada di puncak sehingga hanyut dengan sifat sombong yang tidak akan membawa diri ke mana-mana.

Pertanyaan mengenai situasi itu dilayangkan juga kepada Hun. Mungkin bukan dirinya yang dimaksudkan, tetapi tidak dapat dinafikan, ada kalangan artis yang mudah lupa diri ketika diri sudah mula dikenali.

“Saya tidak boleh mengulas tentang rakan seperjuangan yang lain, mungkin mereka mempunyai sebab dan alasan mengapa mereka berkelakuan atau bertindak sedemikian (bersikap sombong).

“Secara peribadi, bagi saya, pengalaman menjadi seseorang yang dikenali adalah satu ‘humbling experience’.

“Saya tahu saya tidak akan berada di tahap ini tanpa sokongan yang kuat dari orang sekeliling. Bahkan, populariti bukan tiket untuk saya mendabik dada atau bersikap sombong.

“Sebaliknya saya selalu mengingatkan diri untuk membumi dan bersyukur dengan apa yang dikecapi hari ini,”katanya.

Pun begitu, kata anak kelahiran Kuching, Sarawak ini, dia sedar, seputar kehidupan sebagai anak seni tentunya tidak boleh lari daripada terus menjadi perhatian orang, menjadi bahan bualan ramai termasuk mereka yang gemar mencari salah dan silap dari segenap inci.

Meskipun dia mahu menjauh dari sikap sombong, ada ketika, manusia lain mungkin lupa bahawa dia juga individu biasa yang tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Di sinilah apa yang saya boleh katakan apa itu harga yang harus dibayar dengan populariti itu.
Saya akui ketika mula-mula mencipta nama, saya harus beradaptasi dengan situasi di mana ruang privasi bukan 100 peratus milik saya lagi.

“Saya harus menerima apa saja yang dilakukan, apa saja yang saya katakan, ia boleh memberi kesan atau implikasi.

“Saya juga menyedari tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak tetapi saya berusaha sedaya-upaya untuk melakukan semampunya dalam kapasiti saya sebagai anak seni,”katanya.

Aktor cuma pikul tanggungjawab

Tentunya ramai sedang menunggu aktor ini membuka mulut mengenai aksi ciuman yang dilakukannya dalam siri W : Two Worlds yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Namun, maaf. Pelakon ini awal-awal lagi sudah memaklumkan bahawa dia enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Boleh ditebak, mungkin pelakon ini memilih untuk menyimpan butir kata-katanya mengenai isu itu kerana enggan ia menjadi satu isu yang dipanjang-panjangkan sehingga kemudiannya menjadi barah.

Lalu, jalan selamat adalah untuk tidak memberi sebarang jawapan mengenainya meskipun sedar ramai sedang tidak berpuas hati dengan babak tersebut di dalam drama saluran penstriman Viu itu.

Pun begitu, apa yang boleh dikatakan, sebagai seorang pelakon, kata Hun, sekiranya diberi tugas atau tanggungjawab untuk menggalas sesebuah watak, dia sebolehnya akan mencuba memberikan komitmen sebaiknya mengikut kemahuan pengarah.

“Saya sedar sebagai pelakon, sudah menjadi tanggungjawab untuk melakukan apa yang dikehendaki oleh sesuatu watak, Tetapi, saya percaya kita ada masih ada batas yang harus dijaga.

“Saya selalu akan mengambil semua respons daripada pelbagai pihak dan memandangnya dari sudut yang positif untuk memperbaiki segala kelemahan pada masa akan datang,”katanya.

Mengajaknya berbicara mengenai kualiti naskah filem dan drama tempatan, Hun secara peribadi menyifatkan pengkarya tanah air kini ramai yang berdaya kreatif dalam menghasilkan naskah yang mempunyai kualiti setaraf pengkarya luar negara.

Pun begitu, kata Hun, kita tentunya tidak mengikut cara dan budaya luar secara total kerana masih menghormati adab dan sensitiviti orang timur.

“Walaupun pengkarya tempatan mungkin tidak sebebas pengkarya luar, tapi saya tidak melihat batas itu sebagai satu halangan. Malah ia menjadi satu dorongan atau motivasi untuk kita menjadi lebih kreatif dan berfikir di luar kotak.

“Malah, saya juga percaya dengan bakat dan kebolehan pengkarya tempatan untuk membawa industri kita ke tahap yang lebih tinggi. Apatah lagi kita di Malaysia mempunyai banyak kisah yang menarik untuk diceritakan,”katanya.

Kahwin?

Dalam pada itu, sempat mengusik dirinya mengenai hasrat menamatkan zaman bujang, Hun bagaimanapun tidak cepat melatah.

Sengaja juga menduga sekiranya dia bimbang akan kehilangan peminat yang ramai jika sudah berumah tangga kelak, Hun kemudiannya hanya memberikan jawapan santai.

“Saya merasakan ia adalah satu proses yang normal dalam kehidupan. Sudah tentu saya pun teringin untuk berumahtangga satu hari nanti, Insya-Allah.

“Berkenaan takut hilang peminat atau tidak itu, bagi saya mudah, saya percaya peminat kita sudah cukup matang. Mereka akan terus menyokong kerjaya seseorang tanpa mengambil status sebagai faktor.

“Tetapi,buat masa sekarang saya tak ada berita gembira (kahwin) itu lagi,”katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya