KEBELAKANGAN ini, dapat dilihat, industri seni hiburan meriah diwarnai dengan kehadiran atlet-atlet muda yang cuba meneroka bidang lakonan sebagai satu daripada cabang kerjaya baharu.
Dari satu sudut, bagus juga kerana kehadiran mereka ini menyuntik persaingan yang sihat dalam industri apalagi semua tahu, dunia lakonan tempatan seakan ketandusan dengan wajah-wajah baharu, khususnya pelakon lelaki.
Mengakui perkara itu, pendatang baharu, Sharul Aimy, 22, bagaimanapun tidak meletakkan sasaran untuk menjadikan bidang lakonan sebagai satu kerjaya hakiki.
Kata atlet gimnastik artistik negara ini, jauh di sudut hatinya, sukar untuk dirinya mengikis hasrat menguburkan minat dalam bidang sukan yang seakan sudah sebati dengan jiwanya.
“Mungkin ini adalah apa yang saya fikirkan sekarang.Bagi saya, untuk hanya memfokuskan dunia lakonan sebagai cabang kerjaya yang serius, belum masanya lagi. Mungkin sesekali kelibat saya ada di kaca televisyen, untuk drama atau telefilem, saya okey.
“Ini kerana saya belum benar-benar bersedia untuk meninggalkan dunia sukan. Ini adalah minat dan jiwa saya. Pun begitu, saya tahu, akan ada satu masa nanti, saya terpaksa melepaskan minat ini untuk beralih kepada kerjaya baharu.
“Terus-terang, saya sendiri pun tak tahu sampai bila akan bergelar atlet gimnastik. Jika suatu hari nanti khidmat sebagai atlet tak lagi diperlukan, saya rasa tak salah pun jika saya jadikan minat ini dengan membantu pelapis baharu dan bergelar seorang jurulatih,”katanya.
Pada masa yang sama, kata atlet kelahiran Terengganu ini, dia mengakui dihimpit banyak tawaran lakonan daripada penerbit dan pengarah tempatan.
Meskipun terasa ralat, kata jejaka dengan nama sebenar Muhammad Sharul Aimy Kamarul ini, ada beberapa tawaran tersebut yang terpaksa ditolak dengan cara baik kerana waktu yang tidak bersesuaian.
“Tak dinafikan, ada banyak juga tawaran lakonan yang saya terima. Terima kasih buat mereka yang meletakkan kepercayaan dan ingin memberi peluang kepada saya meneroka lebih banyak dalam bidang seni.
“Tetapi, maaf juga kerana tak semua boleh ‘sapu’. Saya kena pastikan tawaran yang datang itu tidak mengganggu jadual latihan sukan. Kalau tak kacau jadual, saya okey.
“Biasanya, kalau jadual penggambaran pada hujung minggu atau waktu malam, saya boleh buat. Itu pun kena tengok juga masa terluang,”katanya.
Selain itu, kongsi atlet yang baharu sahaja menggondol pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini, dia sedar dunia seni hiburan juga tidak mudah untuk dikendalikan meskipun dilimpahi dengan bonus populariti dan glamor.
Berikutan itu, kata Sharul, dia yakin perjalanannya masih jauh dan dia perlu menggilap lagi bakat dan kebolehannya dalam bidang lakonan supaya tidak dianggap sebagai pelakon yang ‘kayu’ atau kekok ketika menggalas tanggungjawab di set penggambaran.
“Dengar macam senang nak berlakon bukan? Tetapi percayalah ia tidak semudah itu. Apatah lagi jika kita bukannya ada latar belakang sebagai pelajar seni lakon dan sebagainya.
“Berdasarkan pengalaman sendiri sewaktu terbabit dengan drama produksi Viu yang berjudul Journal Sara-Haeyo, saya akui, tak mudah.
“Walaupun babak saya sikit sahaja, tetapi ambil masa dua hari juga untuk saya lakukan watak yang diberikan.
“Jadi, saya sendiri sedar, perlu banyak usaha lagi untuk memperbaiki kelemahan dalam bidang lakonan. Insya-Allah, mungkin jika saya benar-benar bersedia untuk menjadikan bidang seni sebagai fokus kerjaya, saya akan lakukan lebih baik lagi,”katanya.
Untuk info, Sharul akan menyertai empat kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik berturut-turut iaitu di Kaherah (Mesir), Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan) bermula Januari hingga Mac depan bagi memburu slot ke temasya sukan Olimpik Paris 2024.