Wacana kahwin muda memualkan dalam Imam Tanpa Makmum - Utusan Malaysia

Wacana kahwin muda memualkan dalam Imam Tanpa Makmum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA filem Indonesia sedang dibanjiri dengan naskah seram atau bertemakan autobiografi sejarah, kehadiran filem romantis, Imam Tanpa Makmum yang mengangkat isu kahwin muda boleh dianggap sebagai jeda, atau warna baru dalam deretan filem negara itu.

Filem itu dihasilkan oleh pengarah muda anak jati Indonesia, Syakir Daulay yang baru berusia 21 tahun. Imam Tanpa Makmum adalah percubaan Syakir mengupas wacana perihal perkahwinan dan bagaimana seseorang pada usia muda boleh menggalas tanggungjawab besar.

Imam Tanpa Makmum dibuka dengan seorang lelaki bernama Imam berbual bersama kawan-kawannya yang sudah kahwin muda dan mempunyai anak di sebuah Bachelorette Party. Masing-masing bertanya bilakah Imam akan berkahwin. Bukan itu sahaja, ibu dan pak ciknya juga mendesak perkara sama.

Ketika sebuah filem membahaskan sebuah wacana, penulis skrip harus teliti ketika menukang sesuatu babak dan dialog agar karakter yang ditampilkan tidak dilihat keras atau terasa seperti sedang berceramah. Malangnya, itulah dirasakan saya semasa menonton filem ini di act pertama.

Ada banyak babak yang sebenarnya tidak perlu panjang, namun melewah-lewah kerana karakter Imam ingin membahas atau mengutarakan pandangannya tentang perkahwinan yang sangat janggal dan kadangkala keterlaluan.

Mujurlah kehadiran karakter Naira lakonan Vonny Felicia yang lebih menyerlah di act kedua mengendurkan sedikit ketegangan filem ini. Namun ketika cinta Imam kepada Naira semakin besar, Imam pula berjanji untuk berkahwin dengan perempuan lain bernama Rayisa. Wacana yang dibawa menjadi lebih aneh dan menggelirukan.

Penulis berpendapat, Imam Tanpa Makmum tidak berlaku adil ketika membawakan karakter Rayisa yang disifatkan sebagai seorang lulusan sekolah agama namun terhegeh-hegeh mengejar cinta seorang lelaki.

Bahkan, ada satu babak yang mana Rayisa reda dan menerima takdir sekiranya Imam mencintai perempuan lain asalkan dia dapat berkahwin dengannya. Saya berpendapat ini sebuah konsep pemikiran lemah dan gagal menampilkan ‘kahwin muda’ dalam sebuah wacana yang kritis.

Unsur budaya selamatkan filem

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada Syakir kerana berjaya membawakan kekayaan budaya setempat dalam naskahnya sekali gus menjadikan filem ini mempunyai nilai dan identitinya tersendiri.

Dari tarian Jaipong ke joget Melayu sehingga ala-ala babak Bollywood semuanya mempesonakan. Imam Tanpa Makmum mungkin filem yang lemah dari pengagihan plot dan dialog. Namun secara keseluruhan, ia tidak teruk.

Syakir masih muda dan mempunyai banyak ruang untuk belajar dan bekerjasama dengan penulis skrip untuk menghasilkan plot dan wacana yang lebih menggugah. Saya percaya, dunia lakon layar negara itu akan lebih menyerlah beberapa tahun lagi dengan kehadiran Syakir di dalamnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya