Aaron Aziz bukan sekadar 'Malek'

Aaron Aziz bukan sekadar ‘Malek’

aaron aziz
Aaron Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BAGAIMANA dengan keadaan kesihatan?”

Pertanyaan bersahaja itu diajukan sebagai pemecah keheningan suasana antara kami setelah sesi memotret ‘Hero Malaya’ ini selesai disudahkan.

Tidak banyak hal yang cerewet tentang lelaki bernama Datuk Aaron Aziz ini. Cukup mudah dan tenang berkerjasama dengannya, sekali gus menyerlahkan lagi rasa hormat terhadap aktor berprolifik ini.

“Alhamdulillah, saya dah sihat. Sebab itu jugalah saya berjaya selesaikan tugasan untuk sebuah filem aksi baru-baru ini.

“Sudah boleh lakukan gerakan lasak, tiada masalah,”kata Aaron sambil membetulkan kedudukannya di sofa dan bersedia untuk meneruskan temu bual ini.

Jawapan itu meskipun ringkas, namun berupaya menerbitkan rasa kagum terhadap aktor berusia 47 tahun ini terutama apabila mengenang kembali pengorbanan yang telah dilakukan atas nama anak seni.

Bertahun-tahun menanggung sakit yang lama gara-gara masalah sarat di bahagian tulang belakang, Aaron juga pada masa yang sama pernah sanggup mengenepikan rasa sakit yang dialami untuk bekerja, semata-mata kerana mahu melihat anak-anaknya dapat meneruskan pengajian ke menara gading.

Pada masa yang sama, Aaron terpaksa pula menahan kutukan orang yang melabel dirinya sebagai hero tua, selalu sakit dan gemuk hanya kerana keadaanya dianggap sudah tidak lagi secergas dan sehebat dahulu.

Kecaman orang? Pelakon ini lebih selesa untuk tidak mengambil pusing dengan kata-kata manusia lain memandangkan keutamaan baginya adalah untuk meneruskan kerja demi menyara keluarga tercinta.

“Saya pula bukan jenis yang boleh duduk berdiam lama. Walaupun doktor suruh berehat di rumah sewaktu sakit sebelum ini.

“Tak apa, yang penting selepas melakukan rutin senaman dengan aktif, sakit saraf tulang belakang saya pun sudah membaik. Itu jua atas nasihat doktor. Alhamdulillah, sekarang pun berat badan dah menurun sebanyak 11 kilogram.

“Rutin senaman yang dilakukan itu secara tak langsung membantu membaikkan semula sakit yang dialami,”katanya.

Bagaimanapun, mengajaknya untuk berbual mengenai pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini, pelakon kelahiran Singapura ini lebih senang memilih untuk enggan lagi membuka luka lama.

Baginya, cukuplah kesemua luahan telah dibuat sebelum ini. Untuk membuka kisah itu lagi, baginya, hanya akan mengeruhkan suasana.

Malek vs Tuan Ihsan

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Aaron masih belum pudar auranya dalam bidang seni hiburan ini. Pendek kata, berikanlah apa sahaja watak, akan dilakukan dengan sehabis baik olehnya, selagi hayat dikandung badan.

Begitulah komitmen yang diberikan oleh Aaron atas dasar cintanya terhadap dunia lakonan.

Pun begitu, satu perkara yang tidak boleh disangkal, watak Malek yang dilakonkan olehnya dalam filem berjudul KL Gangster (2011) seakan begitu sukar dikikis oleh peminat dan pengikutnya.

Dek kuatnya penangan ‘Malek’, seorang lelaki hebat dan berpengaruh dalam dunia gangster di kota metropolitan Kuala Lumpur, Aaron hampir dilupakan bahawa dia juga punyai sisi romantis sebagai lelaki yang mampu mencairkan hati para wanita.

“Tak dinafikan, watak Malek itu melonjakkan lagi nama saya dalam industri seni lakonan hingga kemudiannnya saya diberi banyak lagi peranan gangster dan aksi lasak. Begitu melekatnya Malek di ingatan semua penonton, sampaikan setiap kali saya muncul, orang sebut ‘Malek is Back’.

“Semua kerana pengaruh yang kuat dalam filem tersebut. Itu di kalangan peminat lelaki. Kalau peminat daripada golongan wanita pula, watak saya yang paling rata-ratanya ingati adalah Tuan Ihsan dalam drama Isteri Tuan Ihsan.

“Orang lelaki suka tengok saya berlakon dalam filem aksi lasak, manakala golongan wanita pula menerusi naskhah-naskhah romantis. Bagi saya, kedua-duanya membawa tuah sebab dua sasaran penonton yang berbeza,”katanya.

Mengakui bahawa tidak mudah membuang sesetengah watak yang telah dilakonkan daripada ingatan penonton, itu bagi Aaron adalah satu cabaran buatnya.

Pun begitu, kerana enggan peminat melupakan dirinya dari sisi watak romantis, Aaron mencuba mengembalikan semula kegemilangan elemen tersebut menerusi sebuah filem berjudul Sayu Yang Syukur (SYS).

“Orang lupa filem cinta juga adalah makanan saya. Namun, jika dilihat koleksi filem-filem tempatan kita kebanyakannya kini terarah kepada filem-filem aksi seperti Polis Evo dan Paskal. tak dinafikan kesemua karya-karya itu mampu meraih keuntungan juta berjuta ringgit.

“Mungkin disebabkan itu maka banyak penerbit cenderung memilih untuk menghasilkan filem bercorak aksi. Saya fikir mengapa tidak keluarkan filem bercorak romantis pula? Filem begini pun boleh menarik perhatian penonton.

“Saya fikir orang akan rindu filem begini sebab dapat menyentuh hati penonton selain sudah lama tidak ada naskah begini di panggung. Saya sendiri pun sudah lama tidak membawakan watak seperti ini,” katanya.

Tugas di kerusi pengarah

Mengulas lanjut mengenai filem SYS, Aaron mengakui ini merupakan naskah terbaharu yang menyaksikan dirinya duduk di kerusi pengarah.

Menurut Aaron, ini merupakan filem kedua yang menyaksikan dirinya bergelar pengarah selepas kali terakhir berbuat demikian menerusi filem berjudul Romeo Kota.

Bagaimanapun, kata Aaron, peluang untuk mengarah tidak hadir secara ‘first hand’. Sebaliknya pelakon ini berkata, dia ditawarkan sebagai pelakon utama terlebih dahulu sebelum kemudiannya diminta untuk mengarahkan filem tersebut.

“Kami jalani penggambaran filem ini pada tahun 2015. Saya masih ingat lagi bagaimana, Penerbit Eksekutif, Allahyarham Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed atau Mohd Atlas pada awalnya mahu saya berlakon sahaja dalam filem SYS.

“Namun, arwah kemudiannya tawarkan pula untuk saya mengarahkan filem ini. Saya fikir ia satu peluang yang tak harus dilepaskan memandangkan saya tak pernah mengarahkan sebuah filem cinta. Mengapa tidak cuba pula bukan?

“Pada masa yang sama saya juga melakonkan watak utama. Dari segi cabaran sudah tentu ada kerana menerusi Romeo Kota ada banyak babak aksi tetapi untuk filem ini fokusnya memang drama dan percintaan,”katanya.

Sebagai pengarah dan pelakon, Aaron memberi jaminan bahawa filem yang digarap olehnya ini tidak sama dengan mana-mana naskah cinta sedia ada kerana ia disulam dengan banyak babak air mata yang mampu meruntun jiwa penonton.

“Saya yakin setakat ini masih belum ada filem cinta dengan pengisiannya seperti ini. Selepas Ombak Rindu, sampai sekarang cuba ingat balik apa filem cinta yang betul-betul meletup?

“Jadi saya percaya industri perfileman kita sudah boleh beralih dari fasa filem aksi, komedi, seram untuk beri laluan pula kepada filem genre cinta.

“Usah khuatir, dalam filem SYS tak ada babak-babak macam dalam drama cinta yang biasa anda tonton. Tiada adegan bak anak Datuk atau Tan Sri pemilik Megah Holdings, saya dah malas nak buat cerita begitu,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kini dirinya sedang memasang persiapan untuk beralih arah sepenuhnya kepada bidang pengarahan, kata Aaron, perkara itu sememangnya ada dalam perancangan.

Menurutnya, boleh dikatakan, jiwanya sudah terarah kepada bidang pengarahan dan disebabkan itu dia mencuba berjinak-jinak menghasilkan naskah filem dengan idea sendiri.

“Tetapi saya tidaklah mengharapkan untuk menjadi seorang pengarah yang terkenal. ini kerana saya sedar diri masih jauh perjalanan untuk benar-benar berjaya sebagai seorang pengarah di negara ini.

“Namun jika diberi peluang dan kepercayaan oleh mana-mana penerbit untuk saya duduk di kerusi pengarah, saya akan cuba memberi komitmen seratus peratus.

“Pada masa yang sama saya sedar, penonton pasti akan membuat perbandingan terhadap hasil kerja saya dengan pengarah lain. Saya sudah bersedia untuk orang kutuk atau kritik hasil kerja saya.

“Orang kutuk itu normal. Kalau saya pun boleh kritik filem orang lain, mengapa saya nak tolak hak orang untuk memberikan pandangan terhadap kerja pengarahan saya.

“Saya sendiri pun kalau tengok filem, misalnya Too Fast Too Furious ada babak yang merepek, saya kritik. Cuma apa yang saya harapkan agar penonton dan peminat filem tempatan beli dulu tiket dan berikan sokongan dahulu,”katanya.

Diterbitkan syarikat Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd, SYS turut membariskan pelakon hebat seperti Nora Danish, Arja Lee, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Khafairi dan Raja Emma.

Filem arahan Aaron ini akan mula menemui penonton di seluruh pawagam pada 28 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya