Rancak betul Datuk Aishah kita ini berbalas-balas komen dengan golongan netizen. Cik Bunga perasan juga, waima isu apa sekali pun, Aishah memang tak akan beri muka kepada netizen yang cuba-cuba nak memperkotak-katikkan dirinya di media sosial.
Menerusi pemerhatian Cik Bunga, baru-baru ini pun setelah kegagalan Aishah mara ke minggu kelima program All Stars Gegar Vaganza (GV10), termasuk ketika awal dia berentap di pentas GV itu, ramai yang menegur dan kritik cara nyanyian penyanyi legenda ini.
Begitu juga dengan cakap-cakap belakang yang Cik Bunga dengar. Ramai perasan wujud perbezaan ton suara Aishah dan tak sama macam dulu.
Dalam hal ini, ada betulnya juga dengan kritikan Azwan Ali mengenai aspek ini ketika dia memuat naik pandangannya di platform X baru-baru ini. Cumanya yang salah ialah cara kritikannya itu yang disertai dengan caci maki. Demikianlah perangai Diva AA bukan…
Sebenarnya ramai sependapat, bahawa nyanyian Aishah kedengaran lebih solid sebelum dia membuat keputusan untuk melakukan pembedahan bariatrik. Perbezaan itu didakwa cukup ketara.
Malah, Cik Bunga dengar, ada kalangan orang industri seni yang tidak menolak bahawa pembedahan bariatrik menjadi antara punca yang memungkinkan pernafasan dan cara nyanyian Aishah kedengaran terjejas.
Sebenarnya, ada juga beberapa artis yang secara belakang tabir mengakui mengalami keadaan itu selepas mereka melakukan pembedahan bariatrik. Tetapi itulah, demi nak cantik bukan?
Cik Bunga tak pasti adakah Aishah sendiri mengakui keadaan yang dialaminya ini berpunca daripada tindakannya melakukan pembedahan tersebut.
Dalam hal ini, Cik Bunga harap adalah pakar yang boleh terangkan atau beri penjelasan mengenai hal ini. Betul ke pembedahan bariatrik boleh jejaskan pernafasan seorang penyanyi?