DIUJI masalah kesihatan,penyanyi bertaraf legenda, Datuk M. Daud Kilau terpaksa menampung kos yang tinggi untuk membiayai keperluan perubatan dan rawatan hospital.
Kesukaran itu dikongsikan beliau saat dihubungi untuk mendapatkan perkembangan tentang keadaan kesihatannya yang terkini.
Katanya, dia bersyukur kerana dalam kesempitan, tampil insan-insan prihatin yang sudi menghulurkan bantuan untuk meringankan beban.
“Sekarang saya terlantar atas katil, tak boleh bangun. Melunjurkan kaki pun tak mampu.
“Tapi saya gembira, ada peminat dan rakan artis yang sudi datang menziarahi saya. Antaranya. Zaiton Sameon, Datuk DJ Dave, Datuk Fernandez, Datuk Aznil Haji Nawawi dan ramai lagi.
“DJ Dave ada menghulurkan bantuan, beri sedikit kelegaan. Begitu juga kerajaan, ada membantu.Tapi kos yang saya tanggung untuk perubatan dan keperluan lain masih tinggi iaitu RM2,000 sebulan. Saya berdoa Allah permudahkan segalanya,” katanya.
Pemilik nama sebenar Muhammad Daud Kilau itu berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.
Penyanyi berusia 85 tahun itu pada Mei lalu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan gara-gara masalah sesak nafas.
Muhammad Daud mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio Singapura pada 1968.
Bertitik tolak kemenangan itu, penyanyi yang popular dengan lagu Cek Mek Molek itu berpeluang menjadi artis rakaman,menghasilkan pelbagai album berkonsepkan langgam, asli dan dangdut.
Beliau pada 1985 pernah menjuarai kategori asli dalam Pesta Dendang Rakyat. Jasa dan sumbangannya kepada dunia seni tempatan terbalas apabila beliau dikurniakan darjah DatukPaduka Mahkota Perak pada 1991.
RINDU TAK TERUBAT
“Memang saya rindu nak naik pentas, tapi sudah tiada harapan lagi.” Itu jawapan beliau apabila ditanya masihkah dia mahu kembali menghiburkan peminatnya.
Muhammad Daud mengakui kerinduan itu tidak pernah hilang apatah lagi beliau telah menghiburkan masyarakat Malaysia sejak berpuluh tahun lalu.
“Apa pun semua atas kuasa Allah,” jawabnya pendek.
Beliau bagaimanapun, bersyukur kerana dikurniakan peminat yang prihatin dan sanggup datang jauh untuk menziarahinya.
Disebabkan itu, meskipun kesihatan tidak mengizinkan, beliau tetap mengalu-alukan dan
terbuka menerima peminat yang datang melawat.
“Ramai peminat datang, ada yang datang menaiki lima bas. Begitu juga yang menaiki motosikal
berkuasa tinggi. Yang datang Insya-Allah saya santuni, hidangkan apa yang termampu.
“Ada juga yang rindu dengar saya menyanyi, jadi mereka minta saya nyanyikan sedikit lagu Cek Mek Molek. Saya lunaskan permintaan mereka,ikut kemampuan, agar mereka terhibur,” katanya.
PINJAMKAN BAJU UNTUK PAMERAN
Antara perkara yang paling diingati peminat tentang Muhammad Daud adalah koleksi pakaian berlabucinya yang sentiasa dipertontonkan penyanyi ini sewaktu membuat persembahan.
Katanya, baju-baju tersebut kemas tersimpan dan adakalanya dipinjamkan untuk dipamerkan
kepada umum.
“Ada berpuluh pasang semuanya, ada yang berusia lebih empat dekad.
Semuanya masih elok dalam simpanan saya. Sebelum ini saya pinjamkan untuk dipamerkan di sebuah hotel di Ipoh. Ia juga dipamerkan di muzium Perak satu masa dahulu.
“Kini, saya akan gantung dibawah khemah depan rumah untuk membolehkan pengunjung yang datang melawat melihat secara dekat baju-baju tersebut,” kongsinya.
BAKAT NYANYIAN SEJAK KECIL
Sebelum mengakhiri perbualan, saya sempat meminta penyanyi ini menyanyikan serangkap dua lagu Cek Mek Molek sebagai kenangkenangan.
Dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu, saya kagum dengan keupayaan Muhammad Daud yang masih mampu menyanyi dengan baik meskipun keadaannya tidak sekuat dahulu.
“Ini semua kurniaan Allah, saya lahir ke dunia sudah ditentukan punca rezeki saya adalah
dengan menyanyi. Saya bersyukur.
“Bakat nyanyian ini ada sejak saya kecil lagi.Bila orang tanya, macammana saya pandai menari dan menyanyi, jawab saya itu kurniaan Tuhan,”kongsinya.
Kata beliau, banyak pengalaman yang diperoleh sejak menjadi penyanyi lebih 40 tahun lalu.
Sr
“Yang paling manis apabila buat persembahan depan peminat, bergambar dan sign autograph untuk mereka. Itu yang saya tak dapat lupakan,” ujarnya.