MEMPUNYAI bakat dan masa depan cerah dalam dunia seni, anak muda, Nadhir Nasar bagaimanapun tidak dapat lari daripada persepsi segelintir pihak yang melihat dia sebagai pelakon ‘method’.
Dia digambarkan sebagai seorang yang berjiwa deep dan tidak akan menerima tawaran sekiranya sesebuah naskhah itu terlalu cheesy, cringe atau tidak ‘besar’. Itu tanggapan segelintir pihak.
Malah, ada juga beberapa pihak yang melabelkan pelakon berusia 27 tahun itu sebagai terlalu demand walhal baru setahun jagung dalam industri. Benarkah semua dakwaan dan tanggapan tersebut? Jawablah mendapatkan Nadhir!
J: Ramai juga yang terkejut apabila Nadhir menerima tawaran berlakon dalam drama My Famous Ex Boyfriend. Tertanya-tanya juga kenapa Nadhir terima watak Jamie itu? Kononnya terlalu cheesylah untuk Nadhir.
N: Watak Jamie sangat berbeza dengan diri saya sendiri. Jami ini dapat gelaran suami dari neraka. Kenapa? Sebab itu kena tengok. Saya juga sudah bekerja dengan pengarah, Hadith Omar. Senang.
Ini juga satu naskhah yang saya fikir apa juga watak yang diberikan saya perlu lunaskan dengan ikhlas dan sebaiknya. Kru dan pelakon-pelakon juga sangat positif serta memudahkan.
J: Mungkin Nadhir sendiri pernah mendengar dakwaan atau persepsi segelintir pihak yang menganggap Nadhir sebagai pelakon muda yang high demand? Memilih naskhah tertentu sahaja? Komen?
N: Mungkin pernah tetapi apa yang saya boleh katakan, untuk melabel saya sebagai seorang pelakon yang hanya mahukan naskhah deep dan berat itu tidak adil sama sekali.
Saya sebagai pelakon pun ada keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu dan berbeza. Tidak hanya mahu selesa dalam satu zon sahaja. Banyak benda dan ilmu yang saya boleh teroka dalam dunia seni ini.
J: Lantas apa kriteria utama sesebuah naskhah yang menjadi pilihan Nadhir sendiri?
N: Saya juga melalui proses casting dan membawa skrip sama seperti pelakon-pelakon lain. Semestinya sebelum menerima sesebuah tawaran, saya perlu belajar keperluan dan siapa watak tersebut.
Saya akan tanya, betulkah watak itu untuk saya? Sebab pengarah, penerbit dan penulis skrip sudah mempunyai bayangan siapa pelakon yang sesuai dengan watak yang ditawarkan. Saya mahu memenuhi bayangan itu.
Kalau saya ini memilih watak, naskhah, tidak adil untuk saya, peminat dan karier sendiri.
J: Baru-baru ini, ada yang mendakwa juga Nadhir dan rakan pelakon, Qistina Karim rapat di set penggambaran. Sehingga ada yang cakap drama cinta lokasi sudah bermula. Betul ke?
N: Mana ada, saya ini berbaik dengan semua orang. Cinta lokasi ini bagi saya tidak. Saya mahu menjadi pelakon yang hebat meminjam rasa untuk sesebuah watak. Tetapi tidak membawa perasaan itu hingga ke luar set.
Ada yang selesa dengan cinta lokasi, tetapi tidak untuk saya. Walaupun mungkin ada yang mahu tahu kisah peribadi saya, lebih untuk kita simpan sendiri sahaja. Setiap orang ada kisah sendiri.
J: Adakah itu membawa maksud Nadhir sedang bersama seseorang sekarang?
N: Macam saya cakap, peribadi kekal privasi. Saya ini membosankan tau. Sebab itu saya suka jadi pelakon, boleh bawa pelbagai watak!