REMI Bendali mungkin nama yang kedengaran asing masyarakat kita, tetapi hakikatnya penyanyi kelahiran Lebanon ini adalah penyanyi asal lagu berbahasa Arab, Atouna Ettofouli, yang tular di media sosial pada masa kini.
Remi dilahirkan di Tripoli pada 4 Julai 1979. Penyanyi ini mewarisi darah seni daripada kedua ibu bapanya, Rene Bendali dan Hoda Sidawi.
Bakatnya dikenal pasti seawal dia berusia tiga tahun. Bahkan Remi pada usia kanak-kanak telah merakamkan lagu pertamanya Imani Ahla Iman. Lagu tersebut didedikasikan untuk tanah kelahirannya yang musnah akibat perang.
Kebolehan Remi semakin menyerlah apabila penyanyi ini diberi kepercayaan untuk merakamkan lagu untuk kanak-kanak sebelum merakamkan album pada usia muda.
Remi terkenal di seluruh dunia Arab ekoran populariti lagu Atouna Ettofouli. Malah, persembahan pertamanya menyanyikan lagu itu adalah ketika dia menghadiri acara rasmi yang berlangsung di kediaman Presiden Lebanon, Amine Gemayel pada awal 80-an.
Pada 1985, Remi berjinak-jinak kepada dunia lakonan menerusi filem Amanie Tahta Kaws Kozah.
Kerjaya nyanyiannya tidak berhenti, malah terus berkembang di usia remajanya. Remi terbang ke banyak negara seperti Jordan, Syria, Kuwait, Qatar, Perancis, Amerika Syarikat dan Kanada bagi persembahan untuk kanak-kanak dan acara kemanusiaan.
Perang yang tercetus pada tahun 1989 memaksa Remi dan keluarganya berindah dan tinggal di Montreal, Kanada selama empat tahun.
Dalam tempoh tersebut, dia memberi tumpuan kepada pelajaran disamping menyanyi dan merakam lagu. Selepas perang tamat, Remi pulang ke Lebanon dan aktif membuat persembahan di beberapa negara.
Penyanyi ini selepas memutuskan untuk berehat panjang daripada merakamkan sebarang lagu. Selepas 17 tahun, Remi tampil dengan sebuah album, Ma Nseet yang diterbitkan pada tahun 2015.
Album tersebut mengandungi sembilan lagu yang dihasilkan sendiri oleh Remi, manakala lirik oleh penulis-penulis berbakat seperti Camil Salameh, Antoine Chamoun, Mohamad Ali El Dika, Wissam Chidiak dan Soumaya Mardakouch.
Album tersebut simbolik kepada Remi yang pada ketika itu bukan lagi seorang kanak-kanak, sebaliknya wanita yang matang.