Rondivu: Menilik zaman emas pop Malaysia - Utusan Malaysia

Rondivu: Menilik zaman emas pop Malaysia

rondivu
SESI lepak luar simposium memberikan saya banyak maklumat dan pengetahuan tentang muzik Malaysia. (Dari kiri) Mohd Jayzuan, penulis, Nazimin Nazeri dan Hafifi Mokhtar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

rondivuADA beberapa hal penting berlaku sebelum tibanya tahun 1975. Mungkin dalam arena berbeza tetapi impaknya kepada industri muzik negara itu ada.

Pertama, penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) pada 1971, antara respons negara terhadap peristiwa 13 Mei 1969.

DKK signifikan dalam membentuk (atau memaksa?) fahaman masyarakat serta pengkarya terhadap seni dan budaya selepas itu – sekurangkurangnya untuk satu atau dua dekad – bahawa kebudayaan kebangsaan perlu bertunjangkan Alam Melayu dan agama Islam.

Kedua, Kem Semangat anjuran Persatuan Pengakap Malaysia, yang lebih dikenali sebagai “Woodstock Malaysia” dianjurkan pada Julai 1972.

Acara tersebut yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah,  hedonisme melampau serta budaya hippie memberi kesan kepada perkembangan muzik rock n roll yang mekar pada dekad sebelumnya.

Imej rock n roll semakin ‘kotor’ di mata autoriti, media arus perdana dan masyarakat massa.

Ketiga, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikuatkuasakan pada 1974. Aktiviti muzik di institusi pengajian tinggi semakin perlahan dan terikat.

Tiga latar ini, walaupun impaknya tidak menyeluruh, penting untuk kita faham perkembangan muzik pop Malaysia pada dekad 1975 hingga 1985.

Dekad yang ulung dan gemilang dalam sejarah muzik pop Malaysia tetapi latarnya agak gelap dan negatif.

DEKAD MATANG

Pastilah ada juga hal baik yang berlaku. Sejak 1960-an, Malaysia didedahkan dengan pelbagai pengaruh dan teknologi muzik, menjadikan pengkaryanya matang serta mantap.

Tetapi kemantapan dan kematangan muzik itu menghala ke mana? Haluan itu yang dibentuk tiga latar tadi. Dominasi muzik Malaysia dikuasai ‘sifat Melayu’ sehingga ramai artis bukan Melayu berkarya dalam bahasa Melayu, malah menawarkan muzik yang dekat dengan jiwa Melayu (yang suka merintih dan merayu; sungguh melankolik!).

Cuma, ketika gelombang college rock memukul Amerika Syarikat pada dekad sama, ia tidak sampai ke Malaysia.

Saya spekulasikan AUKU sebagai punca. Sebelum AUKU, banyak persembahan muzik berlangsung di universiti-universiti tetapi ia menjadi terhad setelah akta itu dikuatkuasakan.

Ini antara hal yang dikongsi pengasas Penang House of Music, Paul Augustin dalam syarahannya di acara Simposium Muzik Ipoh (IMS) pada malam 6 Oktober lalu.

ACARA BERJASA

Selain syarahan Paul, pengisian lain dalam IMS juga membantu saya membuat kesimpulan tentang kepentingan tiga latar tadi terhadap perkembangan muzik Malaysia pada dekad yang dinyatakan.

Sesi forum bersama S. Atan, Habsah Hassan dan Freddie Fernandez, tayangan dokumentari Alleycats, pembentangan kertas kerja dengan pelbagai topik dan pameran yang informatif.

Semuanya buat saya berfikir panjang tentang pergolakan di dasar industri muzik kita, ketika permukaannya nampak tenang dan gemilang.

Sebab itu saya sentiasa mahu berada di Ipoh setiap kali  Ipoh menganjurkan IMS. Menilik sejarah muzik itu memang kerja saya sebagai wartawan tetapi IMS membantu saya mempermudah tilikan.

Saya diberi peluang untuk meneroka idea dan mencipta jaringan. Dua hal ini tiada harga, bukan boleh dapat dengan mudah di mana-mana.

KALI KELIMA

Dari Alleycats, Francissca Peter, Sudirman dan ramai lagi pemuzik hebat pada dekad 1975 hingga 1985, hayat muzik mereka dibincangkan dalam IMS yang sudah memasuki tahun kelima penganjurannya.

Penggiat belakang tabir seperti komposer, penerbit dan penulis lirik juga diberi penghargaan.

IMS meneruskan ajaibnya seperti tahun-tahun sebelum ini: menjadi tempat borak manusiamanusia gila muzik, baik secara formal atau tidak formal.

Cuma dari segi kehadiran, tahun ini kurang meriah.

Tidak dapat dipastikan sambutan itu kurang kerana tema yang tidak dapat menarik ramai orang atau pertembungan dengan beberapa acara muzik besar yang lain (TAPAUfest berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober dan Konsert Malayneum 23 pada 7 Oktober).

Cuma saya berharap, lebih ramai penggiat dan peminat muzik akan hadir, sekurangkurangnya sekali, ke IMS. Saya mahu semua orang merasa pengalaman IMS.

Namanya mungkin kedengaran akademik tetapi jika ia akademik, ia akademik yang fun. Pengisiannya bukan syarah-bentang sepanjang masa. Paling menarik ialah sesi di luar simposium.

Borak-bual, soal-jawab, guraubahan yang hangat dan mesra di meja mamak atau kedai makan tepi jalan; pengalaman berharga yang saya timba setiap kali menyertai IMS.

Semoga dapat berjumpa lagi tahun hadapan. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya