5 album penuh terbaik warnai 2023 - Utusan Malaysia

5 album penuh terbaik warnai 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2023 benar-benar meriah dengan penghasilan album penuh dalam bentuk digital dan fizikal pelbagai genre. Industri muzik Malaysia yang sebelum ini suram dengan penghasilan single demi single sahaja, kini seperti ‘hidup semula’, apabila ramai nama besar dan pendatang baharu giat menerbitkan album sebagai pelaburan masa hadapan.
Saya tidak menafikan, ramai penyanyi selesa mengeluarkan single atau dalam format easy play (EP) sahaja, mengambil kira faktor permintaan dan bekalan serta kos yang mengehadkan penerbitan album.
Keadaan mungkin sudah tidak sama di era 90-an dan 2000-an, yang mana album cakera padat boleh dicetak sehingga puluhan atau ratusan ribu unit. Namun, platform sudah berubah, album fizikal bukan lagi teras perniagaan muzik dengan kemunculan pelbagai saluran penstriman muzik seperti Spotify.
Pun begitu, ini tidak bermakna album fizikal tidak lagi relevan dalam pasaran semasa. Selagi ada penggemar album cakera padat, selagi itulah ruang untuk pemasaran album fizikal ada, meskipun ia terpaksa bergerak dalam skala lebih kecil.
Mingguan Malaysia menyenaraikan lima album penuh pilihan terbaik dihasilkan para pengkarya muzik sepanjang tahun ini. Mendepani cabaran bermuzik kini, besarlah harapan saya album dihasilkan bukan sekadar album bagi mengisi kelompongan portfolio seseorang penyanyi, khususnya yang bergelar ‘one hit wonder’.
Sebaliknya, bagaimana standard muzik tempatan itu diangkat darjatnya, sekaligus menjadi pencetus muzik sepanjang tahun ini? Saya berharap, untuk 2024, pengkarya muzik menghasilkan lebih banyak lagi album berkualiti sekaligus merancakkan ekosistem muzik yang berada dalam keadaan tidak menentu.

SITISM
Datuk Seri Siti Nurhaliza

Sitism, yang dilancar pada Jun lalu bergerak sebagai album pop 12 lagu lengkap dengan kemasan muzik cukup mahal. Pemilihan Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi) dan Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) sebagai teraju album ini adalah langkah tepat membawa hala tuju Sitism untuk beberapa tempoh akan datang.
Bagaimanapun, saya pernah mengkritik album ini kerana kurangnya kreativiti penulisan lirik tidak seperti belasan album terdahulu antaranya Aku Cinta Padamu, Adiwarna, Pancawarna dan Safa.
Trek pilihan: Romansa Kita, Menjaga Cintamu, Menyapa Dunia, Sehebat Matahari, Magis, Nadi.

BELAGU II
Dayang Nurfaizah

Sempurna. Itu kata sifat penulis boleh gambarkan untuk keseluruhan album ini. Belagu II menyusuli kejayaan Belagu (2021) menerusi lagu saduran Tudung Periuk, Kenang Daku Dalam Doamu, Gurindam Jiwa dan Tari Tualang Tiga.
Namun, Belagu II sebenarnya lebih memberi impak besar dalam diskografi Melayu klasik Dayang dengan kejayaan Umpan Jinak Di Air Tenang, Nak Dara Rindu, Menanti Di Ambang Syurga dan Ketipang Payung.
Dua album Melayu klasik ini rasanya sudah cukup untuk Dayang memuaskan dirinya merakamkan lagu-lagu Melayu lama. Kini, tiba masa dia kembali pada akarnya iaitu pop dan balada. Kali terakhir Dayang tampil dengan album pop penuh Dayang Nurfaizah (2017) dan pendengar sudah terlalu dahagakan naskhah-naskhah baharunya.
Trek Pilihan: Menanti Di Ambang Syurga, Nak Dara Rindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Umpan Jinak Di Air Tenang, Mengapa Dirindu.

IMAJI
Aina Abdul

Tidak ramai penyanyi yang menggunakan alternatif independen (tidak bernaung di bawah syarikat rakaman dan pengurusan artis) berjaya menembusi ruang pasaran muzik perdana, kecuali Aina Abdul sehingga lahirnya album debut, Imaji. Album memuatkan 14 trek lagu ini terhasil dalam rentak moden dan berevolusi.
Saya amat tertarik dengan lagu Puas Sudah, mengisahkan tentang keretakan rumah tangga sehingga memberi kesan kepada anak-anak menerusi liriknya: “Semua derita sudah tercipta, Yang tinggal hanya, Sebuah kenangan, Puas sudah aku berdiam sahaja, Namun hati ini perlu teguh untuk cahaya mataku.”
Apa kurangnya album ini? Kesemuanya terhasil dalam nada yang tinggi. Tiada variasi kosa kata penulisan lirik, terlalu banyak pengulangan dan bunyinya berlegar dalam ‘dunia’ Aina sahaja. Sedangkan ramai komposer dan penulis di luar sana boleh mengembangkan diskografinya dengan olahan yang pelbagai.
Trek pilihan: Puas Sudah, Bilang, Jangan Mati Rasa Itu, Sesal, Satu Rasa, Imaji, Ini Bukan Cinta.

AMIR MASDI
Amir Masdi

Sebagai penyanyi yang belum sampai usia sedekadnya, album pop rock dan balada memetik namanya sendiri, Amir Masdi, adalah percubaan berani dan wajar diberi penghargaan. Meskipun separuh lagu ini sudah dirilis lebih awal, manakala selebihnya adalah lagu baharu, namun, ia layak menjadi contoh untuk penyanyi-penyanyi baharu dalam menghasilkan album dengan cara tersendiri.
Penyanyi kegilaan ramai wanita ini juga aktif mempromosi album perdananya menerusi siri jelajah di beberapa lokasi di seluruh negara. Sedar atau tidak, promosi mega ‘turun padang’ seperti ini sudah jarang dilihat seperti yang dilakukan pengkarya muzik dua dekad lalu.
Trek pilihan: Berhenti Mencinta, Aura Kejora, Kau Sakiti, Puas, Asmara.

AURA
Ernie Zakri

Aura diterbitkan 12 tahun selepas album debut Sinaran (2011) ketika Ernie bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Music. Saya tertarik dengan konsep positivisme dan feminisme yang ditonjolkan dalam Aura, sehingga terhasilnya Masing-Masing (Ade Govinda/Nabila V) yang mengikat penulis untuk sekali pendengaran.
Meskipun lagu-lagunya kedengaran lebih ‘tone down’ berbanding deretan single seperti Ku Bersuara, Gundah, Misteri dan Korban, namun Aura bergerak lebih matang dan tidak taasub dengan nada-nada tinggi. Trek pilihan: Masing-Masing, Gelita, Tercipta Sempurna, Satu Cinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya